Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-352: MALU DALAM BERTANYA BERKAITAN HUKUM

 

 

 

ih352_15291523.png

 

 

Soalan: Apakah terdapat hadith yang menunjukkan para sahabat malu dalam bertanya berkaitan hukum kepada Rasulullah SAW?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Sifat malu merupakan salah satu daripada sifat yang terpuji dan ia merupakan salah satu daripada cabang-cabang iman sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadith yang sahih, antaranya:

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

وَالحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنَ الإِيمَانِ

Maksudnya: “Malu itu adalah sebahagian daripada keimanan.” [Riwayat al-Bukhari (9)]

 

Syeikh Mustafa al-Bugha ketika memberikan ta’liq pada hadith ini, beliau mengatakan bahawa malu itu adalah satu sifat yang di dalam diri manusia dan sifat terebut akan mendorong manusia untuk melakukan perkara-perkara terpuji serta meninggalkan apa yang dicela dan mengaibkan. Berdasarkan soalan di atas, terdapat sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Saidina Ali bin Abi Thalib RA, berkata:

 

كُنْتُ رَجُلًا مَذَّاءً فَأَمَرْتُ المِقْدَادَ بْنَ الأَسْوَدِ أَنْ يَسْأَلَ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَسَأَلَهُ، فَقَالَ: فِيهِ الوُضُوءُ

Maksudnya: “Aku adalah lelaki yang sentiasa keluar mazi. Maka aku meminta al-Miqdad bin al-Aswad untuk bertanya kepada Rasulullah SAW dan dia pun bertanya (kepada Rasulullah SAW) akan hal tersebut. Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Padanya cukup sekadar berwudhuk.” [Riwayat al-Bukhari (132)]

 

Imam al-Bukhari meletakkan hadith ini di dalam bab “Orang yang malu untuk bertanya, lalu meminta orang lain untuk bertanya.” Justeru itu, daripada hadith ini dapat kita fahami atau keluarkan beberapa faedah atau pengajaran, di antaranya:

 

  • Sifat malu itu tidak sepatutnya menghalang seorang muslim daripada bertanya akan perihal agamanya melainkan jika terdapat sesuatu keuzuran yang menghalangnya daripada bertanya. Pada waktu itu, dia bolehlah mewakilkan seseorang untuk bertanya bagi pihaknya.
  • Air mazi hukumnya sama seperti air kencing dari sudut kenajisannya. Maka diwajibkan untuk membasuh tempat yang terkena najis tersebut sebagaimana kita dituntut apabila keluarnya air mazi tersebut untuk kita berwudhuk (memperbaharui wudhuk) dan bukannya mandi apabila ingin mendirikan solat atau sebagainya.
  • Dibolehkan untuk mewakilkan seseorang untuk bertanya bagi pihak dirinya tetapi dengan syarat soalan yang diminta untuk ditanyakan itu adalah jelas pada diri orang yang akan bertanya. Dalam erti kata lain, orang yang akan bertanya itu mampu memahami soalan dengan baik, mampu memahami jawapan yang diberikan dengan baik dan mampu menceritakan kembali jawapan yang diberikan dengan baik. [Lihat: Buhuth fi ‘Ulum al-Hadith wa Nususuhu, 411]

 

Penutup

Kesimpulannya, sifat malu termasuk di dalam sifat-sifat yang terpuji dan ia merupakan lambang kesempurnaan seseorang itu. Akan tetapi, di dalam konteks pelajaran atau bertanya berkaitan sesuatu perkara yang melibatkan urusan agama, maka sifat malu itu perlu diketepikan kerana agama menuntut sedemikian melainkan sekiranya terdapat keuzuran sehingga menyebabkan kita terpaksa mewakilkan seseorang untuk bertanya. Selain itu juga, di sana terdapat kata-kata daripada tokoh Tabi’in yang terkenal iaitu Imam Mujahid iaitu:

 

لَا يَنَالُ الْعِلْمَ حَيِيٌّ وَلَا مُسْتَكْبِرٌ

Maksudnya: “Ilmu tidak akan diperolehi bagi orang malu dan juga orang yang sombong.”

 

Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita daripada kalangan hamba-hamba-Nya malu dalam melakukan maksiat kepada-Nya. Amin.

 

Wallahua’lam