PERSOLAN:
Adakah sahabat menulis setiap apa yang diucapkan dan dibuat oleh Nabi SAW? adakah sampai kepada kita apa yang ditulis oleh para sahabat kepada kita ?
JAWAPAN:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Seperti yang dinyatakan oleh Dr. Muhammad Ijaj al-Khatib dari bukunya yang bertajuk “al-Sunnah al-Nabawiyyah”, inilah jawapannya :
Para sahabat RA telah bersama dengan Rasulullah SAW dalam setiap keadaan samada ia berkaitan dengan perbuatan, percakapan dan apa yang telah diiqrarkan (disetujui) oleh Nabi SAW. Selain itu, para sahabat telah menaqalkan atau meriwayatkan daripada Nabi SAW dengan begitu teliti beserta beramal dengan apa yang diambil daripada Rasulullah SAW.
Walaubagaimanapun, tidak semua sahabat menulis daripada Nabi SAW kerana tidak semua sahabat dapat menulis dengan baik. Antara bukti yang mengatakan berlakunya penulisan dalam kalangan para sahabat RA ialah:
- Abdullah bin Amr berkata: “Aku telah menulis setiap apa yang aku dengar daripada Rasulullah SAW kerana aku ingin menghafalnya tetapi kaum Quraish telah menghalangku. Lalu mereka berkata : Adakah kamu menulis setiap apa yang kamu dengar daripada Nabi SAW, sedangkan Nabi SAW manusia biasa yang bercakap kadang-kadang dalam keadaan redha dan kadang-kadang dalam keadaan marah. Apabila aku mendengar kata-kata mereka, aku berhenti daripada menulis dan aku menceritakan kepada Rasulullah SAW. Nabi SAW bersabda : “Tulislah, demi Allah yang diriku berada di tangan-Nya, tidak keluar daripada mulutku melainkan kebenaran”.
- Abu Hurairah pernah berkata : “Tidak ada dalam kalangan sahabat Nabi SAW yang banyak menghafal hadis daripadaku melainkan Abdullah bin Amr kerana beliau menulis dan aku tidak menulis”.
- Rasulullah SAW sedang berkhutbah ketika pembukaan kota Makkah khutbah yang panjang. Maka telah datang seorang lelaki daripada Yaman. Lalu lelaki tersebut berkata kepada Rasulullah SAW: Tulislah kepada aku wahai Rasulullah SAW (khutbah) ? Maka Rasulullah SAW bersabda : “Tulislah kepada Abi Fulan (lelaki tersebut)”.
Tambahan pula, para sahabat RA mempunyai Suhuf (lembaran) yang ditulis di dalamnya hadis-hadis Nabi SAW. Begitu juga Nabi SAW memerintahkan sahabatnya untuk menulis ketika berlakunya peristiwa bai’ah dengan kaum Yahudi di Madinah. Selain itu juga, Nabi SAW telah menghantar surat-surat atau perutusan kepada raja-raja dan pemimpin-pemimpinnya.
Antara sahabat-sahabat yang mempunyai lembaran ialah:
- Ali bin Abi Talib RA
- Abdullah bin Amr mempunyai lembaran yang dinamakan Sahifah Sadiqah.
- Abdullah bin Umar juga mempunyai lembaran yang ditulis di dalamnya hadis-hadis Rasulullah SAW.
- Jabir bin Abdillah mempunyai lembaran yang dinamakan Mudawwanah.
Kesimpulannya, penulisan telah berlaku di zaman Rasulullah SAW sebagaimana yang dinyatakan dan diakui oleh para sahabat sendiri tetapi tidak semua sahabat Nabi SAW menulis apa yang didengar dan dilihat kerana tidak semua mereka mempunyai kemahiran dalam menulis. Di samping itu penulisan mereka sampai kepada kita pada hari ini. Walaubagaimanapun, sahabat Nabi SAW adalah generasi yang terbaik dan keilmuan mereka sangat tinggi. Semoga Allah SWT memberi kita kefahaman dalam agama dan memberi taufiq dalam setiap perbuatan dan amalan yang kita amalkan. Amin.
Wallahua`lam.