Soalan: Apakah status hadith ini?
عَلَيْكَ بِبَيْتِ الْمَقْدِسِ، فَلَعَلَّهُ أَنْ يَنْشَأَ لَكَ ذُرِّيَّةٌ يَغْدُونَ إِلَى ذَلِكَ الْمَسْجِدِ وَيَرُوحُونَ
Maksudnya: “Pergilah kamu ke Bait al-Maqdis, semoga akan lahir daripada zuriatmu orang-orang yang akan pergi ke masjid dan pulang darinya.”
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Antara kelebihan-kelebihan Masjid al-Aqsa yang warid di dalam al-Quran dan hadith ialah:
- Kiblat pertama umat Islam sebelum diperintahkan untuk menghadap Kaabah.
- Tempat berlakunya peristiwa Isra’ dan Mi’raj.
- Solat di dalam Masjid al-Aqsa lima ratus (500) kali lebih afdhal berbanding solat di tempat lain kecuali di Masjid al-Haram dan Masjid al-Nabawi.
Berdasarkan soalan di atas, hadith di atas telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam musnadnya yang diriwayatkan oleh salah seorang sahabat Nabi SAW bernama Dzu al-Asabi’ berkata:
يَا رَسُولَ اللهِ، إِنْ ابْتُلِينَا بَعْدَكَ بِالْبَقَاءِ أَيْنَ تَأْمُرُنَا؟ قَالَ: عَلَيْكَ بِبَيْتِ الْمَقْدِسِ، فَلَعَلَّهُ أَنْ يَنْشَأَ لَكَ ذُرِّيَّةٌ يَغْدُونَ إِلَى ذَلِكَ الْمَسْجِدِ وَيَرُوحُونَ
Maksudnya: “Wahai Rasulullah! Jika kami diuji dengan panjang usia setelah anda wafat, ke mana kamu perintahkan kami untuk berada?. Sabda Nabi SAW: “Pergilah kamu ke Bait al-Maqdis, semoga akan lahir daripada zuriatmu orang-orang yang akan pergi ke masjid dan pulang darinya.” [Riwayat Ahmad (16632)]
Sanad hadith ini dinilai dhaif oleh Syeikh Syu’aib al-Arna’outh disebabkan dhaifnya Uthman bin ‘Atha’ iaitu Ibn Abi Muslim al-Khurasani. Akan tetapi, status perawi ini diperselisihi dalam kalangan para ulama. Adapun perawi-perawi yang lain adalah thiqah melainkan Abu ‘Imran dan dia merupakan al-Ansari al-Syami mawla kepada Ummu al-Darda’. Oleh itu, kami menyatakan bahawa hadith di atas dhaif disebabkan salah seorang perawi di dalam sanad hadith tersebut dinilai dhaif oleh para ulama iaitu Uthman bin ‘Atha’.
Penutup
Kesimpulannya, masjid al-Aqsa merupakan salah sebuah masjid yang mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi umat Islam. Di samping itu, masjid al-Aqsa juga merupakan salah sebuah masjid yang dituntut untuk kita mengembara untuk sampai kepadanya. Hal ini berdasarkan sebuah hadith yang sahih:
- Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
لاَ تُشَدُّ الرِّحَالُ إِلَّا إِلَى ثَلاَثَةِ مَسَاجِدَ: المَسْجِدِ الحَرَامِ، وَمَسْجِدِ الرَّسُولِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَمَسْجِدِ الأَقْصَى
Maksudnya: “Janganlah kamu bersusah payah mengembara (atau bermusafir bagi tujuan ibadah) melainkan pada tiga buah masjid iaitu masjid al-Haram, masjid Rasulullah SAW dan juga masjid al-Aqsa”. [Riwayat al-Bukhari (1189)]
Akhirnya, semoga Allah SWT mengurniakan kita kesempatan untuk menunaikan solat di tempat-tempat yang mulia ini termasuklah di masjid al-Aqsa. Amin.
Wallahua’alm