Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-422: HADITH SAHABATKU SEPERTI BINTANG

 

ih422_15291523.png

 

Soalan: Apakah maksud dan status hadith ini?

  • Dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda:

أَصْحَابِي كَالنُّجُومِ فَبِأَيِّهِمُ اقْتَدَيْتُمُ اهْتَدَيْتُمْ

Maksudnya: “Para sahabatku seperti bintang-bintang. Dengan sesiapa sahaja kamu ikuti nescaya kamu akan memperoleh petunjuk.”

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Sahabat Nabi SAW merupakan di antara generasi yang terbaik kerana mereka hidup sezaman dengan Nabi SAW dan mereka juga dididik sendiri oleh Baginda SAW. Hal ini diakui sendiri oleh Baginda SAW melalui sabdanya:

 

خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِي، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ

Maksudnya: “Sebaik-baik manusia adalah kurunku. Kemudian kurun selepas daripada mereka dan kemudian kurun selepas daripada mereka.” [Riwayat al-Bukhari (3651)]

 

Selain itu juga, di dalam al-Quran ada dinyatakan bahawa Allah SWT meredhai para sahabat ini dan Allah SWT menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai:

 

وَالسَّابِقُونَ الْأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالْأَنصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُم بِإِحْسَانٍ رَّضِيَ اللَّـهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ۚ ذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ 

al-Taubah: 100

Maksudnya: “Dan orang-orang yang terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) daripada Muhajirin dan Ansar serta orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia, serta Dia menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya, itulah kemenangan yang besar.”

 

Di samping itu juga, Nabi SAW melarang sebarang penghinaan ke atas para sahabatnya sebagaimana sabdanya:

 

  • Daripada Abu Said al-Khudri RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

لاَ تَسُبُّوا أَصْحَابِي، فَلَوْ أَنَّ أَحَدَكُمْ أَنْفَقَ مِثْلَ أُحُدٍ، ذَهَبًا مَا بَلَغَ مُدَّ أَحَدِهِمْ، وَلاَ نَصِيفَهُ

Maksudnya: “Janganlah kamu menghina sahabatku, sekiranya salah seorang daripada kamu menginfaqkan emas sebesar bukit Uhud, tidak akan menyamai satu cupak (pahala) seorang pun daripada mereka dan tidak juga separuh daripadanya.” [Riwayat al-Bukhari (3673)]

 

Berdasarkan soalan di atas, Imam al-Baihaqi ada menukilkan satu riwayat yang hampir sama dengan riwayat di atas di dalam kitabnya [Lihat: al-Madkhal ila ‘Ilm al-Sunan, 2/580] dan begitu juga Imam al-Khatib al-Baghdadi di dalam kitabnya [Lihat: al-Kifayah fi ‘Ilm al-Riwayah, 1/48] iaitu:

 

إِنَّ أَصْحَابِي بِمَنْزِلَةِ النُّجُومِ فِي السَّمَاءِ , فَأَيُّهَا أَخَذْتُمْ بِهِ اهْتَدَيْتُمْ , وَاخْتِلَافُ أَصْحَابِي لَكُمْ رَحْمَةٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya para sahabatku sama kedudukannya seperti bintang-bintang di langit. Dengan sesiapa sahaja kamu ambil nescaya kamu akan memperoleh petunjuk dan perselisihan para sahabatku adalah satu kerahmatan buat kamu.”

 

Tambahan pula, para ulama berselisih pandangan menilai hadith ini. Sebahagian mereka menilai ia merupakan hadith terlalu dhaif dan sebahagian yang lain menilai ia adalah hadith yang palsu. Di sini kami sertakan pandangan para ulama dalam menilai hadith ini:

 

  • Imam Ibn Hazm (456 H) mengatakan hadith ini adalah bathil lagi dusta. [Lihat: al-Ihkam fi Usul al-Ahkam, 5/64]
  • Imam Ibn Abd al-Bar (463 H) menilai hadith ini tidak sahih daripada Nabi SAW. [Lihat: Jami’ Bayan al-‘Ilm, 2/923]
  • Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (751 H) menyatakan hadith ini diriwayatkan melalui banyak jalur tetapi kesemuanya tidak thabit daripada Nabi SAW. [Lihat: ‘Ilam al-Muwaqqi’in, 3/543]
  • Imam Ibn Mulaqqin (804 H) menilai riwayat ini tidak sahih daripada Nabi SAW. [Lihat: al-Badr al-Munir, 9/587]
  • Imam al-Syaukani (1250 H) mengatakan bahawa hadith ini tidak thabit daripada Nabi SAW. [Lihat: Fath al-Rabbani, 5/2179]

 

Berikut adalah sebahagian daripada penilaian para ulama berkaitan riwayat ini. Justeru, kami berpandangan bahawa riwayat di atas adalah tidak sahih daripada Nabi SAW. Ini kerana, sebahagian besar perawi di dalam sanad tersebut dinilai oleh tokoh-tokoh di dalam ilmu hadith seperti al-Bukhari, al-Daraqutni, al-Nasa’ie dan selain daripada mereka bahawa di dalamnya terdapat perawi yang matruk (ditinggalkan riwayatnya), perawi yang meriwayatkan hadith-hadith palsu, perawi yang mungkar (diingkari riwayatnya) dan sebagainya.

 

Penutup

Kesimpulannya, Sebagai seorang mukmin yang cinta kepada Rasulullah SAW seharusnya bagi kita menjaga nama dan batang tubuh Rasulullah SAW daripada dicemari dengan pendustaan dan pemalsuan golongan yang tidak bertanggungjawab. Ini merupakan bukti cinta dan kasih kita kepada Rasulullah SAW sebagaimana di dalam sebuah hadith:

 

  • Sabda Nabi SAW

لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ، حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ

Maksudnya: “Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga dia kasih kepadaku lebih daripada dia kasih kepada ibubapanya, anakya dan manusia keseluruhannya.” [Riwayat al-Bukhari (15)]

 

Di samping itu juga, menjadi kewajipan kita semua sebelum membaca, menulis, mengajar, menyampai atau menyebarkan sesebuah hadith Nabi SAW perlulah dikenalpasti terlebih dahulu akan sumber dan status (hukum) hadith tersebut kerana bimbang dengan tidak menyatakan sumber dan hukum hadith akan terjerumus ke dalam ancaman Nabi SAW tersebut. Dengan cara ini, ia akan menjaga kesucian agama ini dan juga penyelewengan golongan-golongan yang ingin menghancurkan Islam. hadith di atas adalah tidak sahih dan kita sesekali tidak dibenarkan menyebarkannya kepada orang lain. Akhirnya, semoga Allah SWT memelihara lidah-lidah kita daripada menyampaikan dan menyebarkan hadith-hadith yang tidak sahih. Amin.

 

Wallahua’lam