Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 526 : PAKAILAH SERBAN, MAKA AKAN BERTAMBAH SIFAT LEMAH LEMBUT

IH 526

Soalan :

Assalamualaikum ustaz. Saya ada satu persoalan. Betulkah ada hadis yang menyebut jika kita pakai serban akan bertambah sifat lemah lembut? Mohon pencerahan ustaz.

Ringkasan jawapan :

Hadis tersebut adalah hadis yang lemah. Ini Kerana dalam sanadnya terdapat perawi yang bermasalah seperti Ubaidullah bin Abu Humaid dan Imran bin Tamam. Ia juga dinilai lemah oleh para ulama seperti Imam al-Bukhari, Ibn Hajar al-‘Asqalani dan lain-lain. Walaupun terdapat sokongan dari riwayat yang lain, namun riwayat sokongan itu juga dinilai lemah menurut ulama hadis. Walaupun hadis ini lemah, ianya tidak menafikan serban itu sebagai salah satu pakaian yang dipakai Nabi SAW seperti mana yang ditonjolkan dalam hadis-hadis yang sahih.

Huraian jawapan :

Menyelidik dan mengenalpasti status hadis adalah satu usaha untuk memelihara hadis Nabi SAW dari dimanipulasi oleh golongan yang tidak bertanggungjawab. Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, hadis yang disebutkan adalah seperti berikut :

اعتموا تزدادوا حلما

Maksudnya : “Pakailah serban, maka akan bertambah sifat lemah lembut”

Hadis ini diriwayatkan oleh Al-Tabarani dalam Al-Mu’jam Al-Kabir[1] melalui dua sanad yang berbeza. Pertama melalui riwayat Ibn Abbas dan kedua melalui riwayat Usamah Bin Umair.

Pertama : Riwayat Usamah bin Umair

Al-Tabarani menukilkan sanad hadis seperti berikut :

حَدَّثَنَا عُبَيْدٌ الْعِجْليُ وَعَبْدَانُ بْنُ أَحْمَدَ قَالَا: ثنا الْحَسَنُ بْنُ الصَّبَّاحِ الْبَزَّارُ ثنا أَبُو الْمُنْذِرِ إِسْمَاعِيلُ بْنُ عُمَرَ ثنا يُونُسُ بْنُ أَبِي إِسْحَاقَ حَدَّثَنِي ابْنِ عِيسَى عَنْ عُبَيْدِ اللهِ بْنِ أَبِي حُمَيْدٍ عَنْ أَبِي الْمَلِيحِ بْنِ أُسَامَةَ عَنْ أَبِيهِ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ‌أَعْتِمُوا ‌تَزْدَادُوا ‌حِلْمًا

“Ubaid al-‘Ijli dan ‘Abdan bin Ahmad telah menceritakan kepada kami. Mereka berdua berkata : Al-Hasan bin al-Sabbah al-Bazzar telah menceritakan kepada kami, beliau berkata : Abu Al-Munzir Ismail bin Umar telah menceritakan kepada kami, beliau berkata : Yunus bin Abu Ishak telah menceritakan kepada kami, beliau berkata : Ibn ‘Isa telah menceritakan kepada kami, beliau meriwayatkan daripada Ubaidullah Bin Abu Humaid daripada Abu Al-Malih Bin Usamah daripada ayah beliau iaitu Usamah bin Umair. Beliau berkata : Rasulullah SAW bersabda : Pakailah serban, maka akan bertambah sifat lemah lembut.”

Kedua : Riwayat Ibn Abbas

Al-Tabarani juga meriwayatkan hadis ini melalui sanad yang lain. Beliau menukilkan sanad seperti berikut :

حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ صَالِحِ بْنِ الْوَلِيدِ النَّرْسِيُّ ثنا هِلَالُ بْنُ بِشْرٍ ثنا عِمْرَانُ بْنُ تَمَامٍ عَنْ أَبِي جَمْرَةَ، عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: ‌اعْتَمُّوا ‌تَزْدَادُوا ‌حِلْمًا

“Muhammad Bin Salih Bin al-Walid al-Narsi telah menceritakan kepada kami, beliau berkata: Hilal bin Bisyr telah menceritakan kepada kami, beliau berkata : ‘Imran bin Tamam telah menceritakan kepada kami, beliau meriwayatkan daripada Abu Jamrah daripada Ibn Abbas. Rasulullah SAW bersabda : Pakailah serban, maka akan bertambah sifat lemah lembut.”

Hadis ini juga diriwayatkan oleh Ibn ‘Adiy dalam Al-Kamil fi Al-Dhu’afa’[2]. Beliau menukilkan sanad seperti berikut :

حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ مُحَمد بْنِ حريث حَدَّثَنا إسماعيل بْنِ سَعِيد حَدَّثَنا إِسْمَاعِيلُ بْنُ عُمَر أبو المنذر حَدَّثَنا يُونُس بْنُ أَبِي إِسْحَاقَ حَدَّثني ابْنُ عِيسَى عَنْ عُبَيد اللَّهِ بْنُ أَبِي حُمَيْدٍ عَن أَبِي الْمَلِيحِ قَال: قَال رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‌اعْتِمُوا ‌تَزْدَادُوا ‌حِلْمًا وَالْعَمَائِمُ تِيجَانُ الْعَرَبِ

“Ahmad bin Muhammad bin Huraith telah menceritakan kepada kami, beliau berkata : Ismail bin Sa’id  telah menceritakan kepada kami, beliau berkata : Ismail bin Umar Abu al-Munzir telah menceritakan kepada kami, beliau berkata : Yunus bin Abu Ishak telah menceritakan kepada kami, beliau berkata : Ibn Isa telah menceritakan kepada saya daripada ‘Ubaidullah bin Abu Humaid daripada Abu al-Malih. Beliau berkata : Rasulullah SAW bersabda : Pakailah serban, maka akan bertambah sifat lemah lembut. Serban itu adalah mahkota bangsa arab”

Jika diteliti, sanad yang dinukilkan oleh Al-Tabarani dan Ibn ‘Adiy tertumpu kepada seorang perawi iaitu Ubaidullah bin Abu Humaid. Terlalu banyak kritikan ulama hadis terhadap beliau. Imam Al-Nasaie mengatakan beliau adalah perawi matruk (ditinggalkan riwayatnya)[3]. Imam Ahmad juga menilai Ubaidullah sebagai perawi yang matruk. Ini juga adalah pandangan dan penilaian Abu Hatim[4].

Imam al-Tirmizi pernah bertanya kepada Imam Al-Bukhari berkenaan hadis ini. Beliau menjawab :

‌عُبَيْدُ ‌اللَّهِ ‌بْنُ ‌أَبِي ‌حُمَيْدٍ ضَعِيفٌ ذَاهِبُ الْحَدِيثِ لَا أَرْوِي عَنْهُ شَيْئًا

“Ubaidullah bin Abu Humaid adalah perawi yang lemah. Beliau banyak kehilangan hafalan hadis. Saya tidak meriwayatkan apa-apa hadis daripada beliau.”[5]

Dalam riwayat Ibn ‘Abbas pula, terdapat seorang perawi yang bernama Imran Bin Tamam. Abu Hatim menilai beliau sebagai perawi yang banyak meriwayatkan riwayat yang munkar[6]. al-Hakim al-Nisaburi menilai hadis tersebut sebagai sahih namun penilaian tersebut disanggah oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani[7]. Beliau menjelaskan bahawa hadis ini adalah lemah dan ianya dinilai lemah oleh Imam al-Bukhari.

Kesimpulannya, hadis tersebut adalah hadis yang lemah. Ini Kerana dalam sanadnya terdapat perawi yang bermasalah seperti Ubaidullah bin Abu Humaid dan Imran bin Tamam. Ia juga dinilai lemah oleh para ulama seperti Imam al-Bukhari dan juga Ibn Hajar al-‘Asqalani. Walaupun ada sokongan dari riwayat yang lain, namun riwayat sokongan itu juga dinilai lemah menurut ulama hadis. Walaupun hadis ini lemah, ianya tidak menafikan serban itu sebagai salah satu pakaian yang dipakai Nabi SAW seperti mana yang ditonjolkan dalam hadis-hadis yang sahih.

 

Nota Hujung :

[1] Abu Qasim Al-Tabarani, Sulaiman Bin Ahmad, Al-Mu’jam Al-Kabir, Maktabah Ibn Taimiyah, Kaherah, j.1 h.194; j.12 h.221 no 517 & 12946.

[2] Abu Ahmad, Abdullah Bin ‘Adiy, Al-Kamil fi Al-Dhu’afa Al-Rijal (1997), Dar Al-Kutub Al-‘Ilmiyah, Beirut, j.7 h.195.

[3] Al-Nasaie, Ahmad Bin Syu’aib, Al-Dhu’afa wa Al-Matrukin (1976), Dar Al-Wa’iy, Aleppo, h.66. Beliau berkata : ‌عبيد ‌الله ‌بن ‌أبي ‌حميد يروي عَن أبي الْمليح مَتْرُوك الحَدِيث كُوفِي

[4] Ibn Abi Hatim Al-Hanzali, Abdurrahman Bin Muhammad, Al-Jarh wa Al-Ta’dil, Dar Ihya’ Al-Turath Al-Arabiy, j.5 h.312-313. Ibn Abu Hatim berkata :

قال سمعت أبا طالب قال سألت أحمد بن حنبل عن عبيد الله بن أبي حميد قال: ترك الناس حديثه. قال سألت أبي عنه فقال منكر الحديث ضعيف الحديث.

[5] Al-Tirmizi, Muhammad Bin ‘Isa, Al-‘Ilal Al-Kabir (1988), ‘Alam Al-Kutub; Maktabah Al-Nahdah Al-Arabiyah,Beirut, h.294

[6] Syamsuddin Al-Zahabi, Muhammad Bin Ahmad, Mizan Al-‘Itidal fi Naqd Al-Rijal (1963), Dar Al-Ma’rifah, Beirut, j.3 h.235

[7] Ibn Hajar Al-‘Asqalani, Ahmad Bin Ali, Fath Al-Bari Syarh Sahih Al-Bukhari, Dar Al-Ma’rifah, Beirut, j.10 h.273. Beliau berkata :

 أَخْرَجَهُ الطَّبَرَانِيُّ وَالتِّرْمِذِيُّ فِي الْعِلَلِ الْمُفْرَدِ وَضَعَّفَهُ الْبُخَارِيُّ وَقَدْ صَحَّحَهُ الْحَاكِمُ فَلَمْ يُصِبْ وَلَهُ شَاهِدٌ عِنْد الْبَزَّار عَن بن عَبَّاسٍ ضَعِيفٌ أَيْضًا