Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 528: STATUS HADIS MEREKA YANG MENINGGALKAN MEMANAH SETELAH MEMPELAJARINYA BUKAN DARIPADA KALANGAN UMAT NABI SAW

STATUS_HADIS_MEREKA_YANG_MENINGGALKAN_MEMANAH_SETELAH_MEMPELAJARINYA.png

 

Soalan

Assalamualaikum, saya ingin bertanya tentang hadis mengenai tinggalkan memanah.

مَن عَلِمَ الرَّمْيَ، ثُمَّ تَرَكَهُ، فليسَ مِنَّا، أوْ قدْ عَصَى

Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang telah mempelajari MEMANAH, kemudian dia meninggalkannya, maka bukanlah dia dari kalangan kami atau dia telah melakukan MAKSIAT"

Sahih kah seperti yang diperkatakan? sumber dari whatsapp.

Ringkasan Jawapan

Hadis ini adalah hadis yang sahih diriwayatkan oleh ʻUqbah bin ʻAmir RA. Kecaman di dalam hadis adalah untuk mengelakkan sebahagian orang Islam daripada mempersia-siakan kemahiran yang telah mereka pelajari dalam melaksanakan tanggungjawab mempertahankan agama Allah dan untuk menguatkan kekuatan tenaga fizikal umat Islam dalam medan pertempuran.

Huraian Jawapan

Hadis berkenaan memanah seperti di atas merupakan riwayat Imam Muslim dalam Sahih Muslim. ʻUqbah bin ʻAmir RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:

مَن عَلِمَ الرَّمْيَ، ثُمَّ تَرَكَهُ، فليسَ مِنَّا، أوْ قدْ عَصَى

Maksudnya: Sesiapa yang telah mempelajari memanah lalu dia meninggalkannya, maka dia bukanlah dari kalangan kami atau dia telah berbuat maksiat.

Riwayat Muslim (1919)

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini bahawa:

هَذَا تَشْدِيدٌ عَظِيمٌ فِي نِسْيَانِ الرَّمْيِ بَعْدَ عِلْمِهِ وَهُوَ مَكْرُوهٌ كَرَاهَةً شَدِيدَةً لِمَنْ تركه بلاعذر

Maksudnya: Ini merupakan peringatan penting bagi mereka yang melupai kemahiran memanah setelah mempelajarinya dan perkara ini adalah makruh kepada mereka yang sengaja meninggalkan memanah tanpa keuzuran.

(Rujuk al-Minhaj Syarh Sahih Muslim bin al-Hajjaj, 13/65)

Selain itu, Syeikh Muhammad al-Amin al-Harari juga menyebutkan bahawa:

قال النبي صلى الله عليه وسلم وهو ظاهر في ذم من ترك الرمي بعد أن علمه وسبب هذا الذم أن هذا الذي تعلم الرمي حصلت له أهلية الدفاع عن دين الله والغناء فيه والنكاية في العدو فقد تعين لأن يقوم بوظيفة الجهاد فإذا ترك ذلك حتى يعجز عنه فقد فرط في القيام بما يتعين عليه فذم على ذلك

Maksudnya: Sabda Nabi SAW secara zahir adalah tentang kecaman terhadap mereka yang meninggalkan kemahiran memanah selepas daripada mempelajarinya. Faktor kecaman tersebut kerana mereka yang mempelajari kemahiran memanah setelah memperolehi kemampuan untuk mempertahankan agama Allah, memanfaatkan kemahiran tersebut dan juga mengalahkan musuh-musuh. Maka jelas daripada tanggungjawab tersebut dia mesti menjalankan tanggungjawab untuk berjihad. Apabila dia meninggalkan kemahiran tersebut sehingga melemahkannya maka hilanglah kemampuannya untuk berjihad, atas sebab inilah dia dicela.

(Rujuk al-Kaukab al-Wahhaj Syarh Sahih Muslim, 20/282)

Berdasarkan syarahan ulama terhadap hadis ini jelas bahawa kecaman tersebut kerana ketidakmampuan seseorang menjalankan tanggungjawab jihad atas sebab kemahiran memanah yang ditinggalkan tanpa alasan munasabah. Akhirnya akan menyebabkan agama Islam kalah kerana tidak mempunyai kekuatan ketenteraan yang cukup untuk melawan pihak musuh.

Jika diperhatikan dalam konteks semasa setiap negara telah mempunyai organisasi yang khusus untuk mempertahankan negara daripada segala ancaman musuh seperti Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan lain-lain. Sedangkan di zaman awal kerajaan Islam tidak mempunyai organisasi khusus dalam hal ketenteraan dan sebagainya. Oleh itu, wajar amaran sebegini disebutkan oleh Nabi SAW kerana bagi mengelakkan sebahagian orang Islam daripada mempersia-siakan kemahiran yang telah mereka pelajari dalam melaksanakan tanggungjawab mempertahankan agama Allah dan untuk menguatkan kekuatan tenaga fizikal umat Islam dalam medan pertempuran.

Kesimpulan

Hadis ini merupakan hadis yang sahih. Kecaman tersebut dinyatakan oleh Nabi SAW kerana untuk mengelakkan sebahagian orang Islam daripada mempersia-siakan kemahiran yang mereka telah pelajari dalam melaksanakan tanggungjawab mempertahankan agama Allah dan untuk menguatkan kekuatan tenaga fizikaK umat Islam dalam medan pertempuran.