Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-428: HADITH AISYAH CEMBURU KERANA RAMAI WANITA INGIN MENGAHWINI NABI

HADITH AISYAH CEMBURU.JPG

Soalan:

Saya pernah mendengar satu hadith dimana Saidatina Aisyah R.Anha cemburu kerana ramainya wanita yang menawarkan diri mereka untuk dikahwini oleh Nabi Muhammad SAW. Boleh SS Mufti syarahkan hadith tersebut?

 

Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah, selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, dan ke atas ahli keluarga, isteri-isteri baginda dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke Hari Akhirat.

Firman Allah SWT:

وَامْرَأَةً مُّؤْمِنَةً إِن وَهَبَتْ نَفْسَهَا لِلنَّبِيِّ إِنْ أَرَادَ النَّبِيُّ أَن يَسْتَنكِحَهَا خَالِصَةً لَّكَ مِن دُونِ الْمُؤْمِنِينَ ۗ قَدْ عَلِمْنَا مَا فَرَضْنَا عَلَيْهِمْ فِي أَزْوَاجِهِمْ وَمَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ لِكَيْلَا يَكُونَ عَلَيْكَ حَرَجٌ ۗ وَكَانَ اللَّـهُ غَفُورًا رَّحِيمًا 

ترْجِي مَن تَشَاءُ مِنْهُنَّ وَتُؤْوِي إِلَيْكَ مَن تَشَاءُ ۖ وَمَنِ ابْتَغَيْتَ مِمَّنْ عَزَلْتَ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكَ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰ أَن تَقَرَّ أَعْيُنُهُنَّ وَلَا يَحْزَنَّ وَيَرْضَيْنَ بِمَا آتَيْتَهُنَّ كُلُّهُنَّ ۚ وَاللَّـهُ يَعْلَمُ مَا فِي قُلُوبِكُمْ ۚ وَكَانَ اللَّـهُ عَلِيمًا حَلِيمًا 

Maksudnya: …dan (Kami telah halalkan bagimu) mana-mana perempuan yang beriman yang memberikan dirinya kepada Nabi (untuk dikahwininya dengan tidak membayar maskahwin) kalaulah Nabi suka berkahwin dengannya; perkahwinan yang demikian adalah khas bagimu semata-mata, buka bagi orang-orang yang beriman umumnya; sesungguhnya Kami telah mengetahui apa yang Kami wajibkan kepada orang-orang mukmin mengenai isteri-isteri mereka dan hamba-hamba perempuan yang mereka miliki; - supaya tidak menjadi keberatan bagimu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Kamu boleh menangguhkan sesiapa yang engkau kehendaki dari mereka dan engkau boleh mendamping: sesiapa yang engkau kehendaki; dan sesiapa yang engkau hendak mendampinginya kembali dari mereka yang telah engkau jauhi itu maka tidaklah menjadi salah bagimu melakukannya; kebebasan yang diberikan kepadamu itu (bila diketahui oleh mereka) adalah lebih dekat untuk mententeramkan hati mereka, dan menjadikan mereka tidak berdukacita, serta menjadikan mereka pula reda akan apa yang engkau lakukan kepada mereka semuanya. Dan (ingatlah) Allah sedia mengetahui apa yang ada dalam hati kamu; dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar.

Surah al-Ahzab (50-51)

Menurut Syeikh Wahbah al-Zuhaily, ayat ini menyatakan salah satu kategori wanita yang halal dinikahi oleh Rasulullah SAW, iaitu wanita mu’minah yang menawarkan diri untuk dinikahi oleh Baginda SAW. Terdapat dua syarat sah pernikahan secara hibah (wanita menawarkan diri untuk dikahwini), iaitu wanita itu menghibahkan diri mereka kepada Nabi SAW dan memang Nabi SAW mahu menikahinya.. Pernikahan melalui kaedah tanpa mahar, wali dan saksi ini hanya khusus kepada Baginda Nabi SAW sahaja.

Namun menurut Ibnu ‘Abbas R.A dan Mujahid, Nabi SAW tidak pernah menerima tawaran mana-mana wanita yang menghibahkan diri mereka untuk dikahwini Baginda. Hal ini sekaligus menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa bahawa Rasulullah SAW bernikah dengan ramai isteri atas dorongan nafsu. Jika dakwaan tersebut benar, nescaya Nabi SAW akan menikahi mana-mana wanita yang menghibahkan diri mereka kepada Baginda, apatah lagi pernikahan tersebut boleh berlangsung tanpa wali, saksi dan mahar. (Rujuk Tafsir al-Munir 22/65)

Sebab penurunan ayat ini ialah kerana ramainya wanita pada masa itu yang menawarkan diri mereka untuk dikahwini oleh Rasulullah SAW. Daripada Abu Hisyam R.A:

كَانَتْ خَوْلَةُ بِنْتُ حَكِيمٍ مِنَ اللاَّئِي وَهَبْنَ أَنْفُسَهُنَّ لِلنَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَتْ عَائِشَةُ أَمَا تَسْتَحِي الْمَرْأَةُ أَنْ تَهَبَ نَفْسَهَا لِلرَّجُلِ فَلَمَّا نَزَلَتْ ‏{‏تُرْجِئُ مَنْ تَشَاءُ مِنْهُنَّ‏}‏ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا أَرَى رَبَّكَ إِلاَّ يُسَارِعُ فِي هَوَاكَ‏

Maksudnya: Khaulah binti Hakim merupakan antara wanita yang menawarkan diri untuk dikahwini oleh Nabi Muhammad SAW, melihatkan keadaan itu maka Aisyah R.Anha pun berkata: “Adakah wanita-wanita ini tidak berasa malu dalam menawarkan diri kepada lelaki untuk dikahwini?”. Maka apabila turunnya ayat al-Quran تُرْجِي مَنْ تَشَاءُ مِنْهُنَّ وَتُؤْوِي إِلَيْكَ مَنْ تَشَاءُ , Aisyah pun berkata: “Wahai Rasulullah, aku melihat Tuhanmu (Allah SWT) begitu cepat sekali memenuhi kehendak dan keinginanmu.

Sahih al-Bukhari (4823)

Lafaz yang lain pula diriwayatkan oleh Aisyah R.Anha sendiri:

كُنْتُ أَغَارُ عَلَى اللاَّتِي وَهَبْنَ أَنْفُسَهُنَّ لِرَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَأَقُولُ وَتَهَبُ الْمَرْأَةُ نَفْسَهَا فَلَمَّا أَنْزَلَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ ‏{‏ تُرْجِي مَنْ تَشَاءُ مِنْهُنَّ وَتُؤْوِي إِلَيْكَ مَنْ تَشَاءُ وَمَنِ ابْتَغَيْتَ مِمَّنْ عَزَلْتَ‏}‏ قَالَتْ قُلْتُ وَاللَّهِ مَا أَرَى رَبَّكَ إِلاَّ يُسَارِعُ لَكَ فِي هَوَاكَ.

Maksudnya: Aku merasa cemburu kepada wanita-wanita yang menawarkan diri untuk dikahwini oleh Nabi Muhammad SAW, dan aku berkata “patutkah seorang wanita menawarkan dirinya kepada lelaki untuk dikahwini?”. Tatkala Allah SWT menurunkan ayat تُرْجِي مَنْ تَشَاءُ مِنْهُنَّ وَتُؤْوِي إِلَيْكَ مَنْ تَشَاءُ Aku berkata “Demi Allah aku melihat Tuhanmu (Allah SWT) begitu cepat sekali memenuhi kehendak dan keinginanmu”.

Sahih Muslim (1464)

Kata-kata yang diucapkan oleh Saidatina Aisyah R.Anha dalam hadith di atas perlu difahami dengan baik, agar kita tidak berburuk sangka terhadap keperibadian Nabi SAW dan Saidatina Aisyah sendiri.

Menurut Imam al-Nawawi, kata-kata Aisyah itu bermaksud Allah SWT memberi keringanan, keluasan dan pilihan kepada Baginda Nabi SAW dalam banyak perkara. (Rujuk Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim 10/50)

Menurut Imam al-Qurtubi pula, ucapan Aisyah ini muncul disebabkan oleh rasa cemburu (al-ghirah) dan rasa ingin bermanja dan dipujuk oleh Nabi SAW (al-dallal), dan hal ini dapat dilihat dalam dua keadaan lain yang melibatkan Baginda SAW dan Aisyah R.Anha:

  1. Daripada Aisyah R.Anha:

قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏"‏ إِنِّي لأَعْلَمُ إِذَا كُنْتِ عَنِّي رَاضِيَةً وَإِذَا كُنْتِ عَلَىَّ غَضْبَى ‏"‏ ‏.‏ قَالَتْ فَقُلْتُ وَمِنْ أَيْنَ تَعْرِفُ ذَلِكَ قَالَ ‏"‏ أَمَّا إِذَا كُنْتِ عَنِّي رَاضِيَةً فَإِنَّكِ تَقُولِينَ لاَ وَرَبِّ مُحَمَّدٍ وَإِذَا كُنْتِ غَضْبَى قُلْتِ لاَ وَرَبِّ إِبْرَاهِيمَ ‏"‏ ‏.‏ قَالَتْ قُلْتُ أَجَلْ وَاللَّهِ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا أَهْجُرُ إِلاَّ اسْمَكَ

Maksudnya: Rasulullah SAW berkata kepadaku: “Aku tahu apabila kamu gembira denganku, dan apabila kamu marah padaku”. Aku bertanya: “Bagaimana kamu mengetahuinya?” Baginda SAW menjawab: “Apabila kamu gembira, kamu akan berkata ‘Tidak, demi Tuhan Muhammad’, dan apabila kamu marah, kamu akan berkata ‘Tidak, demi Tuhan Ibrahim’. Lalu aku berkata: “Benar, wahai Rasulullah, aku tidak menyebut namamu sewaktu aku marah padamu”.

Sahih Muslim (2439)

  1. Begitu juga sewaktu peristiwa fitnah hadith al-ifk, dimana Aisyah R.Anha dituduh melakukan perbuatan oleh golongan munafiq, sewaktu Baginda SAW membawa khabar gembira daripada Allah SWT:

يَا عَائِشَةُ، أَمَّا اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ فَقَدْ بَرَّأَكِ ‏"‏‏.‏ فَقَالَتْ أُمِّي قُومِي إِلَيْهِ‏.‏ قَالَتْ فَقُلْتُ وَاللَّهِ، لاَ أَقُومُ إِلَيْهِ، وَلاَ أَحْمَدُ إِلاَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ

Maksudnya: "Wahai Aisyah, Allah SWT telah mengisytiharkan bahawa kamu tidak bersalah. Ibuku berkata padaku: Bangun dan pergi kepada Nabi SAW. Aku berkata: “Demi Allah, aku tidak akan memuji sesiapapun kecuali Allah ‘Azza wa Jalla.

Sahih al-Bukhari (4750)

Menisbahkan sifat hawa nafsu kepada Nabi SAW juga perlu dijauhi sebagai satu bentuk memuliakan Baginda SAW. Tambah Imam al-Qurtubi lagi, alangkah baiknya jika Aisyah menggantikan perkataan ‘hawa’ dengan ‘keredhaan’, dan nescaya ia lebih baik dan sesuai. (Rujuk Al-Mufhim lima Asykala min Talkhis Kitab Muslim 4/211)

Kata-kata Imam al-Qurtubi ini juga diriwayatkan oleh Imam Ibn Hajar dalam kitabnya Fath al-Bari, dan ini mengisyaratkan bahawa beliau turut bersetuju dengan pandangan Imam al-Qurtubi. (Rujuk Fath al-Bari 9/165)

Menurut Syeikh Nuruddin al-Sindi pula, Aisyah R.Anha memandang perbuatan para wanita yang menawarkan diri mereka untuk dikahwini itu sebagai suatu yang tidak sopan, dan beliau ingin menjauhkan mereka daripada Baginda Nabi SAW. Adapun kata-kata “aku melihat Tuhanmu (Allah SWT) begitu cepat sekali memenuhi kehendak dan keinginanmu” merupakan satu bentuk kinayah (kiasan) oleh Aisyah yang menunjukkan beliau tidak lagi memandang buruk terhadap wanita-wanita tersebut, setelah datangnya firman Allah SWT yang memberi pilihan kepada Nabi SAW untuk mengahwini wanita-wanita tersebut atau tidak.

Dengan kata lain, seolah-oleh Aisyah cuba menyatakan: Dahulu aku mencegah para wanita daripada menawarkan diri untuk dikahwini oleh Nabi, namun setelah aku dapati Allah SWT pun memenuhi kehendak Nabi SAW, maka aku pun redha dengan keadaan tersebut. (Rujuk Hasyiyah al-Sindi ‘ala Sunan al-Nasa’ie 6/54)

 

Kesimpulan

Tuntasnya, kami nyatakan bahawa ucapan Saidatina Aisyah R.Anha tersebut muncul kerana sifat cemburu yang merupakan satu sifat yang tabi’e dalam diri setiap manusia, dan ucapan tersebut adalah dimaafkan dari sudut syarak.

Saidatina Aisyah R.Anha selaku seorang yang bergelar Ummul Mu’minin, seorang yang bertaqwa dan tinggi keimanannya juga tidaklah berniat untuk mengingkari perintah Allah SWT dan Rasul-Nya, namun sebagai seorang manusia, beliau mempunyai sifat manusiawi yang sudah dijadikan oleh Allah SWT dalam diri setiap manusia.

Wallahu a’lam.