Soalan: Apakah status doa ini dan apakah yang dimaksudkan dengan al-‘Afiyah (العافية) di dalam doa ini?
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسأَلك تَمام الْعَافِيَة
Maksudnya: “Ya Allah Ya Tuhan Kami, aku memohon kepada-Mu kesempurnaan ‘afiyah.”
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Doa merupakan senjata buat orang yang beriman dan seharusnya bagi setiap insan untuk sentiasa menggunakan senjata tersebut. Ini kerana, ramai dalam kalangan manusia yang mengambil ringan akan hal tersebut. Tambahan pula, banyak ayat-ayat di dalam al-Quran yang menunjukkan tuntutan untuk setiap insan itu berdoa kepada Allah SWT. Antaranya firman Allah SWT:
ادْعُوا رَبَّكُمْ تَضَرُّعًا وَخُفْيَةً ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ
al-‘Araaf:55
Maksudnya: “Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.”
Berdasarkan soalan di atas, doa di atas adalah sebahagian kecil sahaja daripada doa yang sebenar. Di sini kami nukilkan doa yang penuh sebelum kami nyatakan sumbernya:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسأَلك إِيمَانًا دَائِما وَأَسْأَلك قلبا خَاشِعًا وَأَسْأَلك علما نَافِعًا وَأَسْأَلك يَقِينا صَادِقا وَأَسْأَلك دينا قيمًا وَأَسْأَلك الْعَافِيَة من كل بلية وَأَسْأَلك تَمام الْعَافِيَة وَأَسْأَلك دوَام الْعَافِيَة وَأَسْأَلك الشُّكْر على الْعَافِيَة وَأَسْأَلك الْغنى عَن النَّاس
Maksudnya: “Ya Allah Ya Tuhan Kami, aku memohon kepada-Mu keimanan yang berterusan, dan aku memohon kepada-Mu jantung hati yang khusyuk, dan aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, dan aku memohon kepada-Mu keyakinan yang benar, dan aku memohon kepada-Mu agama yang teguh, dan aku memohon kepada-Mu ‘afiyah (keselamatan) daripada setiap ujian, dan aku memohon kepada-Mu kesempurnaan ‘afiyah, dan aku memohon kepada-Mu ‘afiyah (kesejahteraan) yang berpanjangan, dan aku memohon kepada-Mu kesyukuran di atas ‘afiyah, dan aku memohon kepada-Mu kecukupan daripada manusia.”
Doa tersebut ada dinukilkan di dalam dua buah kitab berdasarkan riwayat Ali bin Thalib RA iaitu:
- al-Hakim al-Tirmizi (320 H) di dalam kitabnya Nawadir al-Usul fi Ahadith al-Rasul pada bab rahsia doa-doa Abu Dzar RA. [Lihat: Nawadir al-Usul, m/s 40-41/3]
- al-Dailami (509 H) di dalam kitabnya al-Firdaus bi Ma’thur al-Khitab. [Lihat: Musnad al-Firdaus, no. Hadith 1832, m/s 450-451/1]
Adapun berkaitan status riwayat tersebut tidak dinyatakan oleh para ulama’ secara khusus. Walaupun begitu, sanad hadith ada dinyatakan oleh al-Muttaqi al-Hindi (975 H) di dalam kitabnya Kanz al-‘Ummal fi Sunan al-Aqwal wa al-Af’al. [Lihat: Kanz al-‘Ummal, no. Hadith 5055, m/s 678-679/2]
Selain itu, Imam al-Khatib al-Baghdadi (463 H) menjelaskan sedikit kesilapan dalam sanad hadith ini bahawa guru kepada al-Hakim al-Tirmizi atau nama sebenarnya beliau ialah Muhammad bin Ali adalah Umar bin Abi Umar bukannya ‘Amr bin Abi ‘Amr sebagaimana terdapat di dalam kitab Kanz al-‘Ummal. [Lihat: al-Muttafiq wa al-Mufariq, 1612/3]
Menurut Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani (852 H), Umar bin Abi Umar atau Umar bin Abi Rayyah merupakan seorang perawi yang dikritik hebat oleh para ulama’ hadith seperti al-Bukhari, al-Daraquthni, al-Nasa’ie, al-Hakim, Ibn Hibban dan ramai lagi daripada tokoh-tokoh besar hadith. Antara kritikan terhadap perawi ini adalah Dajjal, Matruk (ditinggalkan riwayatnya), meriwayatkan hadith-hadith palsu daripada perawi yang thiqah, munkar hadith dan banyak lagi. [Lihat: Tahzib al-Tahzib, 447-448/7]
Melihat kepada beberapa pandangan di atas, maka kami katakan bahawa riwayat doa di atas adalah tidak sahih kerana terdapat seorang perawi yang dinilai berdusta. Untuk itu, kita tidak boleh sesekali menyandarkan riwayat tersebut kepada Nabi SAW. Selain itu juga, menurut Syeikh Abdullah bin Ibrahim al-‘Alawi menyatakan bahawa kedua kitab di atas iaitu Nawadir al-Usul dan Musnad al-Firdaus merupakan kitab yang banyak terkandung di dalamnya hadith-hadith dhaif sebagaimana yang dinukilkan oleh Syeikh Abdul Karim al-Khudair. [Lihat: al-Hadith al-Dhaif, 368]
Walaupun begitu, kita tidak dihalang sama sekali untuk berdoa dengan doa tersebut kerana maknanya cukup baik. Tambahan pula, di dalam doa terdapat keluasan dan boleh berdoa dengan apa jua meskipun lafaznya tidak di ajar oleh Nabi SAW selagimana makna doa tersebut adalah baik dan tidak bercanggah dengan agama.
Dalam masa yang sama, terdapat lafaz lain yang terdapat satu doa yang disarankan oleh Nabi SAW sebagaimana yang dinukilkan oleh al-Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Azkar.
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ ، فِي دِينِي ، وَدُنْيَايَ ، وَأَهْلِي ، وَمَالِي ، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِي ، وَآمِنْ رَوْعَاتِي ، اللَّهُمَّ احْفَظْنِي مِنْ بَيْنَ يَدَيَّ ، وَمِنْ خَلْفِي ، وَعَنْ يَمِينِي ، وَعَنْ شِمَالِي ، وَمِنْ فَوْقِي ، وَأَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ أُغْتَالَ مِنْ تَحْتِي
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiah) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya aku memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiah) dalam agamaku, dunia, keluarga dan hartaku. Ya Allah, tutupilah aibku dan berilah ketenteraman di hatiku. Ya Allah, jagalah aku; dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atasku, serta aku memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawahku.”
(Riwayat Abu Daud, no. 5074)
Makna al-‘Afiyah (العافية)
Di sini kami nukilkan beberapa makna al-‘Afiyah:
وَقَدْ كَثُرَتِ الْأَحَادِيثُ فِي الْأَمْرِ بِسُؤَالِ الْعَافِيَةِ وَهِيَ مِنَ الْأَلْفَاظِ الْعَامَّةِ الْمُتَنَاوِلَةِ لِدَفْعِ جَمِيعِ الْمَكْرُوهَاتِ فِي الْبَدَنِ وَالْبَاطِنِ فِي الدِّينِ وَالدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ
Kata Imam al-Nawawi (676 H): “Terlalu banyak hadith-hadith disarankan agar berdoa memohon ‘afiyah (kepada Allah SWT) dan ia (lafaz ‘afiyah) adalah satu lafaz-lafaz yang umum dan terkandung di dalamnya menolak segala perkara yang tidak baik pada badan dan batin pada agama sama ada di dunia dan juga di akhirat.” [Lihat: al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 46/12]
Kata Syeikh al-Munawi (1031 H), al-‘Afiyah adalah keselematan (kesejahteraan) daripada penyakit-penyakit dan bala. Ia juga menghimpunkan di antara dua kesejahteraan iaitu di dunia dan agama. Selain itu, ‘Afiyah akan menolak penyakit-penyakit dunia yang ada di hati dan juga yang berada di badan. [Lihat: Faidh al-Qadir, 107/4]
Menurut Syeikh al-Mubarakfuri (1353 H) makna al-‘Afiyah adalah benteng Allah kepada hamba-Nya. Maka orang yang memohonnya adalah seseorang yang sedang memohon pemeliharaan daripada Tuhannya di atas setiap yang diniatkan itu. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 348/9]
Melihat kepada beberapa definisi atau pengertian di atas, maka kami simpulkan bahawa al-‘Afiyah adalah keselamatan atau kesejahteraan pada agama daripada segala fitnah, pada badan daripada segala penyakit-penyakit sama ada penyakit hati atau sebagainya dan kepada pada ahli keluarga dan harta daripada segala bala dan musibah.
Penutup
Kesimpulannya, doa merupakan salah satu ibadah yang hebat kerana ia berhubung terus kepada Allah SWT. Di samping itu, di dalam bab berdoa terdapat keluasan yang mana kita tidak semestinya perlu berdoa dengan doa yang diajar oleh Allah SWT di dalam al-Quran dan juga yang diajar oleh Nabi SAW di dalam hadith sahaja walaupun sebaik-baik doa atau lafaz doa adalah yang daripada Allah SWT dan Nabi SAW. Kita boleh berdoa dengan apa jua doa sekalipun selagimana makna atau maksud doa tersebut adalah baik dan tidak bercanggah dengan agama. Selain itu juga, kita juga perlu meraikan beberapa adab-adab, syarat-syarat dan garis panduan di dalam berdoa agar doa yang dipanjatkan itu merupakan satu doa yang berkualiti tinggi. Akhirnya, semoga Allah SWT mengurniakan kita semua kesejahteraan yang berpanjangan serta menjauhkan kita daripada segala perkara yang tidak baik sama ada di dunia mahupun di akhirat. Amin.
Wallahua’lam