Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-335: SOLAT DALAM KEADAAN MELIPAT LENGAN PAKAIAN

 

 

ih335.png

 

 

Soalan:

Apakah makna bagi hadith ini?

 

  • Daripada Ibn Abbas R.anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

أُمِرْتُ أَنْ أَسْجُدَ عَلَى سَبْعَةٍ، لاَ أَكُفُّ شَعَرًا وَلاَ ثَوْبًا

Maksud: “Aku diperintahkan untuk melaksanakan sujud dengan tujuh anggota, serta janganlah menahan rambut dan tidak juga pakaian (tahan daripada sujud).”

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Berdasarkan soalan di atas, hadith tersebut diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari di dalam kitab Sahihnya dan juga Imam Muslim di dalam kitab Sahihnya. Selain itu, hadith ini juga diriwayatkan oleh ashab al-Sunan yang lain seperti Imam al-Nasa’ie dan Ibn Majah di dalam Sunan mereka. Justeru itu, pada status hadith ini tidak lagi diragui kerana ia telah disepakati akan kesahihannya oleh dua orang imam (iaitu al-Bukhari dan Muslim) dan status hadith seperti ini merupakan darjat yang tertinggi di dalam darjat-darjat hadith sahih.

Di samping itu juga, terdapat banyak lagi hadith yang seperti ini:

 

  • Daripada Ibn Abbas R.anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

أُمِرْتُ أَنْ أَسْجُدَ عَلَى سَبْعَةِ أَعْظُمٍ عَلَى الجَبْهَةِ، وَأَشَارَ بِيَدِهِ عَلَى أَنْفِهِ وَاليَدَيْنِ وَالرُّكْبَتَيْنِ، وَأَطْرَافِ القَدَمَيْنِ وَلاَ نَكْفِتَ الثِّيَابَ وَالشَّعَرَ

Maksudnya: “Aku diperintahkan untuk sujud dengan tujuh tulang (anggota) iaitu dahi, serta Baginda SAW mengisyaratkan dengan tangan pada hidungnya, kedua tapak tangan, kedua lutut dan hujung jari kedua kaki. Dan janganlah menahan pakaian dan rambut.” [Riwayat al-Bukhari (812)]

 

Untuk itu, secara umumnya hadith yang melarang menahan pakaian daripada sujud ini adalah sahih cuma ia perlu difahami sebagaimana difahami oleh para ulama yang muktabar. Adapun berkaitan makna hadith ini, di sini kami datangkan beberapa nukilan para ulama dalam memahami hadith di atas:

 

  • Imam al-Nawawi (676 H) berkata:

اتَّفَقَ الْعُلَمَاءُ عَلَى النَّهْيِ عَنِ الصَّلَاةِ وَثَوْبُهُ مُشَمَّرٌ أَوْ كُمُّهُ أَوْ نَحْوُهُ أَوْ رَأْسُهُ مَعْقُوصٌ أَوْ مَرْدُودٌ شَعْرُهُ تَحْتَ عِمَامَتِهِ أَوْ نَحْوُ ذَلِكَ فَكُلُّ هَذَا مَنْهِيٌّ عَنْهُ بِاتِّفَاقِ الْعُلَمَاءِ وَهُوَ كَرَاهَةُ تَنْزِيهٍ فَلَوْ صَلَّى كَذَلِكَ فَقَدْ أَسَاءَ وَصَحَّتْ صَلَاتُهُ

Maknanya: “Ulama bersepakat berkaitan larangan ketika solat dalam keadaan lengan pakaiannya bergulung atau berlipat atau yang sepertinya. Juga rambut kepalanya terikat atau diruapkan rambutnya yang dibawah serbannya atau sepertinya. Kesemua perkara ini adalah dilarang dengan kesepakatan para ulama dan ia adalah adalah termasuk di dalam makruh tanzih (tidaklah begitu berat). Sekiranya seseorang itu solat dalam keadaan yang sedemikian, maka dia telah mencacatkan solatnya (fadhilat solat) tetapi solatnya sah.” [Lihat: al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 209/4]

 

  • Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani (852 H) berkata:

 

الْجُمْهُورُ فَإِنَّهُمْ كَرِهُوا ذَلِكَ لِلْمُصَلِّي سَوَاءٌ فَعَلَهُ فِي الصَّلَاةِ أَوْ قَبْلَ أَنْ يَدْخُلَ فِيهَا وَاتَّفَقُوا عَلَى أَنَّهُ لَا يُفْسِدُ الصَّلَاةَ

Maknanya: “Jumhur mengatakan makruh (melipat lengan) bagi seseorang yang ingin solat sama ada perbuatannya itu di dalam solat atau sebelum masuk ke dalam solat. Mereka juga bersepakat bahawa perbuatan tersebut tidak merosakkan (membatalkan) solat .” [Lihat: Fath al-Bari, 296/2]

 

  • Imam Zakaria al-Ansari (926 H) berkata:

(وَيُكْرَهُ لِلْمُصَلِّي ضَمُّ شَعْرِهِ وَثِيَابِهِ) فِي سُجُودِهِ، أَوْ غَيْرِهِ (لِغَيْرِ حَاجَةٍ)

Maknanya: “Dan makruh bagi orang yang solat dalam keadaan menahan rambutnya dan pakaiannya di dalam sujud atau selain daripadanya tanpa hajat.” [Lihat: Asna al-Mathalib, 162/1]

 

  • Di dalam al-Mawsu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah ada menyatakan:

التَّشْمِيرُ فِي الصَّلاَةِ مَكْرُوهٌ اتِّفَاقًا، لِمَا وَرَدَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ كَفْتِ الثِّيَابِ وَالشَّعْرِ

Maksudnya: “Melipat pakaian ketika solat adalah makruh menurut kesepakatan para ulama, berdasarkan kepada apa yang datang daripada Nabi SAW berkenaan larangan menahan pakaian dan rambut.” [Lihat: al-Mawsu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 34/12]

 

Selain itu juga, di antara hikmah larangan ini adalah bagi memastikan seluruh perkara tersebut turut sujud bersamanya sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Zakaria al-Ansari di dalam kitabnya Asna al-Mathalib. Di samping itu juga, terdapat hikmah yang lain sebagaimana dinukilkan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani iaitu:

 

وَالْحِكْمَةُ فِي ذَلِكَ أَنَّهُ إِذَا رَفَعَ ثَوْبَهُ وَشَعْرَهُ عَنْ مُبَاشَرَةِ الْأَرْضِ أَشْبَهَ الْمُتَكَبِّرَ

Maksudnya: “Hikmah pada perkara tersebut adalah apabila seseorang itu mengangkat pakaiannya atau rambutnya daripada tersentuh lantai (tempat sujud) makai a seumpama orang yang takabbur (sombong).” [Lihat: Fath al-Bari, 296/2]

 

Justeru itu, kami simpulkan bahawa melipat pakaian ketika solat sama ada pada seluar atau lengan baju adalah makruh berdasarkan kepada hadith sahih di atas. Hal ini juga disebut di dalam kitab al-Mu’tamad bahawa hukum menggulung hujung pakaian atau lengan pakaian sama ada sengaja dilakukan untuk solat atau sebelumnya (sebelum daripada solat) dengan tujuan yang lain serta seseorang itu solat dalam keadaan begitu tanpa darurat hukumnya adalah makruh mengikut kesepakatan para ulama dan ia termasuk di dalam makruh yang tanzih. Barangsiapa yang solat dengan keadaan begitu, maka dia telah melakukan perkara yang makruh dan solatnya adalah sah. [Lihat: al-Muktamad, 321/1]

 

Penutup

Kesimpulannya, kami tegaskan bahawa hukum menggulung atau melipat pakaian ketika solat adalah makruh tanzih (makruh yang tidak begitu berat) dan jika seseorang solat dalam keadaan sebegitu solatnya adalah sah dan tidak perlu diqadha’ solat-solat yang lepas (solat yang dilakukan dalam keadaan melipat lengan baju atau seluar). Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman di dalam agama agar kita dapat beramal sesuai dengan kehendak Allah SWT dan Rasulullah SAW. Amin.

 

Wallahua’lam