Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-502: HADITH PUASA DAN AL-QURAN PEMBERI SYAFAAT

 

 

ih502_15291523.png

 

Soalan:

Apakah benar terdapat hadith yang menyatakan bahawa puasa dan al-Quran akan memberi syafaat pada hari akhirat?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Puasa merupakan salah satu ibadah yang disyariatkan oleh Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya. Untuk itu, setiap perkara yang disyariatkan oleh Allah SWT pasti mempunyai banyak hikmah yang tersurat dan tersirat di sebalik pensyariatan tersebut. Selain itu juga, al-Quran merupakan kitab suci yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW sebagai mukjizat kepada baginda SAW dan juga sebagai panduan kepada umatnya. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

 

كِتَابٌ أَنزَلْنَاهُ إِلَيْكَ لِتُخْرِجَ النَّاسَ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ

Ibrahim:1

Maksudnya: “Ini ialah Kitab (al-Quran) yang Kami turunkannya kepadamu (wahai Muhammad), supaya kamu mengeluarkan umat manusia seluruhnya daripada gelap-gelita (kekufuran) kepada cahaya (keimanan) - dengan izin Tuhan mereka - ke jalan Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji.”

Berdasarkan soalan di atas, di sana terdapat hadith yang menyatakan bahawa puasa dan al-Quran akan memberi syafaat kepada orang yang melakukannya pada hari akhirat. Hadith tersebut diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal di dalam musnadnya dan Imam al-Thabarani di dalam al-Mu’jam al-Kabir iaitu:

  • Daripada Abdullah bin ‘Amr RA berkata, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

الصِّيَامُ وَالْقُرْآنُ يَشْفَعَانِ لِلْعَبْدِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، يَقُولُ الصِّيَامُ: أَيْ رَبِّ، مَنَعْتُهُ الطَّعَامَ وَالشَّهَوَاتِ بِالنَّهَارِ، فَشَفِّعْنِي فِيهِ، وَيَقُولُ الْقُرْآنُ: مَنَعْتُهُ النَّوْمَ بِاللَّيْلِ، فَشَفِّعْنِي فِيهِ، قَالَ: فَيُشَفَّعَانِ

Maksudnya: “Puasa dan al-Quran akan memberi syafaat buat hamba pada hari kiamat. Puasa berkata: “Wahai Rab!, Aku telah menahannya daripada makan dan syahwat pada siang hari, maka izinkan aku memberi syafaat kepadanya. Al-Quran pula berkata: Aku telah menahannya daripada tidur pada malam hari, maka izinkan aku memberi syafaat kepadanya. Kemudian, keduanya memberi syafaat (kepada orang yang melakukannya).” [Riwayat Ahmad (6626) dan al-Thabarani (88)]

 

Setelah kita mengetahui sumber hadith tersebut, maka suka bagi kami untuk menyatakan beberapa pandangan ahli hadith berkaitan status hadith ini, antaranya:

  • Imam al-Haithami (807 H) menyatakan perawi-perawi Imam al-Thabarani adalah perawi yang sahih. [Lihat: Majma’ al-Zawaid, 3/181]
  • Imam al-Suyuthi (911 H) menilai hadith ini sebagai sahih. [Lihat: al-Jami’ al-Saghir, 2/66]
  • Imam Ibn Hajar al-Haitami al-Makki (974 H) berpendapat bahawa hadith ini statusnya sama ada sahih atau hasan. [Lihat: al-Zawajir, 1/326]
  • Shaykh Shu’aib al-Arna’out menilai sanad hadith ini dhaif disebabkan dua perawi di dalam sanad hadith merupakan perawi yang dhaif iaitu Ibn Lahi’ah dan Huyayyi bin Abdillah. [Lihat: Musnad Ahmad, 11/199]
  • Shaykh Ahmad Shakir pula berpendapat hadith ini sanadnya adalah sahih. [Lihat: Musnad Ahmad, 6/188]
  • Shaykh Muqbil al-Wadi’iy menghukum hadith ini sebagai dhaif. [Lihat: al-Syafa’ah, 183]

 

Melihat kepada beberapa pandangan atau penilaian para ulama di atas, maka kami cenderung untuk mengatakan bahawa hadith di atas adalah sanadnya adalah dhaif. Walaubagaimanapun, maknanya adalah sahih kerana di sana terdapat hadith sahih yang lain menyokong makna hadith ini iaitu ibadah puasa dan membaca al-Quran mampu memberi syafaat atau menyelamatkan orang yang melakukannya daripada api neraka seperti:

 

  • Daripada Abu Umamah RA, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

 

اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لِأَصْحَابِهِ

Maksudnya: “Bacalah al-Quran kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat sebagai syafaat kepada para pembacanya”. [Riwayat Muslim (804)]

 

  • Daripada Abu Hurairah RA berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 

لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ: فَرْحَةٌ عِنْدَ فِطْرِهِ، وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبِّهِ

Maksudnya: “Bagi orang yang berpuasa itu dua kegembiraan: Kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika bertemu Tuhannya”. [Riwayat Muslim (1151)]

 

Penutup

Kesimpulannya, berpuasa dan membaca al-Quran merupakan ibadah yang istimewa kerana di sana terdapat banyak kelebihan yang akan diperolehi bagi orang yang melakukannya. Di samping itu juga, status hadith yang membicarakan berkaitan puasa dan al-Quran sebagai pemberi syafaat adalah hadith yang dhaif. Akan tetapi, maknanya adalah sahih kerana terdapat hadith sahih yang lain menyatakan kedua ibadah tersebut mampu memberi syafaat kepada orang yang melakukannya. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dan istiqamah dalam menunaikan ketaatan serta perintah Allah SWT. Amin.

 

Wallahua’lam