Soalan: Apakah status hadith memohon untuk menjadi miskin?
Ringkasan Jawapan: Hadith di atas adalah dhaif dan doa merupakan salah satu ibadah yang hebat kerana ia berhubung terus kepada Allah SWT. Di samping itu, di dalam bab berdoa terdapat keluasan yang mana kita tidak semestinya perlu berdoa dengan doa yang diajar oleh Allah SWT di dalam al-Quran dan juga yang diajar oleh Nabi SAW di dalam hadith sahaja. Walaubagaimanapun, sebaik-baik doa atau lafaz doa adalah yang diajar oleh Allah SWT dan juga Nabi SAW.
Huraian Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Berdasarkan soalan di atas, sebelum kami membicarakan berkaitan isu ini dengan lebih mendalam, suka bagi kami untuk menyatakan terlebih dahulu riwayat-riwayat berkaitan doa ini. Terdapat dua riwayat di dalam al-Kutub al-Sittah berkaitan doa tersebut iaitu daripada Imam al-Tirmizi dan juga Imam Ibn Majah:
- Daripada Anas bin Malik RA berkata, bahawa Nabi SAW pernah bersabda:
اللَّهُمَّ أَحْيِنِي مِسْكِينًا وَأَمِتْنِي مِسْكِينًا وَاحْشُرْنِي فِي زُمْرَةِ المَسَاكِينِ يَوْمَ القِيَامَةِ
Maksudnya: “Ya Allah! Hidupkanlah aku sebagai seorang yang miskin dan matikanlah aku sebagai seorang yang miskin serta himpunkanlah aku bersama orang-orang yang miskin di hari Kiamat.” [Riwayat al-Tirmizi (2352)]
- Daripada Abu Sa’id al-Khudri RA berkata, bahawa Nabi SAW pernah bersabda:
اللَّهُمَّ أَحْيِنِي مِسْكِينًا، وَأَمِتْنِي مِسْكِينًا، وَاحْشُرْنِي فِي زُمْرَةِ الْمَسَاكِينِ
Maksudnya: “Ya Allah! Hidupkanlah aku sebagai seorang yang miskin dan matikanlah aku sebagai seorang yang miskin serta himpunkanlah aku bersama orang-orang yang miskin.” [Riwayat Ibn Majah (4126)]
Antara ulama yang menilai hadith atau riwayat di atas:
- Imam al-Tirmizi (279 H) menilai hadith ini sebagai gharib di dalam Jami’nya. [Lihat: Jami’ al-Tirmizi, 4/577]
- Imam Ibn al-Jauzi (597 H) menghukum hadith ini sebagai tidak sahih. [Lihat: al-Mawdhu’at, 3/141-142]
- Imam al-Nawawi (676 H) mengatakan sanad hadith ini adalah dhaif. [Lihat: al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, 6/196]
- Imam al-Dimyathi menilai sanad hadith adalah saqim (dhaif). [Lihat: al-Matjar al-Rabih, 327]
- Imam Ibn al-Mulaqqin (804 H) menghukum sanad hadith ini adalah dhaif. [Lihat: al-Badr al-Munir, 7/367]
Melihat kepada beberapa pandangan di atas, kami cenderung kepada pandangan yang mengatakan bahawa hadith di atas dhaif disebabkan terdapat perawi yang dipertikaikan dari sudut kethiqahan dan hafazannya terhadap hadith. Walaupun begitu, kita tidak dihalang sama sekali untuk berdoa dengan doa tersebut. Ini kerana, di dalam doa terdapat keluasan dan boleh berdoa dengan apa jua meskipun lafaznya tidak diajar oleh Nabi SAW selagimana makna doa tersebut adalah baik dan tidak bercanggah dengan agama.
Imam Ibn Hajar al-Asqalani menukilkan daripada Imam al-Baihaqi bahawa di sisinya (Imam al-Baihaqi) Nabi SAW tidak memohon kemiskinan dengan maksud kekurangan tetapi Baginda SAW memohon kemiskinan yang mana ia membawa maksud khusyu’ dan tawadhu’ (merendah diri). [Lihat: al-Talkhis al-Habir, 3/234]
Di samping itu juga, Syeikh al-Mubarakfuri mengatakan bahawa maksud miskin di dalam hadith adalah kehinaan dan kebergantungan (kepada Allah). Tujuan Rasulullah SAW berdoa seperti ini adalah bagi mengzahirkan sifat tawadhu’ dan kebergantungan Baginda SAW kepada Tuhannya supaya ia menjadi petunjuk kepada umatnya agar sentiasa bersifat tawadhu’ dan meninggalkan sifat takabbur dan berbangga. Di samping itu juga, Baginda SAW ingin menunjukkan akan ketinggian kedudukan orang miskin dan dekatnya mereka dengan Allah SWT.
Menurut Imam al-Tibi, maksud “agar Allah menghimpunkan aku bersama orang-orang yang miskin” adalah himpunkan aku atau jadikan aku daripada kalangan mereka dan bukannya maksud miskin yang dipohon itu adalah kekurangan tetapi ia menunjukkan sifat rendah diri (tawadhu’) dan juga khusyu’. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 7/16]
Penutup
Kesimpulannya, hadith di atas adalah dhaif dan doa merupakan salah satu ibadah yang hebat kerana ia berhubung terus kepada Allah SWT. Di samping itu, di dalam bab berdoa terdapat keluasan yang mana kita tidak semestinya perlu berdoa dengan doa yang diajar oleh Allah SWT di dalam al-Quran dan juga yang diajar oleh Nabi SAW di dalam hadith sahaja. Walaubagaimanapun, sebaik-baik doa atau lafaz doa adalah yang diajar oleh Allah SWT dan juga Nabi SAW. Kita boleh berdoa dengan apa jua doa sekalipun selagimana makna atau maksud doa tersebut adalah baik dan tidak bercanggah dengan agama. Akhirnya, semoga Allah SWT mengurniakan kita semua kesejahteraan yang berpanjangan serta menjauhkan kita daripada segala perkara yang tidak baik sama ada di dunia mahupun di akhirat. Amin.
Wallahua’lam