Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-347: MARTABAT AL-JARH WA AL-TA’DIL

ih347_15291523.png

 

 

 

 

Soalan: Bagaimanakah para ulama hadith menilai atau menghukum status seseorang perawi dalam meriwayatkan hadith Nabi SAW?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Di dalam ilmu atau pengajian hadith, tidak semua perawi yang meriwayatkan hadith Nabi SAW berada pada satu tahap yang sama kesemuanya. Bahkan mereka berbeza di antara satu sama lain dari sudut yang pelbagai. Ini kerana, ilmu atau pengajian hadith boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian dan di antaranya adalah ilmu al-Jarh wa al-Ta’dil yang mana ia membicarakan berkaitan penilaian-penilaian para ulama terhadap status seseorang perawi kerana ia berkait rapat dalam menentukan hukum atau status sesebuah hadith.

Untuk itu, al-Jarh dari sudut bahasa adalah tohmahan. Adapun dari sudut istilah pula adalah menyatakan keaiban-keaiban yang ada pada perawi dan dengannya akan tertolaklah riwayatnya sama ada tohmahan tersebut pada ke‘adalahannya (kepercayaanya) atau pada hafalannya. Manakala, al-Ta’dil pula dari sudut bahasa adalah diterima ucapannya. Adapun dari sudut istilah pula adalah penyucian perawi yang mana dengannya diterima riwayatnya. [Lihat: Taysir Dirasah al-Asanid li al-Mubtadi’in, 83]

 

Menurut Syeikh Muhammad ‘Ajaj al-Khathib pada mendefinisikan Ilmu al-jarh wa at-Ta’dil ini adalah sebagaimana berikut:

 

العِلْمُ الَّذِي يَبْحَثُ فِي أَحْوَالِ الرُّوَاةِ مِنْ حَيْثُ قَبُولِ رِوَايَتِهِم أَوْ رَدِّهَا

Maksudnya: “Ilmu yang membahaskan berkaitan keadaan para perawi hadith sama ada diterima atau ditolak periwayatan mereka.” [Lihat: Usul al-Hadith, 168]

 

Justeru itu, Irsyad al-Hadith pada kali ini akan membicarakan berkaitan martabat-martabat al-Jarh wa al-Ta’dil. Menurut Syeikh Mustafa al-Bugha dalam kitabnya “Buhuth fi Ulum al-Hadith wa Nususuhu” telah meringkaskan martabat al-Jarh wa al-Ta’dil kepada enam martabat bagi setiap satu iaitu:

 

Martabat al-Ta’dil (menunjukkan kethiqahan dan kesolehan perawi) terbahagi kepada enam:

  • Pertama: Penilaian yang datang dengan lafaz ta’dil (sifat yang menunjukkan keadilan) tetapi dengan sighah “أَفْعَلَ” yang menunjukkan mubalagah (berlebih-lebih) seperti “أَضْبَطُ النَّاسِ (orang yang paling baik ingatanya)” dan sebagainya.
  • Kedua: Penilaian yang datang dengan sifat yang menunjukkan tidak ada pertikaian terhadap keadilan seseorang perawi seperti “فلان لا يسأل عنه (perawi itu tidak perlu ditanya lagi berkaitannya” dan sebagainya.
  • Ketiga: Penilaian dengan lafaz-lafaz ta’dil yang diulang-ulang, sama ada pengulangan tersebut berbentuk maknawi atau lafzi seperti “ثقة ثقة (dipercayai lagi dipercayai)” atau “ثقة حافظ (dipercayai serta banyak hafalannya)” dan sebagainya.
  • Keempat: Penilaian dengan lafaz ta’dil yang tunggal seperti “ثقة (dipercayai)”, “الحافظ (banyak hafalannya)” dan sebagainya
  • Kelima: Penilaian dengan lafaz yang hanya menunjukkan kebaikan keadaan perawi atau tanpa penekanan pada sudut ingatan dan hafalannya seperti “صدوق (seorang yang benar” atau “لا بأس به (tidak mengapa dengan hadithnya)” dan sebagainya.
  • Keenam: Penilaian dengan lafaz-lafaz yang menunjukkan lebih dekat dengan lafaz al-Jarh seperti “ليس ببعيد من الصواب (tidak jauh daripada kebenaran)” atau “صدوق إن شاء الله (boleh dipercayai insya-Allah)” dan sebagainya.

 

Martabat al-Jarh (lafaz menunjukkan ada kecacatan pada perawi sama ada dari sudut kepercayaan atau hafalannya) juga terbahagi kepada enam:

  • Pertama: Penilaian yang datang dengan lafaz-lafaz al-Jarh tetapi dengan sighah “أَفْعَلَ” yang menunjukkan mubalagah (berlebih-lebih) seperti “أَكْذَبُ النَّاس (orang yang paling berdusta) atau “ركن الكذب (rukun pendusta)” dan sebagainya.
  • Kedua: Penilaian yang datang dengan lafaz-lafaz al-Jarh terhadap perawi disebut dengan sighah mubalagah tetapi lebih ringan sedikit berbanding martabat yang pertama seperti “ كذّاب(pendusta)” atau “وضَاع (pemalsu hadith)” dan sebagainya.
  • Ketiga: Penilaian dengan lafaz-lafaz al-Jarh yang menunjukkan tuduhan yang diberikan terhadap perawi sebagai pendusta atau pemalsu hadith seperti “متهم بالكذب (dituduh berdusta)”, “يسرق الحديث (mencuri hadith)” atau “متهم بالوضع (dituduh memalsukan hadith)” dan sebagainya.
  • Keempat: Penilaian dengan lafaz-lafaz al-Jarh yang menunjukkan perawi tersebut adalah perawi yang sangat lemah atau dhaif seperti “رد حديثه (ditolak hadithnya)”, “لا يكتب حديثه (tidak ditulis hadithnya)” dan sebagainya
  • Kelima: Penilaian dengan lafaz-lafaz al-Jarh yang hanya menunjukkan kelemahan keadaan perawi atau kelemahan pada ingatan serta hafalannya seperti “ضعيف” atau “لا يحتج به (tidak boleh dijadikan hujah riwayatnya” dan sebagainya.
  • Keenam: Penilaian dengan lafaz-lafaz al-Jarh yang menunjukkan kelemahan keadaan perawi tetapi hampir kepada martabat keadilan seperti “غيره أوثق منه(perawi lain lebih dipercayai daripadanya)” atau “ليس بذاك القوي (tidak begitu kuat)” dan sebagainya.

 

Kitab-Kitab al-Jarh wa al-Ta’dil

Di antara kitab-kitab yang membicarakan berkaitan ilmu al-Jarh wa al-Ta’dil atau yang membicarakan berkaitan keadaan perawi adalah:

  • Kitab Tahzib al-Kamal oleh Imam al-Mizzi
  • Kitab Tahzib al-Tahzib dan Taqrib al-Tahzib oleh Imam Ibn Hajar al-Asqalani
  • Kitab al-Thiqat oleh Imam Ibn Hibban
  • Kitab al-Dhu’afa’ wa al-Matrukin oleh Imam al-Nasa’ie
  • Kitab al-Dhu’afa’ wa al-Matrukin oleh Imam al-Daraquthni
  • Kitab al-Jarh wa al-Ta’dil oleh Imam Ibn Abi Hatim al-Razi
  • Kitab al-Dhu’afa’ al-Kabir oleh Imam al-‘Uqailiy
  • Kitab al-Mughni fi al-Dhu’afa’ oleh Imam al-Zahabi
  • Kitab Tarikh Asma’ al-Dhu’afa’ wa al-Kazzabin oleh Imam Ibn Syahin
  • Kitab al-Dhu’afa’ oleh Imam Abi Nu’aim al-Ashbahani

 

Penutup

Berdasarkan penjelasan yang ringkas berkaitan martabat al-Jarh wa al-Ta’dil di atas, maka dapat disimpulkan bahawa ilmu al-Jarh wa al-Ta’dil adalah salah satu cabang ilmu hadith yang sangat penting dalam menentukan status sesebuah hadith sama ada ia sahih ataupun tidak. Tambahan pula, tidak semua orang mampu untuk menentukan atau menilai status seseorang perawi melainkan orang yang betul-betul mahir dalam ilmu hadith serta menguasinya setiap cabang yang ada. Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita semua daripada kalangan hamba-hamba-Nya yang mencintai hadith Nabi SAW serta mengamalkannya dalam kehidupan seharian kita. Amin.

 

Wallahua’lam