Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-405: KISAH ABU BAKAR RA TERLEWAT KETIKA SOLAT BERJEMAAH

 

 

ih405_15291523.png

 

Soalan: Apakah status kisah ini Abu Bakar al-Siddiq terlewat ketika solat bersama dengan Nabi SAW?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Membaca sirah atau perjalanan hidup Rasulullah SAW dan para sahabatnya amatlah digalakkan. Ini kerana, mereka berada pada kurun yang terbaik sebagaimana yang disifatkan oleh Rasulullah SAW dan mereka berada ketika zaman penurunan wahyu kepada Rasulullah SAW.

Berdasarkan soalan di atas, di sini kami menukilkan kisah tersebut terlebih dahulu:

 

يقال أن: أبا بكر الصديق لم تفته الركعة اﻷولى خلف رسول الله يوما ، ولكن في أحد الأيام تأخر قليلا ، وكادت أن تفوته الركعة اﻷولى ، ولكنه أدركها في الركوع ، وبينما هو راكع إذ حمد الله أنه أدركها ، وفي تلك اللحظة نزل الوحي على الرسول صل الله عليه وسلم ، وأخبره بأن الله تعالى قد سمع حمد أبي بكر الصديق ، فرفع الرسول من الركوع قائلا : (سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ) فاحتار الصحابة ، ولكن سيدنا أبو بكر علم أنه المعني باﻷمر ، فردد قائلا: (رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ) فأصبحت سنة إلى يوم القيامة

Maksudnya: “Dikatakan bahawa Abu Bakar al-Siddiq tidak pernah tertinggal rakaat pertama di belakang Rasulullah SAW walaupun sehari. Satu hari Abu Bakar RA terlewat sedikit dan beliau merasakan bahawa telah tertinggal rakaat yang pertama. Akan tetapi, beliau sempat ruku’ pada rakaat yang pertama tersebut dan ketika itu beliau bertahmid kepada Allah kerana sempat mendapatkan rakaat yang pertama. Pada waktu itu, turun wahyu kepada Rasulullah SAW dan mengkhabarkan kepada Baginda SAW bahawa Allah SWT telah mendengar ucapan tahmid Abu Bakar al-Siddiq. Setelah Rasulullah SAW bangun daripada ruku’, Baginda berkata: “ سمع الله لمن حمده (Allah mendengar sesiapa yang bertahmid kepada-Nya). Para sahabat pun hairan tetapi Saidina Abu Bakar tahu yang dimaksudkan adalah beliau. Lalu beliau mengucapkankan: “ربنا ولك الحمد (Tuhan kami dan kepada Engkau segala pujian).” Maka ia menjadi sunat sehingga hari Kiamat.”

 

Kami tidak menemui kisah ini di dalam kitab hadith yang muktabar melainkan ada dinukilkan di dalam kitab-kitab fiqh yang terkemudian seperti di dalam Hasyiah ‘Ianah al-Tholibin [1/180] dan Hasyiah al-Jamal [1/366]. Tambahan pula, kisah ini disebutkan tanpa disertakan sanad. Akan tetapi, terdapat kisah atau riwayat yang lain di dalam Sunan al-Nasa’ie yang menceritakan peristiwa yang hampir sama tetapi ia tidak berlaku kepada Abu Bakar AS, iaitu:

 

  • Daripada Rifa’ah bin Rafi’ berkata:

 

كُنَّا يَوْمًا نُصَلِّي وَرَاءَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَلَمَّا رَفَعَ رَأْسَهُ مِنَ الرَّكْعَةِ قَالَ: "سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ"، قَالَ رَجُلٌ وَرَاءَهُ: رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ حَمْدًا كَثِيرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ، فَلَمَّا انْصَرَفَ، قَالَ: "مَنِ المُتَكَلِّمُ" قَالَ: أَنَا، قَالَ: "رَأَيْتُ بِضْعَةً وَثَلاَثِينَ مَلَكًا يَبْتَدِرُونَهَا أَيُّهُمْ يَكْتُبُهَا أَوَّلُ."

Maksudnya: “Kami pernah solat bersama Rasulullah SAW, ketika Baginda SAW bangun daripada ruku’ Baginda SAW membaca سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ. Tiba-tiba ada seorang daripada sahabat yang membaca, رَبَّنَا وَلَكَ الحَمْدُ حَمْدًا كَثِيرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ (Wahai Tuhan kami, bagi-Mu segala pujian, aku memuji-Mu dengan pujian yang banyak, yang baik dan penuh dengan barakah). Selepas selesai solat, Rasulullah SAW bertanya: “Siapa yang mengucapkan kalimah itu?” Sahabat itu berkata, “Saya.” Kemudian Rasulullah SAW bersabda: “Aku melihat lebih tiga puluh malaikat berebut untuk menjadi yang pertama pada mencatatnya (pahalanya).” [Riwayat al-Bukhari (799)]

 

Imam al-Syaukani di dalam kitabnya ada menyatakan bahawa lelaki yang dimaksudkan di dalam hadith adalah Rifa’ah sebagaimana di dalam hadith pada bab tersebut. [Lihat: Nayl al-Awthar, 2/376] Akan tetapi, kisah yang dinyatakan di atas berlaku kepada Abu Bakar al-Siddiq RA bukan kepada Rifa’ah.

 

Penutup

Kesimpulannya, kisah di atas tidak diketahui akan asalnya di dalam kitab yang muktabar walaupun ia ada dinukilkan di dalam kitab-kitab yang terkemudian. Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan akhlak kita seperti akhlak para salaf soleh yang mana mereka hidup pada kurun-kurun yang terbaik. Amin.

 

Wallahua’lam