SOALAN:
Apakah yang dimaksudkan dengan perkataan Luka' Ibn Luka' di dalam hadith?
JAWAPAN:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Dalam menjawab persoalan ini, kami datangkan riwayat hadith daripada Huzaifah bin al-Yaman RA, bahawa Nabi SAW bersabda :
لا تقومُ الساعةُ حتى يكونَ أسْعَدَ الناسِ بالدُنيا ، لُكَعُ ابْنُ لُكَعَ
Maksudnya : “Tidak akan berlaku Kiamat sehingga orang yang paling bahagia di dunia ini adalah luka’ ibn luka’”.
Takhrij al-Hadith :
Riwayat Imam al-Tirmizi di dalam kitab al-Fitan, bab berkaitan tanda-tanda kiamat. No. Hadith : 2130 dan Imam Ahmad di dalam musnad al-Ansar, musnad Huzaifah bin al-Yaman. No. Hadith : 22214. [Hadith ini dinilai hasan oleh Imam al-Tirmizi di dalam jami’nya dan sahih oleh al-Albani di dalam Silsilahnya].
Fiqh al-Hadith :
- Dari sudut bahasa, al-Luka’ membawa dua maksud, yang pertama ialah hina dan yang kedua adalah budak kecil.[ Al-Mu’jam al-Wasith, 889]
- Luka’ menurut bangsa Arab ialah budak atau hamba, kemudian perkataan ini digunakan untuk menunjukkan kebodohan dan kehinaan, iaitu orang yang hina dan tercela. Kadang-kadang perkataan Luka’ ini juga digunakan untuk anak kecil. Jika perkataan Luka’ ini digunakan untuk orang dewasa maka yang dimaksud adalah orang yang sedikit ilmunya dan kecil akalnya.[ Al-Nihayah Fi Gharib al-Hadith, 4 : 268]
- Berdasarkan hadith ini, Nabi SAW menceritakan kepada kita akan perihal keadaan dunia di akhir zaman yang akan diperintah oleh orang-orang yang keji dan segala urusan dunia akan diserahkan kepada orang-orang yang bodoh. Mereka ini Allah SWT kurniakan kemewahan, kehidupan yang baik dan kuasa sehingga mereka merasakan bahawa mereka adalah orang paling gembira di dunia ini.[Tuhfah al-Ahwazi, 6 : 375]
Akhirnya, semoga Allah SWT jadikan kita golongan yang berilmu, beramal dengan ilmunya dan juga beriman. Dengan itu, kita sentiasa dipayungi dengan taufiq dan hidayah daripada-Nya.
Wallahua`lam.