SOALAN
Assalamualaikum dan salam sejahtera SS Mufti, saya orang awam ingin menanyakan soalan kepada Tuan Mufti berkenaan apakah bacaan yang betul ketika rukuk, sujud dan sujud sahwi. Sebagai contoh, saya mendapati bahawa kalimah ‘Wabihamdih’ itu dari hadis dhaif. Saya juga mendapati bahawa bacaan “Subhana man la yanamu wala yashu” ini tiada asal. Adakah ia benar? Mohon pencerahan Tuan Mufti.
RINGKASAN JAWAPAN
Seseorang Muslim boleh membaca tambahan lafaz Wabihamdihi dalam zikir ketika rukuk dan sujud dalam solat sepertimana yang terdapat dalam hadis Saidatina Aisyah RA. Begitu juga, dia dibolehkan membaca lafaz Subhana man la yanamu wala yashu ketika sujud sahwi kerana lafaz tersebut dianjurkan oleh para ulama fiqh kerana lafaznya yang sesuai dengan keadaan kelalaian diri yang berlaku ketika menunaikan solat. Meskipun zikir ini tiada asal daripada mana-mana riwayat yang sahih, namun maknanya tidak bertentangan dengan syarak dan menepati maksudnya bertasbih mensucikan Allah daripada segala kekurangan. Namun, lebih afdal di sisi para ulama mazhab Syafi’i membaca zikir sama seperti zikir dalam solat, sepertimana yang dinyatakan oleh Imam Nawawi dalam kitab Raudah al-Tolibin.
HURAIAN JAWAPAN
Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Membaca Tasbih Ketika Rukuk Dan Sujud
Solat merupakan salah satu kewajipan bagi setiap Muslim. Solat perlu ditunaikan mengikut waktu-waktu yang telah ditetapkan. Seseorang Muslim perlu menunaikannya dengan sempurna dari segi rukun dan syarat solat yang telah ditetapkan antaranya rukuk dan sujud. Terdapat bacaan zikir ketika melaksanakan setiap pergerakan rukun-rukun solat. Antaranya bacaan tasbih ketika rukuk dan sujud sepertimana hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Huzaifah RA:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عليه وَسَلَّمَ كَانَ يَقُولُ فِي رُكُوعِهِ سُبْحَانَ رَبِّي الْعَظِيمِ وَبِحَمْدِهِ ثَلَاثًا وَفِي سُجُودِهِ سُبْحَانَ رَبِّي الاعلي وبحمده ثلاثا رواه الدارقطني.
Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW berkata ketika rukuk Subhana Rabbi al-‘Azimi wa Bihamdihi sebanyak tiga kali, dan ketika sujud Subhana Rabbi al-A’la wa Bihamdihi sebanyak tiga kali.
Riwayat al-Darqutni (1292)
Menurut Imam Nawawi, hadis di atas merupakan riwayat al-Darqutni yang terdapat dalam jalur sanadnya seorang perawi dhaif iaitu Muhammad bin Abi Laila.
(Rujuk: Al-Majmu' Syarh al-Muhadzzab, 3/413)
Menurut Imam Ibn ‘Alan, meskipun riwayat wa bihamdihi lemah sanadnya tetapi terdapat riwayat yang menguatkan sanad tersebut sepertimana yang sabit dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim yang diriwayatkan oleh oleh Saidatina Aisyah RA:
أن رسول الله - صلى الله عليه وسلم - كان يقول في ركوعه وسجوده: "سُبْحانَكَ اللهُم رَبنا وبِحَمْدِكَ، اللهُم اغْفِرْ لي
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW mengucapkan ketika rukuk dan sujudnya “Subhanaka Allahumma Rabbina wa Bihamdik, Allahummaghfirli”
(Rujuk: Al-Futuhat al-Rabbaniyah ala al-Azkar al-Nawawiyah, 2/243-244)
Menurut Imam Ibnu Hajar al-Asqalani ada menyatakan bahawa hadis ini merupakan asal (dalil) kepada bacaan “Subhana Rabbi al-‘Azimi wa Bihamdihi” ketika rukuk dan bacaan “Subhana Rabbi al-A’la wa Bihamdihi” ketika sujud.
(Rujuk: Al-Talkhis al-Habir fi Takhriji Ahadis al-Rafiee al-Kabir, 1/439)
Bacaan Zikir Ketika Sujud Sahwi
Menurut Dr Wahbah al-Zuhaili, al-Sahwu adalah suatu kekurangan yang berlaku pada orang yang sedang solat dalam solatnya sama ada ia berlaku secara sengaja ataupun terlupa. Ia berperanan sebagai pengganti kekurangan tersebut.
(Rujuk: Al-Fiqh al-Manhaji, 1/171).
Sujud sahwi disyariatkan apabila seseorang itu tertinggal sunat-sunat ab’ad seperti tasyahud awal, doa qunut atau terlupa bilangan rakaat solat yang sedang dilaksanakan. Antara riwayat yang menjadi dalil pensyariatan amalan tersebut sepertimana yang diriwayatkan oleh Saidina Abu Said al-Khudri RA bahawa Nabi SAW bersabda:
إِذَا شَكَّ أَحَدُكُمْ فِي صَلاَتِهِ فَلَمْ يَدْرِ كَمْ صَلَّى؟ ثَلاَثاً أَمْ أَرْبَعاً؟ فَلْيَطْرَحِ الشَّكَّ وَلْيَبْنِ عَلَى مَا اسْتَيْقَنَ، ثُمَّ يَسْجُدُ سَجْدَتَيْنِ قَبْلَ أَنْ يُسَلِّمَ. فَإِنْ كَانَ صَلَّى خَمْساً، شَفَعْنَ لَهُ صَلاَتَهُ وَإِنْ كَانَ صَلَّى إِتْمَامًا لِأَرْبَعٍ كَانَتَا تَرْغِيمًا لِلشَّيْطَانِ
Maksudnya: Jika salah seorang antara kamu ragu-ragu dalam sembahyangnya, lalu dia tidak pasti sudah berapa rakaat dia bersembahyang, sama ada tiga rakaat ataupun yang keempat, maka hendaklah dia meninggalkan keraguan tersebut, dan tetapkanlah bilangan rakaat yang diyakini (mengambil bilangan rakaat yang paling sedikit). Kemudian hendaklah dia melakukan sujud sebanyak dua kali sujud (sujud sahwi) sebelum dia memberi salam. Jika dia telah mengerjakan sebanyak lima rakaat, maka disempurnakan sembahyangnya itu dengan sujud tersebut (dikira sempurna empat rakaat) dan jika hakikatnya dia telah bersembahyang empat rakaat maka kedua sujudnya itu sebagai penghinaan terhadapyaitan.
Riwayat Imam Muslim (571)
Sepertimana rukun-rukun solat yang lain, sujud sahwi juga mempunyai lafaz zikir yang dibaca ketika melaksanakannya. Menurut para ulama mazhab Syafi’ie menetapkan agar berdiam daripada berzikir ketika kedua-dua sujud sahwi itu. Hal ini kerana zikir yang lebih afdal ketika sujud sahwi itu ialah zikir sepertimana ketika sujud dalam solat fardu.[1]
(Rujuk: Raudah al-Tolibin wa Umdah al-Muftin, 1/315)
Oleh itu, zikir yang afdal ketika melakukan sujud sahwi ialah zikir yang sama dibaca ketika sujud dalam solat iaitu سُبْحَانَ رَبِّي الاعلي وبحمده. Selain itu, sebahagian ulama mazhab Syafi’i juga menggalakkan bacaan sujud sahwi “Subha man la yanamu wa la yashu” سبحان من لا ينام ولا يسهو. Perkara ini dinyatakan oleh Imam Nawawi:
وسمعت بعض الأئمة يحكي: أنه يستحب أن يقول فيهما: سبحان من لا ينام ولا يسهو. وهذا لائق بالحال
Maksudnya: Aku (al-Rafi’ie) mendengar sebahagian para imam menyatakan bahawa disunatkan membaca pada dua sujud ini (sujud sahwi): “Subhana man la yanamu wala yashu”, dan ucapan inilah yang paling sesuai dengan keadaannya.
(Rujuk: Raudah al-Tolibin wa Umdah al-Muftin, 1/315)
Berdasarkan kenyataan Imam Nawawi itu, dapat diketahui bahawa bacaan yang sunat untuk dibaca ketika melakukan sujud sahwi ialah “Subhana man la yanamu wala yashu”. Hal ini kerana bacaan tersebut sesuai dengan situasi kelalaian yang berlaku ketika menunaikan solat. Menurut Imam Ibnu Hajar al-Hathami:
وقيل يقول فيهما سبحان من لا ينام ولا يسهو وهو لائق بالحال لكن إن سها لا إن تعمد؛ لأن اللائق حينئذ الاستغفار
Maksudnya: Membaca pada kedua-duanya subhana man la yanamu wala yashu (maha suci Tuhan yg tidak tidur dan tidak lupa). Ia (bacaan ini) bersesuaian dengan keadaan terlupa, bukan sengaja. Kerana yang sesuai bagi orang yang sengaja ketika itu adalah memohon keampunan (kerana sengaja melakukan perkara yg menyebabkan sunat sujud sahwi)
(Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 2/199)
Menurut kenyataan Imam Ibnu Hajar al-Haithami, segala kekurangan yang berlaku ketika solat harus dinilai sama ada kelalaian tersebut disengajakan ataupun tidak. Sekiranya seseorang itu tertinggal perkara sunat dalam solat yang menuntut kepada perlaksanaan sujud sahwi maka hendak membaca “subhana man la yanamu wala yashu” dan sekiranya seseorang itu meninggalkannya dengan sengaja maka bacaan yang sesuai ketika itu adalah Istighfar.
Meskipun zikir ini tiada asal dari mana-mana riwayat yang sahih, namun maknanya tidak bertentangan dengan syarak dan menepati maksudnya bertasbih mensucikan Allah daripada segala kekurangan. Hal ini dikuatkan dengan perbuatan Nabi SAW yang tidak mengingkari seorang sahabat yang menambah zikir tidak ma’thur ketika iktidal dalam solat.[2]
(Rujuk: Fathu al-Bari li Ibnu Hajar, 2/289)
KESIMPULAN
Berdasarkan perbahasan dan perbincangan ulama di atas, maka dapat disimpulkan bahawa seseorang Muslim boleh membaca tambahan lafaz Wabihamdihi dalam zikir ketika rukuk dan sujud dalam solat sepertimana yang terdapat dalam hadis Saidatina Aisyah RA. Begitu juga, dia dibolehkan membaca lafaz Subhana man la yanamu wala yashu ketika sujud sahwi kerana lafaz tersebut dianjurkan oleh para ulama fiqh kerana lafaznya yang sesuai dengan keadaan kelalaian diri yang berlaku ketika menunaikan solat. Namun, lebih afdal di sisi para ulama mazhab Syafi’i membaca zikir sama seperti zikir dalam solat, sepertimana yang dinyatakan oleh Imam Nawawi dalam kitab Raudah al-Tolibin. Meskipun zikir ini tiada asal daripada mana-mana riwayat yang sahih, namun maknanya tidak bertentangan dengan syarak dan menepati maksudnya bertasbih mensucikan Allah daripada segala kekurangan.
Wallahu A'lam.
Rujukan:
[1] وكتب الأصحاب ساكتة عن الذكر فيهما، وذلك يشعر بأن المحبوب فيها، هو المحبوب في سجدات صلب الصلاة، كسائر ما سكتوا عنه من واجبات السجود ومحبوباته
[2] وَقَدْ تَقَدَّمَ فِي الْحَدِيثِ الَّذِي قَبْلَهُ تَرْكُ إِنْكَارِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى مَنْ زَادَ فِي الِاعْتِدَالِ ذِكْرًا غَيْرَ مَأْثُورٍ