Soalan :
Assalamualaikum ustaz. Semoga Ustaz dan staf Pejabat Mufti yang lain dilindungi dari wabak COVID-19 yang sedang melanda negara kita ini. Saya ingin bertanya satu soalan yang tidak ada kaitan dengan isu COVID ini. Saya ada terdengar dari satu hamba Allah yang kita ini tidak perlu berdoa pun sebab ada kisah di mana Nabi Ibrahim AS pun tidak berdoa ketika Baginda dicampakkan ke dalam api. Betulkah kisah ini?. Adakah kisah tersebut kisah yang sabit. Mohon pencerahan dari ustaz sebab saya rasa macam musykil dengan apa yang dikatakan hamba Allah itu. Sudah la orang panggil dia ustaz. Terima kasih ustaz.
Jawapan :
Waalaikumussalam WBT. Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Tidak boleh disangkal lagi bahawa doa merupakan ibadah. Bahkan Allah SWT memerintahkan hamba-Nya untuk berdoa. Firman Allah SWT :
وَقَالَ رَبُّكُمُ ٱدْعُونِىٓ أَسْتَجِبْ لَكُمْ ۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِى سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ
Maksudnya : “Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.”
(Surah Ghafir : 60)
Sheikh Mustafa Al-Maraghi menyebut, dapat difahami di dalam ayat ini bahawa doa itu adalah satu ibadah. Bahkan di dalam ayat ini juga terdapat ancaman yang berat terhadap sesiapa yang sombong yang tidak mahu berdoa kepada Allah. Inilah ada satu rahmat Allah SWT kepada hamba-Nya. Ini adalah kebaikan yang Allah SWT ajarkan kepada kita. Oleh kerana itu, sesiapa yang tidak mahu berdoa seakan menolak kebaikan yang telah Allah berikan. Allah mahu agar kita sentiasa bertawakkal dan mohon apa sahaja yang kita hajatkan. Nantinya Allah SWT akan perkenankan . (Rujuk Tafsir Al-Maraghi, 24/88).
Ada orang yang berusaha siang malam untuk mencari rezeki akan tetapi dia lupa adanya Allah yang mendengar segala rintihan dan permohonannya Ada yang sakit sehingga habis ribu riban. Namun dia lupa, di samping dia berikhtiar, dia juga perlu mengangkat tangan dan memohon kepada Allah agar penyakitnya itu disembuhkan.
Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, kisah yang mengatakan bahawa Nabi Ibrahim tidak berdoa adalah kisah yang begitu popular ditularkan yang dinisbahkan kepada Baginda. Kami nukilkan terlebih dahulu kisah tersebut :
أن إبراهيم عليه الصلاة والسلام لما رموا به في المنجنيق إلى النار استقبله جبريل, فقال: يا إبراهيم ألك حاجة؟ قال: أما إليك فلا، قال جبريل: فسل ربك، فقال إبراهيم: حسبي من سؤالي علمه بحالي
Maksudnya : “Ketika Nabi Ibrahim AS dicampakkan ke dalam api dengan manjanik, Jibril datang menemui Baginda. Jibril berkata : Wahai Ibrahim, adakah engkau ada permintaan?. Nabi Ibrahim berkata : Adapun kepada engkau, aku tiada apa-apa permintaan. Jibril berkata : Mintalah kepada Tuhan. Nabi Ibrahim berkata : Aku tidak perlu meminta, cukuplah Dia tahu keadaanku.”
Kisah ini dinukilkan di dalam beberapa kitab tafsir. Di antaranya Anwar Al-Tanzil Wa Asrar Al-Ta’wil oleh Al Baidhawi (4/208) ketika menafsirkan ayat 69 Surah Al-Anbiya’. Begitu juga Al-Baghawi menukilkan juga kisah ini di dalam kitabnya Ma’alim Al-Tanzil (5/327). Namun begitu, kisah ini diriwayatkan oleh Al-Baghawi dengan sighah tamrid iaitu tidak diriwayatkan dengan sanad tidak sepertimana nukilan-nukilan beliau sebelum ini. Beliau hanya menyatakan :
رُوي عن أبي بن كعب
“Diriwayatkan daripada Ubai Bin Ka’ab…”
Ini seakan-akan memberi isyarat bahawa kisah ini tidak sahih menurut pandangan beliau. Beliau nukilkan ia sebagai satu peringatan bahawa ayat 69 Surah Al-Anbiya’ juga ditafsirkan dengan kisah ini. Imam Al-Qurtubi juga menukilkan kisah tersebut di dalam kitabnya Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran (11/303).
Walaupun ianya dinukilkan di dalam kitab-kitab tafsir ianya tidak bermakna bahawa kisah tersebut sahih. Bahkan kami tidak dapati kisah tersebut di dalam mana-mana kitab hadis yang muktabar. Di samping itu, kisah tersebut menerima banyak krtikan daripada ahli hadis yang pakar di dalam meneliti riwayat-riwayat.
Di antaranya yang disebutkan oleh Sheikh Nuruddin Ali Bin Muhammad Bin Iraq Al-Kinnani. Beliau menyebut :
“ Kisah hikayat ini dinisbahkan kepada Al-Khalil Ibrahim AS. Ia adalah kisah hikayat yang dusta dan palsu.” (Rujuk Tanzih Al-Syari’ah Al-Marfu’ah Min Shani’ah Al-Maudhuah,1/250).
Justeru itu, kami cenderung mengatakan bahawa perkataan dan kisah yang dinisbahkan kepada Nabi Ibrahim adalah sesuatu yang palsu dan dusta. Tambahan pula, kisah tersebut bercanggah dengan apa yang telah Allah nyatakan berkenaan Nabi Ibrahim. Di dalam kebanyakan ayat, Nabi Ibrahim dizahirkan sebagai seorang yang banyak berdoa dan memohon kepada Allah. Firman Allah SWT :
رَبِّ ٱجْعَلْنِى مُقِيمَ ٱلصَّلَوٰةِ وَمِن ذُرِّيَّتِى ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَآءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا ٱغْفِرْ لِى وَلِوَٰلِدَىَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ ٱلْحِسَابُ
Maksudnya : “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. "Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan"
(Surah Ibrahim : 40-41)
Di dalam ayat yang lain, Allah merakamkan doa Nabi Ibrahim :
رَبِّ هَبْ لِى حُكْمًا وَأَلْحِقْنِى بِٱلصَّـٰلِحِينَ ﴿٨٣﴾ وَٱجْعَل لِّى لِسَانَ صِدْقٍ فِى ٱلْـَٔاخِرِينَ ﴿٨٤﴾ وَٱجْعَلْنِى مِن وَرَثَةِ جَنَّةِ ٱلنَّعِيمِ ﴿٨٥﴾ وَٱغْفِرْ لِأَبِىٓ إِنَّهُۥ كَانَ مِنَ ٱلضَّآلِّينَ ﴿٨٦﴾ وَلَا تُخْزِنِى يَوْمَ يُبْعَثُونَ
Maksudnya : “Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan ugama, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh; Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian; Dan jadikanlah daku dari orang-orang yang mewarisi Syurga Jannatun-Naiim; Dan ampunkanlah bagi bapaku, kerana sesungguhnya ia adalah dari orang-orang yang sesat; Dan janganlah engkau hinakan daku pada hari makhluk-makhluk dibangkitkan hidup semula.”
(Surah Al-Syu’ara’ : 83-87)
Ini di antara doa Nabi Ibrahim yang dipanjatkan ke hadrat Allah SWT yang mana ianya sangat bercanggah dengan kisah palsu tersebut yang mengambarkan bahawa Nabi Ibrahim tidak mahu berdoa.
Kesimpulannya, kisah dan perkataan yang dinisbahkan kepada Nabi Ibrahim di mana di dalam kisah tersebut mengatakan bahawa Nabi Ibrahim tidak mahu berdoa ketika diminta oleh Jibril adalah kisah yang palsu dan penisbahannya kepada Nabi Ibrahim adalah tidak benar dan tidak sahih. Ianya bercanggah dengan apa yang telah Allah SWT nyatakan dan rakamkan di dalam Al-Quran.
Semoga Allah jauhkan kita dari sifat suka menyebarkan satu cerita atau kisah yang tidak benar dan palsu. Wallahu’alam.