Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 587: BENARKAH HADIS BERKENAAN MAKHLUK MAMPU MEMBERI MANFAAT?

BENARKAH_HADIS_BERKENAAN_MAKHLUK_MAMPU_MEMBERI_MANFAAT.jpg

Soalan

Assalamualaikum, apakah betul hadis yang mengatakan jika kita bersangka baik dengan batu maka batu itu mampu memberi manfaat? Mohon pencerahan.

Ringkasan Jawapan

Riwayat ini tiada asalnya bahkan palsu sebagaimana yang disebutkan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani, Syeikh Ibn Taimiyyah, al-Sakhawi dan lain-lain. Kemudian, dalam isu ini Ahli Sunnah Wal Jamaah beriktikad bahawa makhluk tidak memberi kesan kepada sesuatu sedikit pun dan hanya Allah SWT jualah yang berkuasa memberi kesan kepada setiap sesuatu yang Dia ciptakan.

Huraian Jawapan

Dalam Islam fakta penghujahan mestilah disandarkan kepada salah satu daripada mana-mana dalil muktabar yang disepakati oleh ulama. Tidak boleh secara semberono berhujah dengan sesuatu dalil tanpa meneliti apakah ia dalil yang sah di sisi syarak ataupun tidak. Persoalan yang timbul ialah benarkah sangkaan baik seseorang terhadap batu boleh menyebabkan batu tersebut memberi manfaat? Kerana ia disebut sebagai hadis Nabi SAW.

Lafaz riwayat yang dimaksudkan ialah seperti berikut:

لَوْ أَحْسَنَ أَحَدُكُمْ ظَنَّهُ بِحَجَرٍ لَنَفَعَهُ اللَّه بِهِ

Maksudnya: “Sekiranya seseorang kamu baik sangkaannya pada batu, pasti batu itu boleh memberikan manfaat kepadanya.”[1]

Abu al-Fida’ al-ʻAjluni menyebutkan bahawa riwayat ini adalah dusta sebagaimana yang disebutkan oleh Ibn Taimiyyah. Begitu juga al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani yang mengatakan bahawa riwayat ini tiada asalnya (la asla lahu).[2] Al-Sakhawi turut mengkritik riwayat ini tidak sahih.[3] Walaupun terdapat pelbagai jalur periwayatan bagi riwayat ini tetapi kesemua sanadnya mempunyai perawi-perawi yang dikritik bermasalah seperti Abu al-Raja’.[4]

Oleh itu dalam isu ini, asasnya makhluk tidak mampu memberi apa-apa kesan mahupun manfaat kepada sesama makhluk. Iktikad Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sebenar ialah makhluk tidak memberi kesan kepada sesuatu sedikit pun dan hanya Allah SWT jualah yang berkuasa memberi kesan kepada setiap sesuatu yang Dia ciptakan.[5]

Kesimpulan

Riwayat ini tiada asalnya bahkan palsu sebagaimana yang disebutkan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani, Syeikh Ibn Taimiyyah, al-Sakhawi dan lain-lain. Kemudian, dalam isu ini Ahli Sunnah Wal Jamaah beriktikad bahawa makhluk tidak memberi kesan kepada sesuatu sedikit pun dan hanya Allah SWT jualah yang berkuasa memberi kesan kepada setiap sesuatu yang Dia ciptakan. Wallahuaʻlam.

Rujukan:

[1] Syams al-Din al-Sakhawi, al-Maqasid al-Hasanah fi Bayan Kathir min al-Ahadith al-Musytahirah ‘ala al-Alsinah, ed. Muhammad ‘Uthman al-Khasysyat (Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi, 1985), jld. 1: hlm. 542.

[2] Abu al-Fida’ al-‘Ajluni, Kasyf al-Khafa’ Mazil al-Ilbas, ed. ‘Abd al-Hamid Hindawi (t.tp.: al-Maktabah al-‘Asriyyah, 2000), jld. 2: hlm. 178.

قال ابن تيمية: كذب، ونحوه قول الحافظ ابن حجر: لا أصل له

[3] Syams al-Din al-Sakhawi, al-Maqasid al-Hasanah fi Bayan Kathir min al-Ahadith al-Musytahirah ‘ala al-Alsinah, ed. Muhammad ‘Uthman al-Khasysyat, jld. 1: hlm. 542.

حَدِيث: لَوْ أَحْسَنَ أَحَدُكُمْ ظَنَّهُ بِحَجَرٍ لَنَفَعَهُ اللَّه بِهِ، قال ابن تيمية: إنه كذب، ونحوه قول شيخنا: لا أصل له، قلت: ونحوه، من بلغه عن اللَّه شيء فيه فضيلة فعمل به إيمانا به ورجاء ثوابه أعطاه اللَّه ذلك وإن لم يكن كذلك، ولا يصح أيضا كما بينته في آخره القول البديع، بل وسيأتي في: من بلغه، من الميم.

[4] Syams al-Din al-Sakhawi, al-Qaul al-Badiʻ fi al-Salah ‘ala al-Habib al-Syafiʻ (t.tp.: Dar al-Rayyan li al-Turath, t.t.), hlm. 257.

فذكره وخالد وقرأت فيهما مقال وأبو رجاء لا يعرف لكن أخرجه أبو الشيخ من رواية بن عبيد عن أبي الزبير عن جابر إلا أن بشرأ متروك ورواه كامل بن طلحة الجحدري في نسخته المعروفة عن عباد بن عبد الصمد وهو متروك أيضاً عن أنس بن مالك - رضي الله عنه - بنحوه وذكره أبو أحمد بن عدي في كامله من رواية بزيع عن ثابت عن أنس واستنكره

[5] Ahmad bin Muhammad Zain bin Mustafa bin Muhammad al-Fatani, Faridah al-Fara’id fi ‘Ilm al-‘Aqa’id, ed. Fuad Ismail (Sri Damansara: Telaga Biru Sdn. Bhd., 2021), 19.

‘Perbuatan Allah SWT tidak bersekutu (bergabung) dengan perbuatan yang lain dan sekutu ini dinamakan kam muttasil pada perbuatan. Tidak ada perbuatan selain perbuatan Allah dinamakan mengadakan (kerana setiap perbuatan hamba-Nya adalah perbuatan Allah). Tetapi dinisbahkan perbuatan makhluk itu kepada usaha dan ikhtiar.