Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-546 : SUAMI ISTERI YANG BANGUN MALAM AKAN DIAMPUNKAN OLEH ALLAH

IH546

Soalan :

Assalamualaikum ustaz. Saya mahu bertanya. Saya pernah dengar sebuah hadis yang mana Nabi SAW sebut kalau seorang suami gerakkan isterinya, dia renjis air untuk bangunkan isteri, kemudian mereka solat malam nanti Allah akan berikan keampunan kepada suami dan isteri tersebut. Betulkah ustaz? Mohon pencerahan ustaz.

Ringkasan jawapan :

Hadis tersebut diriwayatkan oleh Imam al-Ṭabaranī (m.360) di dalam al-Mu’jam al-Kabīr. riwayat ini adalah riwayat yang lemah disebabkan dua sebab:

  • Hasyim bin Marthad dikritik oleh ulama hadis sebagai seorang perawi yang lemah.
  • Muhammad bin Ismail adalah seorang perawi yang lemah. Bahkan beliau dikritik kerana tidak mendengar hadis daripada bapanya iaitu Ismail bin ‘Ayyash.

Namun begitu, riwayat ini mempunyai syawahid (sokongan melalui jalur sahabat yang lain) melalui jalur Abu Hurairah dan Abu Sa’id al-Khudri. yang meriwayatkan hadis yang hampir sama maknanya. Riwayat ini lebih sahih berbanding riwayat sebelumnya. Justeru, hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tabarani yang asalnya lemah (ḍa’īf) terangkat menjadi hasan lighairih disebabkan sokongan (Syawahid) melalui jalur Abu Hurairah dan Abu Sa’id al-Khudri yang meriwayatkan lafaz yang hampir sama maknanya dan lebih sahih riwayatnya. Semoga Allah mengurniakan kebahagiaan dan rahmat dalam rumah tangga. Wallahu’alam.

Huraian jawapan :

Teks (matan) asal hadis tersebut adalah seperti berikut :

‌  ‌‌مَا ‌من رجل ‌يَسْتَيْقِظ ‌من ‌اللَّيْل ‌فيوقظ ‌امْرَأَته فَإِن غلبها النّوم نضح فِي وَجههَا المَاء فيقومان فِي بيتهما فيذكران الله عز وَجل سَاعَة من اللَّيْل إِلَّا غفر لَهما

Maksudnya : “Tiada mana-mana lelaki yang bangun daripada tidur pada waktu malam, kemudian dia membangunkan isterinya. Sekiranya isterinya tidur lena, dia merenjiskan air ke wajah isterinya lantas kedua-duanya bangun dan mengingati Allah pada mana-mana waktu pada malam tersebut melainkan akan diberikan keampunan untuk kedua-duanya (suami dan isteri).

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Tabarani (m. 360 H) di dalam al-Mu’jam al-Kabir[1] dengan sanad seperti berikut :

حَدَّثَنَا هَاشِمٌ ثنا مُحَمَّدُ بْنُ إِسْمَاعِيلَ حَدَّثَنِي أَبِي حَدَّثَنِي ضَمْضَمُ بْنُ زُرْعَةَ عَنْ شُرَيْحِ بْنِ عُبَيْدٍ، عَنْ أَبِي مَالِكٍ الْأَشْعَرِيِّ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya : “Hasyim telah menceritakan kepada kami, beliau berkata : Muhammad bin Ismail telah  menceritakan kepada kami, beliau berkata : Ayah saya telah menceritakan kepada saya bahawa beliau berkata : Ḍamḍam bin Zur’ah telah menceritakan kepada saya. Ḍamḍam meriwayatkan daripada Syuraih bin ‘Ubaid daripada Abu Malik al-Asy’ari, beliau berkata : Rasulullah SAW bersabda…”

Hasyim yang dinyatakan di sini adalah Hasyim bin Marthad al-Tabarani. Beliau adalah perawi yang lemah. Imam al-Zahabi (m. 748 H) menukilkan kritikan Ibn Hibban (m. 354 H) terhadap Hasyim. Ibn Hibban mengatakan bahawa beliau adalah seorang yang lemah dan tidak ada kelayakan dalam periwayatan hadis. Beliau tidak seperti anaknya, Sa’id yang merupakan perawi yang saduq.[2]

Muhammad bin Ismail adalah anak kepadanya Ismail bin ‘Ayyash. Beliau juga adalah perawi yang lemah. Hal ini dinyatakan oleh Abu Daud (m. 275 H)[3]. Abu Hatim menyebut bahawa beliau tidak pernah mendengar apa-apa hadis daripada bapanya, Ismail bin ‘Ayyash[4].

Ismail Bin ‘Ayyash[5] adalah seorang perawi yang thiqah (dipercayai kredibilitinya).  Namun begitu, periwayatan beliau hanya diterima jika beliau meriwayatkan hadis daripada ulama negeri asalnya iaitu Syam. Hal ini disebutkan oleh Amru bin Ali al-Fallas (m. 249 H). Beliau menjelaskan :

إذا حدَّث عن أهل بلاده فصحيح وإذا حدَّث عن أهل المدينة مثل هشام بن عروة ويحيى بن سعيد وسهيل بن أبي صالح فليس بشيء

“Jika beliau meriwayatkan daripada ulama negerinya (Syam) maka riwayatkan sahih. Namun, jika beliau meriwayatkan daripada ulama Madinah seperti Hisyam bin ‘Urwah, Yahya bin Sa’id dan Suhail bin Abu Ṣalih, maka riwayatnya lemah.”[6]

Perkara ini disebutkan juga oleh Imam Ahmad (m.24   H) seperti yang dinukilkan oleh Imam al-Bukhari di dalam kitab al-Tarikh al-Kabir.[7] Dalam riwayat ini, Ismail bin ‘Ayyash meriwayatkan daripada Ḍamḍam bin Zur’ah. Ḍamḍam bin Zur’ah adalah seorang ahli hadis yang berasal daripada Homs yang termasuk dalam negeri Syam[8]. Justeru riwayat ini adalah riwayat yang benar-benar diriwayatkan oleh Ismail. Di samping itu,  gurunya, Ḍamḍam adalah seorang perawi yang thiqah seperti yang dijelaskan oleh Yahya bin Ma’in (m. 233 H).[9] Akan tetapi, Abu Hatim al-Razi menilai beliau sebagai perawi yang lemah[10].

Syuraih bin Ubaid adalah seorang tabī’i. al-‘ijli (m.261 H) menjelaskan bahawa beliau adalah seorang perawi yang thiqah.[11] Beliau sering dikritik kerana banyak melakukan mursal[12] pada kebanyakan riwayat.[13] Dalam riwayat ini, beliau tidak menggugurkan mana-mana perawi antara beliau dengan Nabi SAW.

Justeru riwayat ini adalah riwayat yang lemah disebabkan dua sebab:

  • Hasyim bin Marthad dikritik oleh ulama hadis sebagai seorang perawi yang lemah.
  • Muhammad bin Ismail adalah seorang perawi yang lemah. Bahkan beliau dikritik kerana tidak mendengar hadis daripada bapanya iaitu Ismail bin ‘Ayyash.

Namun begitu, riwayat ini mempunyai syawahid (sokongan melalui jalur sahabat yang lain) melalui jalur Abu Hurairah yang meriwayatkan hadis yang hampir sama maknanya, beliau meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda :

‌رَحِمَ ‌اللهُ ‌رَجُلًا ‌قَامَ ‌مِنَ ‌اللَّيْلِ ‌فَصَلَّى وَأَيْقَظَ امْرَأَتَهُ فَصَلَّتْ فَإِنْ أَبَتْ نَضَحَ فِي وَجْهِهَا الْمَاءَ وَرَحِمَ اللهُ امْرَأَةً قَامَتْ مِنَ اللَّيْلِ فَصَلَّتْ وَأَيْقَظَتْ زَوْجَهَا فَصَلَّى فَإِنْ أَبَى نَضَحَتْ فِي وَجْهِهِ الْمَاءَ

Maksudnya: “Allah memberi rahmat kepada lelaki yang bangun pada malam hari, lalu dia menunaikan solat dan mengejutkan isterinya. Kemudian isterinya pula bangun menunaikan solat. Jika isterinya enggan bangun, dia merenjiskan air ke wajah isterinya. Allah juga memberi rahmat kepada wanita yang bangun pada malam hari, lalu dia menunaikan solat dan mengejutkan suami. Kemudian suaminya bangun menunaikan solat. Jika suaminya enggan bangun, dia merenjiskan air ke wajah suaminya.”

Lafaz ini diriwayatkan dalam beberapa kitab hadis. Antaranya Imam Ahmad di dalam al-Musnad[14], Ibn Majah di dalam al-Sunan[15], Abu Daud di dalam al-Sunan[16], al-Nasaie di dalam al-Sunan al-Sughra[17] dan al-Sunan al-Kubra[18], Ibn Khuzaimah di dalam Sahih Ibn Khuzaimah[19], al-Hakim al-Nisaburi di dalam al-Mustadrak ‘ala al-Sahihain[20] dan Imam al-Baihaqi di dalam al-Sunan al-Kubrā.[21] Lafaz ini juga turut diriwayatkan oleh Abu Bakar bin al-Munzir di dalam al-Awsat fi al-Sunan wa al-Ijma’ wa al-Ikhtilaf.[22]

Kesemua riwayat tersebut bertemu paksi (madar) yang sama iaitu daripada Yahya bin Sa’id daripada Ibn ‘Ajlan daripada al-Qa’qā’ bin Hakīm daripada Abu Ṣalih daripada Abu Hurairah RA daripada Nabi SAW.

Yahya bin Sa’id al-Qattan adalah seorang ahli hadis yang terkenal di Basrah[23]. Beliau adalah seorang perawi yang thiqah. Ali bin Al-Madini pernah ditanya oleh Imam Ahmad tentang anak murid Sufyan al-Thauri yang paling thiqah. Ali bin al-Madini menjawab antaranya adalah Yahya bin Sa’id al-Qattan, Abdurrahman bin Mahdi dan Waki’ bin al-Jarrah.[24] Imam Ahmad menjelaskan bahawa Yahya bin Sa’id adalah seorang hafiz dan perawi yang thiqah.[25]

Ibn ‘Ajlan atau nama sebenar beliau Muhammad bin ‘Ajlan al-Qurasyi. Beliau adalah seorang perawi thiqah[26]. Ramai ulama hadis terkemuka yang menilai beliau sebagai seorang perawi thiqah. Antaranya Yahya bin Ma’in[27], Imam Ahmad bin Hanbal[28], Abu Zur’ah[29], Abu Hatim dan Imam al-Nasaie[30].

Al-Qa’qā’ bin Hakim juga adalah seorang perawi yang thiqah bahkan kuat hafalannya[31]. Beliau merupakan seorang ahli hadis dari Madinah dan antara perawi yang dimuatkan oleh Imam Muslim dalam kitab al-Sahih[32].

Abu Ṣaliḥ, Zakwan bin Abdullah adalah seorang Tābi’ī dan antara anak murid kanan Abu Hurairah RA. Beliau mendengar hadis daripada beberapa orang sahabat Nabi antaranya ‘Aisyah, Sa’ad bin Abu Waqqaṣ, Ibn ‘Abbas, Abdullah bin Umar dan ramai lagi. Abu Hatim menyebut :

ثِقَةٌ صَالِحُ الحَدِيْثِ يُحْتَجُّ بِحَدِيْثِهِ

“Beliau adalah seorang yang thiqah, baik periwayatannya dan riwayat hadisnya digunakan sebagai hujah.”[33]

Ringkasnya, riwayat ini adalah riwayat yang sahih. Justeru, riwayat ini menjadi sokongan kepada riwayat hadis yang dikemukakan oleh Imam al-Tabarani. Bukan itu sahaja, riwayat hadis yang disebutkan oleh Imam al-Tabarani juga disokong oleh jalur Abu Sa’id al-Khudri, beliau meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda :

مَنِ اسْتَيْقَظَ مِنَ اللَّيْلِ وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ فَقَامَا فَصَلَّيَا رَكْعَتَيْنِ ‌كُتِبَا ‌مِنَ ‌الذَّاكِرِينَ ‌اللهَ ‌كَثِيرًا ‌وَالذَّاكِرَاتِ

Maksudnya : “Sesiapa yang bangun pada waktu malam dan mengejutkan isterinya[34]. Lalu mereka berdua solat dua rakaat, kedua-duanya akan ditulis sebagai orang yang banyak mengingati Allah SWT.”Lafaz ini diriwayatkan oleh Imam Ibn Majah[35], Imam Abu Daud[36], al-Bazzar[37], Imam al-Nasaie dalam al-Sunan al-Kubrā[38], Ibn Hibban[39] dan Imam al-Tabarani di dalam al-Mu’jam al-Awṣat.[40]

Justeru, hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tabarani yang asalnya lemah (ḍa’īf) terangkat menjadi hasan lighairih disebabkan sokongan (Syawahid) melalui jalur Abu Hurairah dan Abu Sa’id al-Khudri yang meriwayatkan lafaz yang hampir sama maknanya dan lebih sahih riwayatnya.

NOTA HUJUNG :

[1] Abu al-Qasim al-Tabarani, Sulaiman bin Ahmad (1994), al-Mu’jam al-Kabir, ed. Hamdi bin Abdul Majid al-Salafi, Kaherah: Maktabah Ibn al-Taimiyah, j.3 h.295.

[2] Syamsuddin al-Zahabi, Muhammad bin Ahmad (1967), Diwan al-Ḍhu’afā wa al-Matrukīn wa Khalqun min al-Majhulīn wa Thiqāt fihim Layyin, ed. Hammad bin Muhammad al-Ansari, Mekah: Maktabah al-Nahdah al-Hadithah, h.417. Beliau menyebut : قال ابن حبان: ليس بشيء في الحديث، وابنه صدوق

[3] Syamsuddin al-Zahabi, Muhammad bin Ahmad (), al-Mughni fi al-Dhu’afa, ed. Dr. Nuruddin ‘Itr, Qatar: Idarah Ihyā al-Turath al-Islami, j.2 h.163. Beliau menukilkan : قَالَ أَبُو دَاوُد لم يكن بِذَاكَ

[4] Abu al-Fadhl, Ahmad bin Ali (1326 H), Tahzib al-Tahzib, India : Dāirah al-Ma’arif al-Nizamiyah, j.9 h.60. Abu Hatim berkata : لم يسمع من أبيه شيئا حملوه على أن يحدث فحدث

[5] Penjelasan secara terperinci berkenaan Ismail bin ‘Ayyash telah disebutkan dalam artikel Irsyad al-Hadith siri ke 531. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (31 Ogos 2021), Irsyad al-Hadith siri ke 531: Mikail tidak pernah tersenyum semenjak neraka diciptakan, diambil daripada https://www.muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-al-hadith/4963-irsyad-al-hadith-siri-ke-531-mikail-tidak-pernah-tersenyum-semenjak-neraka-dicipta#_ftn6

[6] Abu Muhammad al-Maqdisi, Abdul Ghani bin Abdul Waid (2016), al-Kamāl fi Asmā al-Rijāl, ed. Syadi bin Muhammad Ali Nu’man, Kuwait: Syarikat Ghuras li al-Di’ayah wa al-‘Ilan wa al-Nasyr wa al-Tauzi’, j.3 h.292.

[7] Abu Abdullah, Muhammad bin Ismail (2019), al-Tarikh al-Kabir, ed. Muhammad bin Ṣalih al-Dabbasi, Riyadh: al-Nasyir al-Mutamayyiz li al-Tiba’ah wa al-Nasyr wa al-Tauzi’, j.2 h.80.

[8] Ibid. j.6 h.21. Abdul Ghani al-Maqdisi menyebut : فإن كان أبوه زرعة بن ثوب؛ فهو دمشقي، وإلا فهو حمصي

[9] Abu Zakariya, Yahya bin Ma’in (t.t), Tarikh Ibn Ma’in bi Riwayah Uthman al-Dārimī, ed. Dr Ahmad Muhammad Nur Saif, Damsyik: Dar al-Maāmun li al-Turath, h.135. Uthman al-Darimi berkata : وَسَأَلته عَن ‌ضَمْضَم ‌بن ‌زرْعَة فَقَالَ ثِقَة

[10] Syamsuddin al-Zahabi, Muhammad bin Ahmad (1963), Mizān al-‘Itidāl fi Naqd al-Naqd al-Rijal, ed. Ali Muhammad al-Bijawi, Beirut: Dar al-Ma’rifah, j.2 h.331.

[11] Abu al-Hasan, Ahmad bin Abdullah (1985), Ma’rifat al-Thiqāt min Rijal ahl al-Ilmi wa al-Hadith wa min al-Dhu’afā wa Zikr Mazahibim wa Akhbarahim, ed. Abdul ‘Alim Abdul ‘Aẓim al-Bustawi, Madinah Munawwarah: Maktabah al-Dar, j.1 h.452. Beliau berkata : ‌شُرَيْح ‌بن ‌عبيد شَامي تَابِعِيّ ثِقَة

[12] Menggugurkan perawi dalam mana-mana tabaqat perawi. Menurut istilah Mutaddimun, mursal dieertikan juga dengan terputus sanad (al-Munqati’). Menurut istilah Mutaakhirun, mursal adalah hadis yang diriwayatkan oleh Tābi’in tanpa menyebut perantaraan antara beliau dengan Nabi SAW. (Dr. Nuruddin ‘Itr (1997), Manhaj Al-Naqd fī ‘Ulūm al-Hadīth, Damsyik: Dar al-Fikr, h.369.

[13] Ibn Hajar al-Asqalani, Ahmad bin Ali (1986), Taqrīb al-Tahzīb, ed. Sheikh Muhammad ‘Awwamah, Syria: Dar al-Rasyid, h.265.

[14] No. 7409, 9627, Abu Abdullah, Ahmad bin Hanbal (2001), al-Musnad, ed. Sheikh Syu’aib al-Arnaut, Adil Mursyid, Beirut: Muassasah al-Risalah, j.12 h.372, j.15 h.395.

[15] No. 1336, Ibn Majah, Muhammad bin Yazid (2009), Sunan Ibn Majah, ed. Sheikh Syu’aib al-Arnaut, Adil Mursyid, Muhammad Kamil Qurah al-Balali, Abdul Latif Hirzullah, Beiut: Dar Al-Risalah al-‘Alamiyah, j.2 h.361

[16] No. 1308, 1450, Abu Daud, Sulaiman bin al-Asy’ath (2009), Sunan Abu Daud, ed. Sheikh Syu’aib al-Arnaut, Muhammad Kamil Qurah al-Balali, Beirut: Dar al-Risalah al-‘Alamiyah, j.2 h.477,582.

[17] No. 1610, Abu Abdurrahman, Ahmad bin Syu’aib (1986), al-Mujtaba min al-Sunan, ed. Sheikh Abdul Fattah Abu Ghuddah, Aleppo: Maktab al-Maṭbu’at al-Islamiyah, j.3 h.205.

[18] No. 1302, Abu Abdurrahman, Ahmad bin Syu’aib (2001), al-Sunan al-Kubrā, ed. Hassan Abdul Mun’im al-Syilabi, Beirut: Muassasah al-Risalah, j.2 h.115.

[19] No. 1148, Ibn Khuzaimah, Muhammad bin Ishak (2003), Ṣaḥīḥ Ibn Khuzaimah, ed. Dr. Muhammad Mustafa al-‘Azami, Beirut: al-Maktab al-Islamiy, j.1 h.568.

[20] No. 1164, al-Hakim Abu Abdullah, Muhammad bin Abdullah (1990), al-Mustadrak ‘ala al-Ṣaḥīḥaīn, ed. Mustafa Abdul Qadir ‘Aṭā, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyah, j.1 h.453.

[21] No. 4706, Abu Bakar al-Baihaqi, Ahmad bin al-Husain (2011), al-Sunan al-Kubrā, ed. Dr Abdullah bin Abdul Muhsin al-Turki, Mesir: Markaz al-Hijr li al-Buhuth wa al-Dirasat al-‘Arabiyah al-Islamiyah, j.5 h.343.

[22] No. 2569, Ibn Munzir, Muhammad bin Ibrahim, al-Awṣaṭ fi al-Sunan wa al-Ijma’ wa al-Ikhtilaf, ed. Ahmad bin Muhammad Hanif, Riyadh: Dar al-Tayyibah, j.5 j.151.

[23] Ibn Hibban, Muhammad bin Hibban (1991), Masyahir ‘Ulamā al-Amṣār wa ‘Alām Fuqahā al-Aqṭār, ed. Marzuq Ali Ibrahim, Mansurah: Dar al-Wafa’, h.255. ‌يحيى ‌بن ‌سعيد بن فروخ القطان مولى بنى تميم كنيته أبو سعيد وكان من سادات أهل البصرة وقرائهم ممن مهد لاهل الحديث طرق الاخبار وحثهم على تتبع العلل للآثار

[24] Ibn Ab Hatim, Abdurrahman bin Muhammad (1952), al-Jarh wa al-Ta’dil, Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabī, j.9 h.150. Beliau menukilkan : نا عبد الرحمن نا أبي قال سألت على ابن المديني من أوثق أصحاب الثوري؟ قال يحيى القطان وعبد الرحمن بن مهدي ووكيع وأبو نعيم

[25] Ibid. Imam Ahmad berkata : يحيى بن سعيد القطان أبو سعيد حافظ ثقة

[26] Ibid, j.26 h.105.

[27] وَقَال إسحاق عَنْ يحيى بْن مَعِين ثقة

[28] قال صالح  بْن أحمد بْن حنبل، عَن أبيه ثقة

[29] وَقَال أَبُو زُرْعَة: ابن عجلان صدوق وسط

[30] وَقَال أَبُو حاتم والنَّسَائي ثقة

[31] Ibid., j.7 h.136. Ibn Abi Hatim menukilkan: نا عبد الرحمن نا صالح بن أحمد بن محمد بن حنبل نا علي يعني ابن المديني قال قلت ليحيى سمى اثبت عندك أو ‌القعقاع ‌بن ‌حكيم؟ قال قعقاع احب إلى

[32] Ibn Manjuwayh, Ahmad bin Ali (1407 H), Rijāl Ṣaḥīḥ Muslim, ed. Abdullah al-Laithī, Beirut: Dar al-Ma’rifah, j.2 h.148.

[33] Syamsuddin al-Zahabi, Muhammad bin Ahmad (1985), Siyar ‘Alām al-Nubalā, ed. Sheikh Syu’aib al-Arnaut, Beirut: Muassasah al-Risalah, j.5 h.37.

[34] Dalam lafaz lain menyebut امرأته iaitu isterinya.

[35] Ibid., j.2 360.

[36] Ibid., j.2 h.582

[37] Abu Bakar al-Bazzar, Ahmad bin ‘Amr (2009), al-Bahr al-Zakhār, Madinah Munawwarah: Maktabah al-Ulum wa al-Hikam, j.15 h.60.

[38] Ibid., No 1312, j.2 h.119.

[39] No.2568, 2569, Ibn Hibban, Muhammad bin Hibban (2012), al-Taqāsīm wa al-‘Anwa’, ed. Muhammad Ali Sunmiz, Khalis Ay Damir, Beirut: Dar Ibn Hazm, j.1 h.235.

[40] Abu al-Qasim al-Tabarani, Sulaiman bin Ahmad (1995), al-Mu’jam al-Awsaṭ, ed. Sheikh Tariq Iwadullah, Kaherah, Dar al-Haramain, j.3 h.218.