Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 516 : STATUS HADITH “KEHINAAN WANITA YANG BERKATA KASAR”

516.PNG

Soalan

Apakah status hadith ini Tuan Mufti? Rasulullah Menjawab Ketika sahabat Nabi bertanya: Apa yang lebih menjijikan dari air liur anjing ya Rasulullah? “Rasulullah Menjawab: Wanita yang berkata kasar”

Jawapan Ringkas

Lafaz teks yang dikatakan adalah bersumberkan hadith Nabi SAW adalah tidak benar. Hal ini kerana, didapati bahawa hadith yang menyebutkan perihal wanita yang berkata kasar lebih hina daripada air liur anjing tidak ditemui dalam sumber rujukan hadith yang muktabar. Oleh itu, teks tersebut bukanlah hadith Nabi SAW. Namun, berdasarkan hadith lain Nabi SAW melarang umatnya tidak mengira jantina, pangkat serta kedudukan untuk mengucapkan sesuatu yang kasar dan kesat kerana perkara tersebut boleh menyebabkan kita dimasukkan ke dalam api neraka.  

Huraian Jawapan

Tidak ditemui dalam sumber rujukan hadith muktabar yang menyebutkan bahawa Nabi SAW mengatakan bahawa wanita yang berkata kasar lebih hina daripada air liur anjing, tetapi terdapat hadith yang menyebutkan bahawa Nabi SAW pernah menasihati dan memerintahkan kaum wanita agar bertakwa kepada Allah, mentaati suami mereka, dan perbanyakan bersedekah. Sabda Nabi SAW,

إِنَّ مِنْكُنَّ مَنْ تَدْخُلُ الْجَنَّةَ -وَجَمَعَ بَيْنَ أَصَابِعِهِ- وَمِنْكُنَّ حَطَبُ جَهَنَّمَ، -وَفَرَّقَ بَيْنَ أَصَابِعِهِ"، فَقَالَتِ الْمَارِدَةُ أَوِ المرادية: يا رسول الله وَلِمَ ذَلِكَ؟ قَالَ: تَكْفُرْنَ الْعَشِيرَ، وَتُكْثِرْنَ اللَّعْنَ، وَتُسَوِّفْنَ الْخَيْرَ.

Maksudnya: Sesungguhnya di antara kalian ada orang-orang yang masuk syurga (baginda sambil merapatkan jari-jari tangannya) dan sebahagian besar daripada kalian akan menjadi bahan bakar api neraka (lalu baginda membuka jari-jarinya). Seorang wanita bertanya, ‘Mengapa, wahai Rasulullah?’ Baginda menjawab, ‘Kerana kalian mengingkari kebaikan suami, banyak melaknat, dan menunda-nunda kebaikan'. [1]

Riwayat Ibn Hibban (3320)

Selain itu, dalam hadith yang lain diriwayatkan daripada ‘Abdullah Ibn Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda,

لَيْسَ المُؤْمِنُ بِالطَّعَّانِ وَلَا اللَّعَّانِ وَلَا الفَاحِشِ وَلَا البَذِيءِ

Maksudnya: Seorang mukmin itu bukanlah orang yang suka mencela, suka melaknat, suka berperilaku keji dan suka berkata kasar. [2]

Riwayat al-Tirmidhi (1977)

Kesimpulan

Setelah penelitian dilakukan, hadith yang mendakwa wanita yang berkata kasar lebih hina daripada air liur anjing adalah tidak benar kerana tidak ditemui dalam sumber rujukan hadith yang muktabar. Perkataan tersebut hanya direka-reka oleh individu tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan penyebaran di media sosial. Sedangkan, teks tersebut tidak diketahui sumber asalnya. Selidikilah setiap berita yang sampai kepada kita sebelum disebarkan. Perkara ini dapat menghindarkan diri kita daripada bercakap sesuatu yang tidak diungkapkan oleh baginda SAW. Wallahua’lam.

Rujukan

[1] Muhammad bin Hibban, Sahih Ibn Hibban, ed. Shu’aib al-Arna’ut (Beirut: Mu’assasah al-Risalah, 1988), 8/113.

[2] Muhammad bin ‘Isa bin Sawrah al-Tirmidhi, Sunan al-Tirmidhi, ed. Ibrahim ‘Atuwwah ‘Aud (Mesir: Matba’ah Mustafa al-Babi al-Halabi, 1975), 4/350.