Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 573: STATUS HADIS SESIAPA YANG SELAWAT KE ATAS NABI SAW SERIBU KALI SEHARI MAKA DIA TIDAK AKAN MATI SEHINGGA DIA DIKHABARKAN DENGAN SYURGA

IH573.png

Soalan

Salam pejabat mufti, bolehkah saya tahu berkenaan darjat hadis berikut?

Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang berselawat ke atasku 1000x sehari, dia tidak akan mati sehingga dikhabarkan kepadanya dengan syurga”.

Mohon penjelasan terima kasih ya.

Ringkasan Jawapan

Hadis yang menyebutkan tentang Sesiapa yang berselawat ke atasku sebanyak seribu kali sehari, dia tidak akan mati sehingga dikhabarkan dengan syurga” adalah hadis munkar (daif berat). Namun, amalan memperbanyakkan berselawat ke atas Baginda SAW adalah digalakkan dalam Islam, terutamanya pada hari jumaat. Perkara ini berdasarkan kepada sabda Nabi SAW:

إِنَّ مِنْ أَفْضَلِ أَيَّامِكُمْ يَوْمَ الْجُمُعَةِ، فَأَكْثِرُوا عَلَيَّ مِنَ الصَّلَاةِ فِيهِ، فَإِنَّ صَلَاتَكُمْ مَعْرُوضَةٌ عَلَيَّ

Maksudnya: Sesungguhnya antara hari yang paling baik ialah hari Jumaat. Maka perbanyakkanlah selawat ke atasku. Sesungguhnya selawat kamu akan dibentangkan kepadaku.

Riwayat Abu Daud

Huraian Jawapan

Setelah melakukan carian, hadis ini dijumpai dalam karya Kanz al-‘Ummal dengan lafaz berikut:

من صلى علي في يوم ألف مرة لم يمت حتى يبشر بالجنة

Maksudnya: Sesiapa yang berselawat ke atasku sebanyak seribu kali sehari, dia tidak akan mati sehingga dikhabarkan dengan syurga.[1]

Selain itu, hadis ini juga dijumpai dalam karya al-Sakhawi iaitu al-Qaul al-Badiʻ.[2] Al-Sakhawi menyebutkan bahawa hadis ini merupakan hadis yang munkar. Beliau berkata sedemkian ketika membahaskan berkenaan memperbanyakkan berselawat ke atas Baginda SAW, kata beliau:

قلت وقد رواه غير الحكم وأخرجه أبو الشيخ من طريق حاتم بن ميمون عن ثابت ولفظه لم يمت حتى يبشر بالجنة وبالجملة فهو حديث منكر كما قاله شيخنا.

Maksudnya: Aku berkata terdapat selain al-Hakam telah meriwayatkan hadis ini iaitu Abu al-Syeikh meriwayatkan daripada jalur Hatim bin Maimun, daripada Thabit dan lafaznya “tidak akan mati sehingga dia dikhabarkan dengan syurga”. Keseluruhan hadis ini merupakan hadis munkar sebagaimana yang disebutkan oleh guru kami (Ibn Hajar al-‘Asqalani).[3]

Dalam sanad di atas, Hatim bin Maimun merupakan seorang perawi yang munkar. Al-Mizzi menukilkan ucapan Imam al-Bukhari dalam karyanya Tahzib al-Kamal, kata beliau:

قال البخاري: روى منكرا

Maksudnya: al-Bukhari berkata: Dia(Hatim bin Maimun) meriwayatkan hadis yang munkar.[4]

Terdapat juga hadis lain yang menyebutkan berkenaan kelebihan berselawat ke atas Nabi SAW sebanyak seribu kali sehari, namun dengan sedikit perbezaan lafaz. Hadis tersebut ialah hadis Anas bin Malik RA yang meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

من صلى علي في يوم ألف مرة لم يمت حتى يرى مقعده في الجنة

Maksudnya: Sesiapa yang berselawat seribu kali sehari, dia tidak akan mati sehingga dia melihat tempatnya di dalam syurga.

Menurut al-Sakhawi, hadis ini diriwayatkan oleh Ibn Syahin dalam karyanya al-Targhib wa al-Tarhib dan lain-lain, Ibn Syakwal dengan jalurnya dan Ibn Samʻun dalam al-Amali dan al-Dailami dengan jalur daripada Abu al-Syeikh al-Hafiz. Al-Diya’ meriwayatkan hadis ini dalam al-Mukhtarah dan dia berkata: aku tidak tahu hadis ini melainkan dengan jalur al-Hakam bin ‘Atiyyah. Dalam hal ini, al-Sakhwi menyebutkan bahawa al-Daraqutni memberikan komentar bahawa hadis daripada Thabit adalah hadis yang tidak ada sokongan daripada hadis lain. Ahmad mengatakan la baksa bihi(periwayatannya boleh diterima), namun Abu Daud al-Tayalisi meriwayatkan hadis daripadanya hadis-hadis yang munkar. Kemudian, Yahya bin Maʻin menyebutkan Thabit al-Bunani adalah perawi yang thiqah.[5]

Manakala dalam tempat yang lain pula disebutkan dengan lafaz tambahan “hari jumaat”, namun al-Sakhawi menyebutkan bahawa sanad daripada Ibn Syahin adalah daif(lemah). Lafaznya seperti berikut:

من صلى علي في يوم الجمعة ألف مرة لم يمت حتى يرى مقعده في الجنة أخرجه ابن شاهين بسند ضعيف

Maksudnya: Sesiapa yang berselawat pada hari jumaat seribu kali dia tidak akan mati sehingga dia melihat tempatnya dalam syurga. Hadis ini diriwayatkan oleh Ibn Syahin dengan sanad yang daif(lemah).[6]

Kesimpulannya, hadis yang menyebutkan Sesiapa yang berselawat ke atasku sebanyak seribu kali sehari, dia tidak akan mati sehingga dikhabarkan dengan syurga” adalah hadis munkar. Namun, amalan memperbanyakkan berselawat ke atas Baginda SAW adalah digalakkan dalam Islam, terutamanya pada hari jumaat. Perkara ini berdasarkan kepada sabda Nabi SAW:

إِنَّ مِنْ أَفْضَلِ أَيَّامِكُمْ يَوْمَ الْجُمُعَةِ، فَأَكْثِرُوا عَلَيَّ مِنَ الصَّلَاةِ فِيهِ، فَإِنَّ صَلَاتَكُمْ مَعْرُوضَةٌ عَلَيَّ

Maksudnya: Sesungguhnya antara hari yang paling baik ialah hari Jumaat. Maka perbanyakkanlah selawat ke atasku. Sesungguhnya selawat kamu akan dibentangkan kepadaku.[7]

Riwayat Abu Daud

[1] Al-Muttaqi al-Hindi. (1981). Kanz al-‘Ummal fi Sunan al-Aqwal wa al-Afʻal. ed. Bakri Hayyani & Safwah al-Saqa. t.tp.: Mu’assasah al-Risalah. no. hadis 2233. 1: 505.

[2] Abu al-Khair Muhammad bin ‘Abd al-Rahman al-Sakhawi. (t.t.). Al-Qaul al-Badiʻ fi al-Solah ‘ala al-Habib al-Syafiʻ. t.tp: Dar al-Rayyan li al-Turas. 132.

[3] Ibid.

[4] Al-Mizzi. (1980). Tahzib al-Kamal fi Asma’ al-RIjal. ed. Basyyar ‘Awwad Maʻruf. Beirut: Mu’assasah al-Risalah. 5: 196.

[5] Abu al-Khair Muhammad bin ‘Abd al-Rahman al-Sakhawi. (t.t.). Al-Qaul al-Badiʻ fi al-Solah ‘ala al-Habib al-Syafiʻ. 132.

رواه ابن شاهين في تغريبه وغيره وابن بشكوال من طريقه وابن سمعون في أماليه وهو عند الديلمي من طريق أبي الشيخ الحافظ وأخرجه الضياء في المختارة وقال لا أعرفه إلا من حديث الحكم بن عطية، قال الدارقطني حدث عن ثابت أحاديث لا يتابع عليها وقال أحمد لا بأس به إلا أن أبا داود الطيالسي روى عنه أحاديث منكرة قال وروي عن يحيى بن معين أنه قال هو ثقة.

[6] Ibid., 197.

[7] Abu Daud Sulaiman bin al-Asyʻath al-Sijistani. (t.t.). Sunan Abi Daud. ed. Muhammad Mahy al-Din ‘Abd al-Hamid. no. hadis 1531. 2: 88.