Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad al-Hadith Siri ke-60: al-Hadith al-‘Aliy (العالي)

 

 

Soalan :

Apakah yang dimaksudkan dengan al-Hadith al-‘Aliy?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Berdasarkan pertanyaan di atas, pertanyaan tersebut melibatkan ilmu mustholah hadith atau dinamakan sebagai ulum al-Hadith. Al-Hadith al-‘Aliy adalah salah satu daripada jenis atau bahagian hadith yang melibatkan bilangan perawi sesebuah hadith di dalam sanad.

 

Definisi Hadith al-‘Aliy

Al-‘Aliy dari sudut bahasa bermaksud tinggi. Selain itu, ia juga dinamakan sebagai al-Isnad al-‘Aliy dan lawan bagi al-hadith al-‘Aliy atau al-Isnad ‘Aliy adalah al-hadith al-Nazil (النازل) atau al-Isnad al-Nazil. Imam al-Baiquniy di dalam manzhumahnya telah memberi definisi al-hadith al-‘Aliy seperti berikut:

وَكُلُّ مَا قَلَّتْ رِجَالُهُ عَلاَ

Maksudnya: “ Dan setiap (hadith) yang kurang perawinya dinamakan [al-Hadith al-‘Ali (tinggi)]”.

 

Berdasarkan definisi yang diberikan oleh Imam al-Baiquniy, yang dimaksudkan dengan al-Hadith al-‘Aliy ialah setiap hadith yang bilangan perawinya sedikit. Ini kerana, apabila sedikitnya bilangan perawi di dalam sesebuah sanad hadith maka hadith tersebut atau sanad tersebut lebih dekat dengan Nabi SAW. Disebabkan itu, ia dinamakan al-hadith al-‘Aliy atau al-Isnad al-‘Aliy kerana ia hampir dengan Rasulullah SAW. Semakin hampir perawi yang meriwayatkan hadith dengan Rasulullah SAW, semakin tinggi status hadith tersebut.

 

Bagi mengetahui samada hadith tersebut al-‘Aliy atau tidak, ia perlulah dibandingkan dengan hadith yang lain. Kita tidak boleh hanya melihat kepada satu hadith sahaja untuk mengetahui bahawa hadith tersebut adalah al-hadith al-‘Aliy atau tidak.

Pembahagian al-hadith al-‘Aliy atau al-Isnad al-‘Aliy

Para ulama’ berbeza dalam membuat pembahagian terhadap al-hadith al-‘Aliy ini. Untuk itu, kami memilih pendapat yang mengatakan bahawa Al-Hadith al-‘Aliy atau al-Isnad al-‘Aliy terbahagi kepada lima bahagian:

 

  • Pertama: al-Hadith al-‘Aliy atau al-Isnad al-‘Aliy dengan iktibar bahawa ia hampir dengan Nabi SAW. Bahagian ini dinamakan juga sebagai al-Isnad al-‘Aliy al-Mutlak.

 

  • Kedua: al-Hadith al-‘Aliy atau al-Isnad al-‘Aliy dengan iktibar dekatnya dengan para imam yang mempunyai sifat yang tinggi seperti imam Malik, imam al-Syafie dan yang seumpama dengan mereka.

 

  • Ketiga: al-Hadith al-‘Aliy atau al-Isnad al-‘Aliy diiktibar dekatnya dengan riwayat al-Syaikhan (al-Bukhari dan Muslim) dan riwayat ashab al-Sunan (al-Tirmizi, Abu Daud, al-Nasaie dan Ibn Majah).

 

  • Keempat: al-Hadith al-‘Aliy atau al-Isnad al-‘Aliy disebabkan awalnya kematian perawi yang meriwayatkan hadith berbanding perawi yang lain di dalam sanad yang lain, walaupun bilangan perawi di dalam sanad hadith tersebut sama.

 

  • Kelima: al-Hadith al-‘Aliy atau al-Isnad al-‘Aliy disebabkan perawi tersebut lebih dahulu mendengar hadith daripada gurunya berbanding perawi yang lain yang mendengar selepas daripadanya walaupun ia daripada guru yang sama.

 

Hukum al-Hadith al-‘Aliy

Al-Hadith al-‘Aliy boleh menjadi sahih dan boleh juga menjadi dhaif.

 

Faedah daripada al-Hadith al-‘Aliy

Telah berkata Dr. Syaraf al-Qudhoh bahawa al-Isnad al-‘Aliy adalah lebih kuat daripada sanad yang al-Nazil. Ini kerana, setiap hadith yang bertambah jumlah bilangan perpindahannya (daripada seorang perawi kepada perawi yang lain) pada sesuatu hadith, daripada setiap halqah kepada halqah yang lain, menyebabkan bertambahnya kemungkinan berlakunya kesilapan dalam periwayatan. Maka jika kurang perpindahannya, maka kuranglah kemungkinan berlakunya kesilapan. [Lihat: al-Minhaj al-Hadith, 97]

 

Penutup

Semoga dengan pencerahan yang ringkas ini dapat memberi sedikit manfaat dan menambah kefahaman kita dalam ilmu Mustholah Hadith. Amin.