Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 572: STATUS HADIS GANJARAN MEMINUM BEKAS MINUMAN SAUDARA

 

IH572.png

Soalan

Assalamualaikum, boleh saya tahu adakah kenyataan di bawah ini merupakan hadis Nabi?

“Barangsiapa yang minum bekas minuman saudaranya (orang lain), maka akan dicatat oleh Allah baginya 70000 kebaikan, dihapus 70000 kejelekan dan diangkat 70000 darjat”

Sebab ada yang menyebutnya daripada sabda Nabi SAW. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Ringkasnya, riwayat ini merupakan riwayat yang palsu kerana dalam rantaian sanadnya terdapat perawi yang pendusta dan matruk(riwayatnya ditinggalkan).

Meskipun begitu, dalam Islam terdapat perbahasan yang menyebutkan tentang meminum bekas minuman orang-orang soleh. Perkara ini berpandukan kepada satu hadis yang diriwayatkan oleh Sahl bin Saʻad al-Saʻidi di mana beliau berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، أُتِيَ بِشَرَابٍ فَشَرِبَ مِنْهُ، وَعَنْ يَمِينِهِ غُلامٌ، وَعَنْ يَسَارِهِ أَشْيَاخٌ، فَقَالَ لِلْغُلامِ: «أَتَأْذَنُ لِي أَنْ أُعْطِيَ هَؤُلاءِ؟» فَقَالَ الْغُلامُ: لَا وَاللهِ، لا أُوثِرُ بِنَصِيبِي مِنْكَ أَحَدًا، قَالَ: فَتَلَّهُ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي يَدِهِ

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW diberikan dengan satu minuman lalu Baginda meminumnya dan dikanannya terdapat seorang budak lelaki manakala sebelah kirinya terdapat beberapa orang yang lebih tua. Lalu Baginda SAW bertanya kepada budak itu: Apakah kamu mengizinkan aku memberikan minuman ini kepada mereka dahulu? Budak itu menjawab: Tidak. Demi Allah aku tidak akan mendahulukan seorang pun atas bahagianku daripadamu. Sahl berkata: Maka Baginda SAW mengembalikannya ke tangan budak itu.

Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Huraian Jawapan

Setelah melakukan penelitian, teks riwayat ini disebutkan oleh al-Sakhawi dalam al-Maqasid al-Hasanah:

حَدِيث: رِيقُ الْمُؤْمِنِ شِفَاءٌ، معناه صحيح، ففي الصحيحين أنه صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كان إذا اشتكى الإنسان الشيء، أو كانت به قرحة أو جرح قال بأصبعه يعني سبابته الأرض ثم رفعها وقال: بسم اللَّه تربة أرضنا، بريقة بعضنا، أي ببصاق بني آدم، يشفي سقيمنا بإذن ربنا، إلى غير ذلك مما يقرب منه، وأما ما على الألسنة من أن: سؤر المؤمن شفاء، ففي الأفراد للدارقطني من حديث نوح ابن ابي مريم عن ابن جريج عن عطاء عن ابن عباس رفعه من التواضع أن يشرب الرجل من سؤر أخيه

Maksudnya: Hadis: Air liur seorang mukmin adalah penawar, maknanya sahih, dalam al-sahihain Nabi SAW apabila ada orang yang mengadu kepadanya tentang penyakit atau menderita sakit atau luka. Nabi SAW akan menyentuh jarinya atas tanah dan kemudian mengangkatnya seraya membaca doa: “Dengan nama Allah, debu tanah kita, dengan air liur sebahagian kita iaitu air ludahan anak Adam, disembuhkan orang yang sakit dalam kalangan kita, dengan izin tuhan kita”  dan selain yang dekat dengannya. Manakala apa yang menjadi sebutan orang ramai iaitu hadis: سؤر المؤمن شفاء (Baki minuman seorang mukmin adalah penawar). Dalam al-Afrad oleh al-Daraqutni ada menyebutkan riwayat daripada Nuh Ibn Abi Maryam, daripada Ibn Juraij, daripada ‘Ata’, daripada Ibn ‘Abbas RA secara marfuʻ (bersambung sanadnya sehingga Nabi SAW) antara sikap rendah diri ialah seseorang lelaki meminum baki minuman saudaranya.[1]

Nuh Ibn Abi Maryam dalam sanad tersebut adalah seorang pendusta. Perkara ini sebagaimana yang disebutkan oleh al-Zahabi dalam Diwan al-Duʻafa’ bahawa al-Hakim menyebutkan Nuh Ibn Abi Maryam seorang pemalsu hadis. [2]

Al-Muttaqi al-Hindi menyebutkan lafaz penuh bagi hadis ini dalam karyanya Kanz al-‘Ummal seperti berikut:

من التواضع أن يشرب الرجل من سؤر أخيه، ومن شرب من سؤر أخيه رفعت له سبعون درجة، ومحيت عنه سبعون خطيئة وكتبت له سبعون حسنة  

Maksudnya: antara sikap rendah diri bagi seseorang lelaki ialah dia meminum baki air minuman saudaranya dan sesiapa yang meminum baki air minuman saudaranya diangkat darjatnya sebanyak 70 darjat, dihapuskan daripadanya 70 keburukan dan ditulis baginya 70 kebaikan.[3]

Al-Syaukani dalam al-Fawa’id al-Majmuʻah menyebutkan bahawa hadis ini juga diriwayatkan oleh al-Daraqutni dan dalam sanadnya terdapat perawi yang matruk(riwayatnya ditinggalkan).[4] Oleh itu, riwayat ini merupakan riwayat yang palsu kerana dalam rantaian sanadnya terdapat perawi yang pendusta dan matruk(riwayatnya ditinggalkan).

Meskipun begitu, dalam Islam terdapat perbahasan yang menyebutkan tentang meminum bekas minuman orang-orang soleh. Dalam hal ini, Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis berkenaan tahnik, beliau menyebutkan bahawa antara faedah lain daripada hadis tersebut ialah bertabaruk dengan bekas-bekas peninggalan orang-orang soleh, air ludah dan semua yang berkaitan dengan mereka.[5]

Selain itu dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Sahl bin Saʻad al-Saʻidi di mana beliau berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، أُتِيَ بِشَرَابٍ فَشَرِبَ مِنْهُ، وَعَنْ يَمِينِهِ غُلامٌ، وَعَنْ يَسَارِهِ أَشْيَاخٌ، فَقَالَ لِلْغُلامِ: «أَتَأْذَنُ لِي أَنْ أُعْطِيَ هَؤُلاءِ؟» فَقَالَ الْغُلامُ: لَا وَاللهِ، لا أُوثِرُ بِنَصِيبِي مِنْكَ أَحَدًا، قَالَ: فَتَلَّهُ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي يَدِهِ

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW diberikan dengan satu minuman lalu Baginda meminumnya dan dikanannya terdapat seorang budak lelaki manakala sebelah kirinya terdapat beberapa orang yang lebih tua. Maka Baginda SAW bertanya kepada budak itu: Apakah kamu mengizinkan aku memberikan minuman ini kepada mereka dahulu? Budak itu menjawab: Tidak. Demi Allah aku tidak akan mendahulukan seorang pun atas bahagianku daripadamu. Sahl berkata: Maka Baginda SAW mengembalikannya ke tangan budak itu.[6]

Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Wallahuaʻlam.

[1] Syams al-Din al-Sakhawi. (1985). Al-Maqasid al-Hasanah fi Bayan Kathir min al-Ahadith al-Musytahirah ‘ala al-Alsinah. ed. Muhammad ‘Usman al-Khasyat. Dar al-Kitab al-‘Arabi. no. hadis 534. 373.

[2] Al-Zahabi. (1967). Diwan al-Duʻafa’ wa al-Matrukin. ed. Hammad bin Muhammad al-Ansari. Mekah: Maktabah al-Nahdah al-Hadisah. 414. قال الحاكم: وضع

[3] ‘Ala’ al-Din ‘Ali al-Muttaqi al-Hindi. (1981). Kanz al-‘Ummal fi Sunan al-Aqwal wa al-Afʻal. Bakri Hayani & Safwah al-Saqa. Beirut: Mu’assasah al-Risalah. no. hadis 5748. 3: 115.

[4] Muhammad bin ‘Ali al-Syaukani. (). Al-Fawa’id al-Majmuʻah fi al-Ahadith al-Mawduʻah. ed. ‘Abd al-Rahman Yahya al-Muʻallimi. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah. no. hadis 71. 185.

[5] Yahya bin Syaraf al-Nawawi. (1392). Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim bin al-Hajjaj. Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi. 14: 124.

[6] Muhammad bin Ismaʻil al-Bukhari. (1422). Sahih al-Bukhari. ed. Muhammad Zuhair bin Nasir al-Nasir. Dar Tuq al-Najah. no. hadis 2605. 3: 161. Rujuk juga Muslim bin al-Hajjaj. (t.t.). Sahih Muslim. ed. Muhammad Fu’ad ‘Abd al-Baqi. Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi. no. hadis 2030. 3: 1604.