Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-385: KELEBIHAN ISTIGHFAR PADA PAGI HARI JUMAAT

 

 

ih385_15291523.png

 

Soalan: Apakah terdapat hadith yang menceritakan berkaitan kelebihan istighfar pada hari Jumaat?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Di dalam kehidupan kita, kita perlulah banyak beristighfar kepada Allah SWT iaitu memohon ampun kepada-Nya di atas segala dosa dan kesilapan yang telah kita lakukan. Ini kerana, Nabi SAW yang diketahui bahawa Allah SWT telah mengampunkan dosanya yang telah lalu dan akan datang tidak pernah meninggalkan istighfar ini. Di dalam sebuah hadith, diceritakan bahawa Nabi SAW beristighfar lebih daripada 70 kali sehari sebagaimana yang diriwayatkan di dalam Sahih Imam al-Bukhari:

 

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

وَاللَّهِ إِنِّي لَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِي اليَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً

Maksudnya: “Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan memohon ampun kepada-Nya setiap hari lebih daripada 70 kali”. [Riwayat al-Bukhari (6307)]

 

Berdasarkan soalan di atas, terdapat sebuah hadith yang biasa dijadikan dalil dalam menceritakan berkaitan kelebihan istighfar pada hari Jumaat iaitu:

 

  • Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ قال صَبيحَةَ يَوْمِ الجُمُعَةِ قَبْلَ صَلاةَ الغَدَاةِ: أسْتَغْفِرُ اللهَ الذِي لا إلهَ إلَّا هُوَ الحَيَ القَيومَ وأتُوبُ إلَيْهِ ثلَاثَ مَرَات، غَفَرَ اللهُ تعالى ذُنوبَهُ ولو كانتْ مِثْلَ زَبَدِ البَحْرِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang beristighfar pada pagi hari Jumaat sebelum menunaikan solat pagi. Dengan mengatakan “Aku memohon ampun kepada Allah, Tiada Tuhan melainkan-Nya, yang Maha Hidup, Maha Kekal Mentadbir dan aku bertaubat kepada-Nya sebanyak tiga kali. Maka Allah Taala akan mengampunkan dosa-dosanya walaupun sebanyak buih di lautan.” [Riwayat Ibn al-Sunni (83)]

 

Antara ulama yang menilai status hadith ini ialah Imam al-Hafiz Ibn Hajar. Beliau mengatakan bahawa hadith ini adalah gharib dan sanadnya terlalu dhaif. Selain itu, Imam al-Nawawi ada menukilkan hadith ini di dalam kitabnya al-Azkar dengan sighah tamridh yang menunjukkan bahawa hadith tersebut adalah dhaif. Di samping itu juga, Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai sanad hadith ini dhaif. Walaupun hadith tersebut dinilai dhaif, tetapi terdapat banyak dalil yang bersifat umum menuntut untuk kita memperbanyakkan istighfar dalam setiap masa dan keadaan. Adapun berkaitan makna seperti buih-buih lautan adalah kinayah banyaknya dosa dan dosa-dosa yang diampunkan ini adalah dosa-dosa kecil yang berkaitan dengan hak-hak Allah SWT. [Lihat: al-Futuhat al-Rabbaniyyah, 143/2]

Imam al-Nawawi menyatakan disunatkan kepada kita untuk memperbanyakkan berzikir dan berselawat kepada Nabi SAW pada hari Jumaat berbanding hari-hari yang lain. Selain itu, kita juga disunatkan untuk memperbanyakkan berdoa pada hari tersebut bermula dari terbitnya fajar sehingga terbenamnya matahari. [Lihat: al-Azkar, 85]

Tambahan pula, istighfar mempunyai banyak kelebihan sebagaimana yang riwayatkan oleh Ibn Abbas RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

مَنْ لَزِمَ الِاسْتِغْفَارَ، جَعَلَ اللَّهُ لَهُ مِنْ كُلِّ ضِيقٍ مَخْرَجًا، وَمِنْ كُلِّ هَمٍّ فَرَجًا، وَرَزَقَهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang melazimi (sentiasa) istighfar, Allah SWT menjadikan untuknya bagi setiap kesempitan itu jalan keluar, setiap kebimbangan itu kelapangan dan Allah juga mengurniakan kepadanya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka”. [Riwayat Abu Daud (1518)][Menurut Syeikh Syu’aib al-Arna’outh: Sanadnya dhaif kerana salah seorang perawi bernama al-Hakam bin Mus’ab padanya jahalah (tidak dikenali) sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Zahabi]

 

Penutup

Kesimpulannya, istighfar sangat penting kerana padanya terdapat banyak kelebihan. Selain itu juga, kita sebagai seorang manusia biasa yang tidak lari daripada melakukan kesilapan dan kesalahan perlulah melazimi istighfar di dalam kehidupan seharian kita. Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita dalam kalangan hamba-Nya yang sentiasa melazimi istighfar serta menggolongkan kita dalam kalangan penghuni syurga. Amin.

 

Wallahua’lam