Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-463: MAKSUD DOA TOLAK WABA’ (SIRI 1)

 

 

 

ih463_15291523.png

 

Soalan: Apakah sumber dan makna doa ini?

بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ،

Maksudnya: “Dengan nama Allah yang tidak dimudharatkan sesuatu pun dengan nama-Nya sama ada di bumi atau di langit. Dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Kita sebagai seorang yang beriman perlulah sentiasa berdoa kepada Allah SWT kerana insan ini sifatnya lemah dan sentiasa mengharapkan kepada sang Penciptanya dalam setiap keadaan dan masa. Justeru itu, banyak doa-doa yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada kita untuk digunakan dalam kehidupan seharian kita. Berdasarkan soalan di atas, di sini kami akan sertakan sumber dan makna ringkas bagi doa di bawah ini:

  • Daripada Uthman bin Affan RA, beliau mendengar Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَالَ بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ، فِي الْأَرْضِ، وَلَا فِي السَّمَاءِ، وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، ثَلَاثَ مَرَّاتٍ، لَمْ تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ، حَتَّى يُصْبِحَ، وَمَنْ قَالَهَا حِينَ يُصْبِحُ ثَلَاثُ مَرَّاتٍ، لَمْ تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ حَتَّى يُمْسِيَ

Maksudnya: “Barangsiapa yang membaca: “Dengan nama Allah yang tidak dimudharatkan sesuatu pun dengan nama-Nya sama ada di bumi atau di langit. Dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui” sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa bala sehingga pagi dan barangsiapa yang membacanya pada waktu sebanyak  tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa kesusahan bala sehingga petang.”

Sumber Dan Hukum Hadith

Hadith ini diriwayatkan oleh Uthman bin Affan RA dan ia diriwayatkan oleh Imam Abu Daud di dalam Sunannya (5088). Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai hadith ini sebagai hasan ketika mengtakhrijkan hadith-hadith di dalam Sunan Abu Daud termasuklah hadith ini. Doa ini juga diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi di dalam Sunannya (3388) dan beliau menilai hadith ini sebagai hasan sahih gharib. Manakala, ia juga diriwayatkan oleh Imam Ibn Majah di dalam Sunannya (3869) dengan matan yang mana keduanya (riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah) sedikit berbeza, iaitu:

مَا مِنْ عَبْدٍ يَقُولُ فِي صَبَاحِ كُلِّ يَوْمٍ وَمَسَاءِ كُلِّ لَيْلَةٍ: بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ، وَهُوَ السَّمِيعُ العَلِيمُ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ، فَيَضُرَّهُ شَيْءٌ

Maksudnya: “Tidaklah seorang hamba itu apabila membaca setiap hari pada waktu pagi dan setiap petang pada waktu malam: Dengan nama Allah yang tidak dimudharatkan sesuatu pun dengan nama-Nya sama ada di bumi atau di langit. Dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui sebanyak tiga kali nescaya tidak akan dimudharatkan dengan sesuatu.”

Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menilai riwayat ini (riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah) di dalam kitabnya sebagai hasan sahih. [Lihat: Nata’ij al-Afkar, 2/367] Selain itu juga, Imam Ahmad turut meriwayatkan hadith di dalam Musnadnya (474) dan Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai hadith ini bahawa sanad hadith ini adalah hasan ketika mengtakhrijkan hadith-hadith di dalam Musnad Ahmad, iaitu:

مَنْ قَالَ فِي أَوَّلِ يَوْمِهِ، أَوْ فِي أَوَّلِ لَيْلَتِهِ: بِسْمِ اللهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلا فِي السَّمَاءِ، وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، ثَلاثَ مَرَّاتٍ، لَمْ يَضُرَّهُ شَيْءٌ فِي ذَلِكَ الْيَوْمِ، أَوْ فِي تِلْكَ اللَّيْلَةِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang membaca pada awal harinya (siang) dan pada awal malamnya: Dengan nama Allah yang tidak dimudharatkan sesuatu pun dengan nama-Nya sama ada di bumi atau di langit. Dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui sebanyak tiga kali nescaya tidak akan dimudharatkan dengan sesuatu pada hari tersebut atau pada malam tersebut.”

Oleh itu, kami berpandangan bahawa hadith ini adalah hasan disebabkan di dalam sanad terdapat seorang perawi bernama Abi al-Zinad yang mana namanya adalah Abd al-Rahman dan doa tersebut boleh diamalkan di dalam kehidupan seharian kita agar dihindari daripada perkara-perkara yang tidak baik seperti bala bencana, wabak penyakit, kesusahan dan sebagainya. Tambahan pula, kita dibolehkan untuk berdoa dengan apa jua doa sekalipun walaupun ia tidak terkandung di dalam al-Quran mahupun hadith Nabi SAW selagimana doa yang dibaca itu tidak bercanggah dengan agama.

 

Makna Hadith

Di dalam hadith ini dinyatakan akan kelebihan orang yang membaca doa ini pada awal siang hari dan awal malam hari. Doa tersebut dimulakan dengan nama Allah adalah untuk memohon perlindungan Allah daripada segala keburukan yang mana tidak akan memberi mudharat sesuatu pun dengan nama Allah apabila ia diucapkan dengan pegangan yang betul dan niat yang ikhlas. Adapun, kita bukan sahaja memohon perlindungan daripada keburukan dari bumi sahaja, bahkan juga keburukan dari langit iaitu apa-apa yang turun dari langit. Tambahan pula, Allah bersifat Maha mendengar iaitu akan ucapan-ucapan kita dan Allah juga bersifat Maha Mengetahui akan keadaan kita. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 9/234]

 

Di samping itu juga, tidak memberi mudharat dengan nama-Nya di dalam doa ini juga membawa maksud bahawa penduduk bumi berada di dalam keadaan aman dan selamat disebabkan keberkatan nama Allah serta keterikatan dengan-Nya. Samalah keadaannya kepada penduduk di langit bilamana mereka melazimi nama Allah dalam setiap perkara. [Lihat: Syarh Hisn al-Muslim, 149]

 

Penutup

Kesimpulannya, doa bukanlah sekadar meminta, bahkan ia merupakan satu ibadah serta tanda bahawa hamba itu lemah kerana di dalam berdoa mereka akan menzahirkan sifat khudhu’ (ketaatan), tazallul (kehinaan) dan juga iftiqar (keberhajatan) kepada Allah SWT. Akhirnya, semoga Allah SWT memelihara dan menjaga kita semua daripada perkara-perkara yang buruk sama ada dari langit atau bumi. Amin.

 

Wallahua’alam