Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad al-Hadith Siri ke-30 : Kisah biawak pasir yang beriman dan bersaksi atas kenabian Nabi Muhammad SAW.

Soalan :

Apakah status kisah biawak pasir yang beriman atau bersaksi akan kenabian Nabi Muhammad SAW?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kita sering mendengar kisah-kisah yang diceritakan oleh para penceramah tetapi kadang-kadang sejauh manakah kesahihan setiap kisah yang dibawakan itu. Antara kisah yang masyhur ialah kisah berimannya seorang Arab Badwi apabila melihat seekor biawak melafazkan syahadah di hadapannya. Dikatakan bahawa ini adalah tanda dan mukjizat yang diberikan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW.

 

Ringkasan kisah biawak pasir yang beriman

Rasulullah SAW sedang berjalan bersama dengan sekumpulan para sahabat, tiba-tiba datang seorang Arab Badwi daripada Bani Sulaim kepada Rasulullah SAW dan bersamanya seekor biawak padang pasir (dhab) yang ditangkapnya dan bercadang untuk membakar haiwan tersebut untuk dimakan.

Kelihatan sekumpulan manusia mengelilingi seorang lelaki dan pada waktu itu, dia tidak mengetahui bahawa lelaki tersebut adalah Rasulullah SAW. Setelah itu, Arab Badwi tersebut mendatangi sekumpulan manusia itu dan mengungkapkan kata-kata yang kesat kepada Rasulullah SAW apabila mengetahui bahawa lelaki tersebut adalah Rasulullah SAW yang menyebabkan saidina Umar bin al-Khattab marah. Kemudian Rasulullah SAW menenangkan umar, lalu Nabi SAW bertanya kepada Arab Badwi tersebut mengapa engkau berkata sedemikian. Arab Badwi itu menjawab bahawa dia tidak akan beriman sehingga biawak yang ada bersamanya turut beriman.

Apabila Nabi SAW mendengar kata-kata Arab Badwi tersebut, maka Rasulullah SAW memanggil memanggil biawak itu dan kedengaran biawak itu menjawab dengan bahasa Arab yang fasih dan difahami oleh semua yang hadir. Biawak itu berkata bahawa Allah adalah Tuhan bagi sekalian alam dan Nabi Muhammad SAW adalah rasul yang diutuskan oleh Allah SWT.

Setelah mendengar kata-kata biawak itu, Arab Badwi itu lantas berkata:

وَاللَّهِ لَقَدْ جِئْتُكَ وَمَا عَلَى ظَهْرِ الْأَرْضِ أَبْغَضُ إليَّ مِنْكَ، وإنَّك الْيَوْمَ أَحَبُّ إليَّ من والدي، وَمِنْ عَيْنِي وَمِنِّي، وَإِنِّي لَأُحِبُّكَ بِدَاخِلِي وَخَارِجِي، وَسِرِّي وَعَلَانِيَتِي

Maksudnya: “Demi Allah! Aku datang kepada engkau dan tidak ada di atas dunia ini orang yang paling aku benci melainkan engkau, tetapi hari ini engkau adalah orang yang paling aku kasihi berbanding dengan bapaku, diriku sendiri, engkau amat kukasihi zahirku dan batinku”.

Kemudian dia mengucapkan kalimah syahadah di hadapan para sahabat yang berada di situ. [Lihat Dalail al-Nubuwwah, 6:37, al-Bidayah wa al-Nihayah, 6:149]

 

Pendapat ulama terhadap kisah ini

Berikut adalah beberapa pendapat ulama terhadap kisah biawak yang beriman ini:

  • Imam Ibn Kathir berkata di dalam al-Bidayah : Pada kisah ini terdapat keganjilan dan aneh.
  • Ibn Dihyah mengatakan di dalam al-Khasais : Ini adalah kisah palsu.
  • Imam al-Zahabi pula berkata di dalam al-Mizan : Kisah ini adalah bathil.
  • Imam al-Hafiz Ibn Hajar berkata di dalam al-Lisan : Kisah ini bathil kerana salah seorang daripada perawi di dalam kisah ini iaitu Muhammad bin Ali bin al-Walid al-Sulami al-Basri adalah munkar al-Hadith.

Tarjih

Setelah meneliti dan menekuni pendapat para ulama terhadap kisah ini, maka kami berpendapat bahawa kisah ini adalah tidak sahih atau bathil. Untuk itu, kita tidak boleh menyandarkan kisah ini kepada Nabi SAW dan menyebarkan melainkan bagi menyatakan akan kebathilan kisah ini.

 

Penutup

Akhirnya, semoga Allah SWT menerima setiap amalan kita dan menggolongkan kita dalam kalangan hamba-hambanya yang beriman kepada-Nya. Amin.

Wallahua’lam