Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-373: SIFAT BACAAN NABI SAW KETIKA SOLAT

 

ih373_15291523.png

 

Soalan: Bagaimanakah bacaan Nabi SAW ketika solat kerana ramai para imam membaca begitu laju terutamanya di dalam solat Tarawih?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Al-Quran merupakan salah satu kitab suci yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW sebagai mukjizat kepada baginda SAW dan juga sebagai panduan kepada umatnya. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

 

كِتَابٌ أَنزَلْنَاهُ إِلَيْكَ لِتُخْرِجَ النَّاسَ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ

Ibrahim:1

Maksudnya: “Ini ialah Kitab (al-Quran) yang Kami turunkannya kepadamu (wahai Muhammad), supaya kamu mengeluarkan umat manusia seluruhnya daripada gelap-gelita (kekufuran) kepada cahaya (keimanan) - dengan izin Tuhan mereka - ke jalan Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji.”

 

Berdasarkan soalan di atas, memang terdapat galakan atau anjuran untuk kita membaca al-Quran dengan tenang dan juga dengan suara yang baik sebagaimana yang terdapat di dalam al-Quran. Antaranya:

 

  • Firman Allah SWT:

أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ أَمْ عَلَىٰ قُلُوبٍ أَقْفَالُهَا

Muhammad: 24

Maksudnya: “(Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran al-Quran)?.”

  • Firman Allah SWT:

وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلًا

Al-Muzammil: 4

Maksudnya: “Dan bacalah al-Quran dengan Tartil.”

 

Menurut Syeikh al-Thanthawi di dalam menafsirkan ayat ini, makna tartil di dalam ayat ini adalah menjadikan sesuatu itu secara tersusun. Untuk itu, di dalam ayat ini Allah SWT berfirman kepada Nabi SAW agar bangun sebahagian daripada malam dengan beribadat kepada-Nya seperti membaca al-Quran secara tartil yang baik dengan menjelaskan perkataan-perkataan dan juga huruf-huruf agar difahami oleh orang yang mendengarnya. Ini kerana, perkara ini akan lebih membantu dalam memperelokkan tadabburnya serta lebih memberi kesan kepada hati.

Tambahan pula, Imam Ibn Kathir menyatakan, ini adalah cara bacaan Nabi SAW sebagaimana yang disebutkan oleh Aisyah R.anha iaitu apabila Rasulullah SAW membaca surah, Baginda SAW akan membacanya dengan tartil. [Lihat: Tafsir al-Wasith, 15/155]

Selain itu, di antara riwayat yang lain berkaitan sifat bacaan Nabi SAW sebagaimana yang diceritakan adalah:

 

  • Daripada Ummu Salamah R.anha, beliau menceritakan berkaitan sifat bacaan Nabi SAW:

قِرَاءَةَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: (بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ. الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ. الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ. مَلِكِ يَوْمِ الدِّينِ) يُقَطِّعُ قِرَاءَتَهُ آيَةً آيَةً

Maksudnya: “Bacaan Rasulullah SAW: بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ. الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ. مَلِكِ يَوْمِ الدِّينِ . Baginda SAW memotong bacaannya ayat demi ayat.” [Riwayat Abu Daud (4001)]

 

Di samping itu juga, telah berlaku ijma’ dalam kalangan salaf dan khalaf daripada sahabat, tabi’in dan selepas daripada mereka dalam kalangan ulama-ulama terkini yang menyatakan bahawa sunat memperelokkan suara ketika membaca al-Quran.” [Lihat: al-Tibyan, 111]

Hal ini berdasarkan kepada beberapa buah hadith dan isu ini telah kami jawab di dalam artikel kami yang lepas iaitu “Irsyad al-Hadith Siri Ke-242: Menghias Suara Ketika Membaca al-Quran.” Walaupun begitu, di sini kami serta beberapa buah hadith berkaitan menghias atau memperelokkan suara ketika membaca al-Quran iaitu:

 

  • Nabi SAW bersabda:

زَيِّنُوا الْقُرْآنَ بِأَصْوَاتِكُمْ

Maksudnya: “Hiasilah al-Quran dengan suara-suara kamu.” [Riwayat Abu Daud (1468)]

 

  • Di dalam hadith yang lain pula, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يَتَغَنَّ بِالْقُرْآنِ

Maksudnya: “Bukan daripada kalangan kami (umat Nabi Muhammad SAW), sesiapa yang tidak memperlagukan bacaan al-Qurannya.” [Riwayat al-Bukhari (7527)]

 

Imam al-Khattabi makna hadith di atas adalah hiasilah suara kamu ketika membaca al-Quran dan ini juga yang ditafsirkan ramai daripada kalangan ahli hadith. [Lihat: ‘Aun al-Ma’bud, 239/4]

 

Selain itu, menurut Imam al-Nawawi makna hadith di atas adalah hendaklah seseorang itu membaca al-Quran dengan suara yang baik agar orang yang mendengar merasa seronok atau asyik. [Lihat: Fatawa Imam al-Nawawi, 293]

 

Setelah melihat kepada beberapa nas dan beberapa pandangan ulama di atas, maka kami cenderung untuk mengatakan bahawa membaca al-Quran perlulah dengan keadaan yang tenang tanpa gopoh serta ia perlu dibaca dengan suara yang baik kerana ini merupakan sunnah Nabi SAW di dalam pembacaan al-Quran. Di samping itu juga, membaca al-Quran dengan laju adalah tidak salah selagimana mereka mengutamakan dan meraikan hukum-hukum tajwid di dalam bacaannya. Ini kerana, bacaan yang laju tanpa meraikan hukum-hukum dan makhraj huruf tidak mencapai tujuan al-Quran itu dibaca.

 

Justeru, kami menasihatkan kepada para imam agar membaca al-Quran dengan tenang tanpa gopoh agar makmum atau orang yang solat dibelakangnya dapat menikmati serta menghayati alunan-alunan suci al-Quran yang dibacakan.

 

Penutup

Kesimpulannya, membaca al-Quran merupakan satu ibadah yang amat besar ganjarannya lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan ini. Di samping itu, antara hikmah disunatkan membaca al-Quran dengan tenang serta memperelokkan suara ketika membacanya adalah agar orang yang mendengarnya merasa khusyuk dan asyik dengan bacaan tersebut. Jika seseorang itu mampu memahami setiap bacaannya itu juga merupakan satu perkara yang amat baik. Akhirnya, semoga Allah SWT menggolongkan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang cintakan al-Quran dan menjadikan al-Quran pemberi syafaat kepadanya di Akhirat kelak. Amin.

 

Wallahua’lam