Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad al-Hadith Siri ke-13 : Adakah sahih kisah Saidina ‘Umar bin al-Khattab membunuh anak perempuannya?

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Antara kisah yang masyhur dalam kalangan masyarakat Islam ialah kisah khalifah kedua umat Islam iaitu ‘Umar bin al-Khattab telah menanam anak perempuannya hidup-hidup pada zaman Jahilyyah.  Kisah ini adalah kisah yang palsu dan tidak terdapat di dalam mana-mana karya ulama’ dan sarjana Islam yang muktabar. Antara bukti yang mengatakan bahawa kisah ini palsu adalah daripada sebuah hadith.

Hadith daripada Nu’man bin Basyir RA :

عنْ عُمرَ بنِ الخطابِ رضي الله عنه، " وسُئِلَ عن قولِهِ " وَإِذَا المَوْءُودَةُ سُئِلَتْ "، قال جاء قيس بن عاصمٍ إلى رسولِ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم، فقال : يا رسولَ اللهِ ، إني قَدْ وَأَدتُّ بناتٍ لي في الجاهليةِ. فقال : أَعْتِقْ عن كُلِّ واحدةٍ منهنَّ رقبةً. فقلْتُ : يا رسولَ اللهِ ، إني صاحِبُ إبِلٍ. قال : فانْحَرْ عن كُلِّ واحدةٍ منهنَّ بدَنَةً ".

Maksudnya : Daripada ‘Umar bin al-Khattab  RA, “ beliau telah ditanya berkenaan dengan firman Allah SWT “Dan apabila bayi-bayi perempuan yang dikubur hidup-hidup ditanya, “Apakah dosa yang menyebabkan mereka dibunuh ?”” (surah al-Takwir : ayat 8 dan 9). Saidina ‘Umar bin al-Khattab menjawab : “ Telah datang Qais bin ‘Ashim kepada Rasulullah SAW seraya berkata : Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya aku pernah menguburkan hidup-hidup anak perempuanku pada zaman jahiliyyah. Maka, Nabi Muhammad SAW menyatakan, Merdekakanlah seorang hamba untuk setiap anak-anak perempuan yang kamu kuburkan hidup-hidup sebagai kifarah dosa kamu. Qais bin ‘Ashim menjawab : Aku memiliki unta. Nabi SAW menjawab : Jikalau kamu mahu, bersedekahlah dengan menyembelih seekor unta untuk setiap anak perempuan yang kamu kuburkan hidup-hidup ”.

(Musnad al-Bazzar, 1:60 dan Majma’ al-Zawaid, 7:283, Imam Haithami berkata : Para perawi al-Bazzar adalah  yang berada di dalam kitab al-Sahih kecuali Hussein bin Mahdi al-Ailiy tetapi beliau seorang yang thiqah)

 

Ulasan :

Dengan merujuk kepada kitab-kitab sejarah Saidina ‘Umar yang muktabar dan ditahqiqkan, kami tidak mendapati kisah seperti di atas. Hadith ini jelas menunjukkan bahawa Saidina ‘Umar telah menjawab persoalan yang dikemukan berkaitan dengan kafarah menanam anak hidup-hidup tanpa menceritakan akan perbuatannya yang juga telah menanam anaknya hidup-hidup pada zaman jahiliyyah dahulu. Oleh itu, kisah yang mengatakan bahawa Saidina ‘Umar bin al-Khattab telah menanam anaknya hidup-hidup adalah palsu dan rekaan oleh musuh-musuh Islam. Kesimpulannya, kisah ini tidak boleh disebarkan melainkan untuk menyatakan akan kepalsuannya. Kami menyarankan kepada masyarakat Islam agar sentiasa merujuk kepada sumber yang asli lagi benar sebelum kita menceritakannya kepada orang lain. 

Akhirnya, semoga pencerahan ini menjadikan kita faham akan sirah dan sejarah para sahabat RA dengan lebih baik. Amin.

 

Wallahua`lam.