Soalan: Apakah terdapat hadith berkaitan kelebihan tembikai?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Setiap insan ada kecenderungan atau minat yang tersendiri pada sesuatu perkara termasuklah makanan. Di dalam hadith ada dinyatakan di antara makanan yang digemari atau pernah dimakan oleh Baginda SAW. Antaranya adalah buah tembikai sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam al-Tirmizi di dalam kitabnya Sunan al-Tirmizi dan al-Syamail al-Muhammadiyyah:
- Daripada Aisyah R.anha berkata:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَأْكُلُ البِطِّيخَ بِالرُّطَبِ
Maksudnya: “Adapun Nabi SAW pernah memakan buah tembikai bersama kurma basah.” [Riwayat al-Tirmizi (3836)][Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan gharib. Manakala Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai sanad hadith ini adalah baik]
Berdasarkan soalan di atas, sememangnya terdapat beberapa hadith yang disandarkan kepada Nabi SAW dalam menceritakan berkaitan kelebihan memakan tembikai. Antaranya:
- Dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda:
مَا مِنْ امْرَأَةٍ حَامِلَة أَكَلَتِ البِطِّيخ، إِلَّا يَكُوْن مَوْلُودها حَسُنَ الوَجْهِ وَالخُلُقِ
Maksudnya: “Tidak ada seorang pun daripada wanita yang hamil apabila memakan buah tembikai, melainkan anak yang akan dilahirkan mempunyai wajah dan akhlak yang baik.”
- Dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda:
الْبِطِّيخُ قَبْلَ الطَّعَامِ يَغْسِلُ الْبَطْنَ غَسْلًا وَيَذْهَبُ بِالدَّاءِ أَصْلًا
Maksudnya: “Memakan tembikai sebelum makan akan mencuci perut dan akan menghilangkan penyakit.”
Pandangan Ulama Terhadap Hadith Kelebihan Buah Tembikai:
- Imam Ahmad (241 H) mengatakan tidak ada yang sahih pada menceritakan kelebihan tembikai melainkan Rasulullah SAW pernah memakannya. [Lihat: al-Asrar al-Marfu’ah, 486]
- Imam Ibn al-Jauzi (597 H) mengatakan tidak ada yang sahih pada menyatakan kelebihan buah tembikai. [Lihat: al-Mawdhu’at, 2/286]
- Imam al-Nawawi (676 H) juga menyatakan bahawa tidak ada satu pun hadith yang sahih padanya (iaitu pada kelebihan buah tembikai). [Lihat: Fatawa al-Nawawi, 266]
- Imam al-Zarkashi (794 H) menegaskan tidak ada hadith yang thabit (daripada Nabi SAW) berkaitan kelebihan tembikai. [Lihat: al-Masnu’ fi Ma’rifah al-Hadith al-Mawdhu’, 77]
- Imam al-Qawuqji (1305 H) berkata telah menukilkan kata-kata Ibn al-Daiba’ bahawa Abu ‘Amr al-Tuqani telah menulis berkenaan kelebihan tembikai sebanyak satu juzuk kitab dan hadith-hadithnya adalah batil.
- Imam al-Fattani (1343 H) berkata hadith-hadith yang menceritakan tentang kelebihan tembikai adalah bathil (tidak sahih). [Lihat: Tazkirah al-Mawdhu’at, 148]
Melihat kepada beberapa pandangan para ulama di atas, kami cenderung untuk mengatakan bahawa tidak terdapat hadith yang sahih pada menceritakan berkaitan kelebihan buah tembikai melainkan hadith yang menceritakan bahawa Nabi SAW pernah memakannya ketika hayat Baginda SAW sepertimana yang disebutkan oleh Aisyah R.anha.
Penutup
Kesimpulannya, tidak terdapat hadith-hadith yang sahih pada menceritakan berkaitan kelebihan memakan buah tembikai melainkan hadith yang menceritakan bahawa Nabi SAW pernah memakannya. Di samping itu, sekiranya terdapat ahli Sains yang menyebutkan akan kelebihan buah tembikai maka ia tidaklah menjadi masalah untuk mempercayainya walaupun di sana tidak terdapat hadith yang menceritakan perkara tersebut. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT:
فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
al-Nahl: 43
Maksudnya: “Oleh itu, bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan jika kamu tidak mengetahui.”
Justeru, haram bagi kita untuk meriwayatkannya serta menyebarkannya melainkan untuk menyatakan akan kepalsuannya. Tambahan pula, mengenalpasti akan kesahihan status sebuah hadith adalah penting kerana Nabi SAW telah mengancam terhadap orang-orang yang melakukan pendustaan terhadapnya sebagaimana sabdanya SAW:
مَنْ حَدَّثَ عَنِّي بِحَدِيْثٍ يُرَىْ أَنَّهُ كَذِبٌ فَهُوَ أَحَدُ الْكَاذِبِيْنَ
Maksudnya: “Sesiapa yang menyampaikan daripadaku sesuatu hadith yang pada sangkaannya adalah dusta maka dia adalah termasuk dalam kalangan pendusta.” [Lihat: Muqaddimah Sahih Muslim]
Akhirnya, semoga Allah SWT sentiasa memelihara kita serta menjaga lidah kita daripada mengucapkan sebarang pendustaan di atas nama Baginda SAW. Amin.
Wallahua’lam