Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 596: HUKUM LELAKI MEMAKAI PAKAIAN BERWARNA OREN BATA (BRICK ORANGE)

HUKUM_LELAKI_MEMAKAI_PAKAIAN_BERWARNA_OREN_BATA_BRICK_ORANGE.jpg

 

Soalan:

Assalamualaikum SS Datuk. Tular baru-baru ini perkongsian yang menyebut haram memakai pakaian berwarna oren bata (brick orange) sebagaimana yang terdapat dalam sebuah hadis. Hal ini menyebabkan kegusaran orang ramai kerana yang telah membeli dan menempah warna ini.

 

Ringkasan Jawapan:

Pada umumnya harus memakai apa-apa warna pakaian termasuklah oren bata melainkan pakaian yang dicelup dengan zakfaran (safron) atau tumbuhan usfur (kesumba). Realitinya di Malaysia warna oren bata (brick orange) bukanlah warna yang khusus untuk wanita, ia telah menjadi warna yang dipakai oleh semua orang. Dakwaan yang mengatakan bahawa warta tersebut menyerupai warna pakaian orang Buddha juga tidak tepat kerana warna tersebut telah dipakai oleh semua orang tanpa mengira agama mahupun bangsa. Manakala hadis yang disebutkan itu menurut mazhab Syafi’i hanyalah jika ia dicelup dengan safron atau kesumba.

 

Huraian Jawapan:

Allah SWT mencipta pakaian untuk manusia menutup aurat di samping al-Quran mengingatkan bahawa pakaian yang paling terbaik ialah pakaian ketakwaan. Firman Allah SWT:

يَا بَنِي آدَمَ قَدْ أَنْزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوَارِي سَوْآتِكُمْ وَرِيشًا وَلِبَاسُ التَّقْوَى ذَلِكَ خَيْرٌ ذَلِكَ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ

Maksudnya: “Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya.”

Terdapat beberapa warna yang dilarang oleh baginda Nabi SAW antaranya ialah:

  1. Warna merah
  2. Warna yang dicelup dengan zakfaran (safron). Safron ialah pewarna kuning terang dan perisa makanan. Safron mempunyai bau yang harum tetapi rasa yang pahit[1].
  3. Warna yang dicelup dengan usfur (kesumba). Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, kesumba ialah sejenis tumbuhan yang menghasilkan cat dan pencelup merah[2].

 

Pakaian yang berwarna merah.

Dalam sebuah hadis Nabi SAW melarang untuk mengenakan pakaian yang berwarna merah. Nabi SAW bersabda:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الْمُفَدَّمِ

Maksudnya: “Nabi SAW melarang (bagi orang lelaki) dari pakaian pakaian yang berwarna merah.”

(Riwayat Ibn Majah)

Namun dalam hadis yang lain Nabi SAW juga pernah memakai pakaian yang berwarna merah sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Barra’ RA:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَرْبُوعًا، وَقَدْ رَأَيْتُهُ فِي حُلَّةٍ حَمْرَاءَ، مَا رَأَيْتُ شَيْئًا أَحْسَنَ مِنْهُ

Maksudnya: Nabi SAW seorang yang memiliki tinggi yang sederhana (tidak terlalu tinggi dan tidak juga pendek). Sesungguhnya aku melihatnya memakai suatu sut pakaian berwarna merah. Tidak pernah aku melihat sesuatu yang lebih indah daripada Baginda.

(Riwayat al-Bukhari)

Syeikh Ibn Hajar al-Asqalani menyimpulkan daripada dua hadis di atas bahawa terdapat tujuh pandangan mengenai hukum memakai pakaian berwarna merah:

  1. Pandangan beberapa orang sahabat seperti Ali RA, Talhah RA, Abdullah bin Ja’far RA dan al-Barra RA iaitu harus secara mutlak.
  2. Berdasarkan hadis-hadis yang melarang sebahagian ulama lagi berpandangan haram secara mutlak.
  3. Pandangan Ata’, Tawus dan Mujahid iaitu makruh memakai baju berwarna merah pekat dan harus jika warna merahnya tidak terlalu pekat.
  4. Manakala menurut Ibn Abbas RA hukum memakai pakaian merah adalah makruh ketika di luar rumah manakala jika dipakai di dalam rumah maka hukumnya adalah harus.
  5. Imam al-Khattabi berpandangan larangan hadis untuk memakai pakaian berwarna merah ialah jika pakaian tersebut dicelup setelah dijahit. Namun jika benang dicelup dengan warna merah lalu kemudian dijahit maka hukumnya harus.
  6. Larangan hadis di atas hanyalah bagi baju yang dicelup dengan tumbuhan kesumba (usfur). Sebaliknya jika dicelup dengan selain dari bunga kesumba maka tidak termasuk dalam larangan hadis.
  7. Haram memakai baju yang keseluruhannya berwarna merah tetapi jika terdapat warna lain bersamanya maka hukumnya adalah harus[3].

Imam al-Tabari pula menjelaskan bahawa hukum memakai apa sahaja warna baju adalah harus namun beliau secara peribadi tidak menyukai warna merah kerana ia pada zaman tersebut bukan pakaian orang yang bermaruah. Menurut beliau lagi meraikan suasana dan zaman adalah termasuk dalam memelihara maruah[4].

Syeikh Ibn Hajar al-Asqalani menyimpulkan bahawa jika sebab pengharamannya kerana menyerupai orang bukan Islam maka ia akan dilihat sesuai dengan zaman sama ada pada zaman ini ia masih menjadi pakaian khusus orang bukan Islam atau tidak. Manakala jika sebab pengharaman kerana menyerupai perempuan maka pengharamannya bukan disebabkan oleh warna merah tetapi kerana menyerupai perempuan[5].

Oleh itu, hukum memakai pakaian berwarna merah adalah harus sekalipun pakaian tersebut tidak bercampur dengan warna selain merah kerana dalam konteks zaman sekarang ia bukan warna yang khusus untuk perempuan dan bukan warna yang khusus untuk mana-mana agama. Imam al-Baijuri menjelaskan bahawa larangan untuk memakai pakaian berwarna merah hanyalah larangan yang berbentuk tanzih (makruh tanzih) dan bukannya haram[6].

 

Pakaian yang dicelup dengan zakfaran atau usfur

Dalam hadis yang lain Nabi SAW melihat dua orang lelaki memakai pakaian yang dicelup dengan kesumba (usfur) yang berwarna kekuningan lalu Baginda bersabda:

إِنَّ هَذِهِ مِنْ ثِيَابِ الْكُفَّارِ فَلَا تَلْبَسْهَا

Maksudnya: “Sesungguhnya ini pakaian orang kafir, maka janganlah kau memakainya.”

(Riwayat Muslim)

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik pula Nabi SAW melarang golongan lelaki untuk memakai pakaian yang dicelup dengan safron (zakfaran). Nabi SAW bersabda:

نهى النبي صلى الله عليه وسلم أن يتزعفر الرجل

Maksudnya: “Nabi SAW melarang lelaki memakai pakaian yang dicelup dengan zakfaran.

(Riwayat al-Bukhari)

Berkenaan dengan dua hadis di atas, pendapat yang muktamad di sisi mazhab Syafi’i, memakai apa sahaja warna baju sama ada merah, kuning, hijau atau lainnya adalah harus melainkan pakaian yang dicelup dengan pewarna safron (zakfaran). Hal ini seperti yang dijelaskan oleh Syeikh al-Malibari:

ويجوز لبس الثوب المصبوغ بأي لون كان، إلا المزعفر.

Maksudnya: “Harus memakai pakaian yang dicelup dengan apa sahaja warna melainkan pakaian yang dicelup dengan zakfaran[7].”

Namun terdapat perbezaan pendapat dikalangan ulama mazhab Syafi’i berkenaan hukum memakai baju yang dicelup dengan tumbuhan kesumba (usfur). Syeikh al-Ramli dan Syeikh Khatib al-Syirbini berpandangan memakai pakaian yang dicelup dengan bunga usfur hukumnya adalah harus dan ini sebagaimana pandangan Imam al-Syafi’i. Namun Syeikh Ibn Hajar al-Haitami dan gurunya Syeikh Zakaria al-Ansari bersetuju dengan pandangan Imam al-Baihaqi yang mengatakan bahawa hukum memakainya adalah haram berdasarkan hadis yang sahih dan menurut Imam al-Baihaqi lagi, jika Imam al-Syafi’i mengetahui kewujudan hadis yang mengharamkannya nescaya beliau juga akan merubah pandangannya[8].

 

Warna yang khusus untuk wanita atau agama lain

Lelaki juga diharamkan untuk memakai baju yang berwarna dengan warna yang khusus untuk perempuan. Nabi SAW melarang lelaki yang menyerupai wanita dan begitu juga wanita yang menyerupai lelaki sama ada dari sudut pakaian atau warna baju. Dalam sebuah hadis Nabi SAW bersabda:

 لَعَنَ رَسولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ المُتَشَبِّهِينَ مِنَ الرِّجَالِ بالنِّسَاءِ، والمُتَشَبِّهَاتِ مِنَ النِّسَاءِ بالرِّجَالِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki.”

(Riwayat al-Bukhari)Selain itu, umat Islam juga diharamkan memakai pakaian yang warnanya adalah khusus untuk orang yang bukan Islam. Daripada Ibn Umar RA, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka.”

(Riwayat Abu Daud)

Dalam mengulas perbahasan ini Imam Ibn Hajar al-Asqalani menjelaskan sekiranya larangan menggunakan pelana yang diperbuat daripada sutera disebabkan oleh menyerupai orang bukan Arab (al-Tasyabbuh bi al-A’ajim) maka ia adalah merupakan unsur keagamaan. Dahulu ia merupakan syiar bagi orang kafir, namun sekarang apabila ia tidak lagi menjadi syiar yang khusus untuk mereka, maka larangan yang berbentuk makruh tersebut juga hilang[9].

Oleh itu, jika dilihat kepada isu pakaian yang berwarna oren bata ia tidaklah menjadi warna yang khusus untuk wanita atau mana-mana agama lain daripada Islam, ia telah menjadi warna yang dipakai oleh semua orang. Dakwaan yang mengatakan bahawa warta tersebut menyerupai warna pakaian orang Buddha juga tidak tepat kerana warna tersebut telah dipakai oleh semua orang tanpa mengira agama mahupun bangsa.

Kesimpulannya

  • Realitinya di Malaysia, warna oren bata (brick orange) bukanlah warna yang khusus untuk wanita atau agama buddha.
  • Oleh itu, hukum memakai apa sahaja warna termasuklah oren bata (brick orange) adalah harus.
  • Menurut ulama mazhab Syafi’i larangan yang dimaksudkan dalam hadis adalah jika pakaian tersebut dicelup dengan zakfaran (saffron) atau tumbuhan usfur (kesumba).

Wallahu a'lam

 

Rujukan: 

[1] Rujuk: https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=safron&d=243192&

[2] Rujuk: https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=kesumba&d=95216&#3

[3] Ibn Hajar al-Asqallani, Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari (Beirut: Dar al-Kitab al-Islami, 1993) 8: 156.

[4] Ibid.

وَقَالَ الطَّبَرِيُّ بَعْدَ أَنْ ذَكَرَ غَالِبَ هَذِهِ الْأَقْوَالِ: الَّذِي أَرَاهُ جَوَازُ لُبْسِ الثِّيَابِ الْمُصَبَّغَةِ بِكُلِّ لَوْنٍ، إِلَّا أَنِّي لَا أُحِبُّ لُبْسَ مَا كَانَ مُشْبَعًا بِالْحُمْرَةِ وَلَا لُبْسَ الْأَحْمَرِ مُطْلَقًا ظَاهِرًا فَوْقَ الثِّيَابِ لِكَوْنِهِ لَيْسَ مِنْ لِبَاسِ أَهْلِ الْمُرُوءَةِ فِي زَمَانِنَا فَإِنَّ مُرَاعَاةَ زِيِّ الزَّمَانِ مِنَ الْمُرُوءَةِ مَا لَمْ يَكُنْ إِثْمًا، وَفِي مُخَالَفَةِ الزِّيِّ ضَرْبٌ مِنَ الشُّهْرَةِ،

[5] Ibid.

[6] Ibrahim bin Muhammad al-Baijuri, al-Mawahib al-Laduniyyah ala al-Syamail al-Muhammadiyyah (Qahirah: Dar al-Mustofa li al-Tiba’ah, 2015) 147.

[7] Zainuddin al-Malibari, Fath al-Mu’in bi Syarh Qurrah al-Ain bi Muhimmah al-Din (Beirut, Dar Ibn Hazm, t.t) 205.

[8] Ibn Hajar al-Haitami, Tuhfah al-Muhtaj fi Syar hal-Minhaj (Beirut: Dar Ihya’ al-Thurast al-Arabiy, 1983) 3:27.

وَيَجُوزُ لُبْسُ الثَّوْبِ الْمَصْبُوغِ بِأَيِّ لَوْنٍ كَانَ إلَّا الْمُزَعْفَرَ فَحُكْمُهُ: - وَإِنْ لَمْ يَبْقَ لِلَوْنِهِ رِيحٌ؛ لِأَنَّ الْحُرْمَةَ لِلَوْنِهِ لَا لِرِيحِهِ؛ لِأَنَّهُ لَا حُرْمَةَ فِيهِ أَصْلًا إذْ لَا يُتَصَوَّرُ فِيهِ تَشَبُّهٌ؛ لِأَنَّ النِّسَاءَ لَمْ يَتَمَيَّزْنَ بِنَوْعٍ مِنْهُ بِخِلَافِ اللَّوْنِ - حُكْمُ الْحَرِيرِ فِيمَا مَرَّ حَتَّى لَوْ صَبَغَ بِهِ أَكْثَرَ الثَّوْبِ حَرُمَ، وَكَذَا الْمُعَصْفَرُ عَلَى مَا صَحَّتْ بِهِ الْأَحَادِيثُ وَاخْتَارَهُ الْبَيْهَقِيُّ وَغَيْرُهُ وَلَمْ يُبَالُوا بِنَصِّ الشَّافِعِيِّ عَلَى حِلِّهِ تَقْدِيمًا لِلْعَمَلِ بِوَصِيَّتِهِ

-----------------------------------------------------------

)قَوْلُهُ: وَكَذَا الْمُعَصْفَرُ) خِلَافًا لِلنِّهَايَةِ وَالْمُغْنِي وَوَافَقَهُمَا شَيْخُنَا وَفِي الْكُرْدِيِّ عَلَى بَافَضْلٍ مَالَ الشَّارِحِ هُنَا كَشَيْخِ الْإِسْلَامِ إلَى حُرْمَتِهِ وَجَرَى عَلَى حِلِّهِ الْخَطِيبُ وَالْجَمَالُ الرَّمْلِيُّ وَغَيْرُهُمَا وَجَرَى الشَّارِحِ فِي شَرْحَيْ الْإِرْشَادِ عَلَى مَا قَالَهُ الزَّرْكَشِيُّ وَأَقَرَّ فِي الْأَسْنَى الزَّرْكَشِيَّ اهـ

[9] Ibn Hajar al-Asqallani, Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari (Beirut: Dar al-Kitab al-Islami, 1993) 10:307.

وَإِنْ قُلْنَا لنَّهْيُ عَنْهَا مِنْ أَجْلِ التَّشَبُّهِ بِالْأَعَاجِمِ فَهُوَ لِمَصْلَحَةٍ دِينِيَّةٍ، لَكِنْ كَانَ ذَلِكَ شِعَارُهُمْ حِينَئِذٍ وَهُمْ كُفَّارٌ ثُمَّ لَمَّا لَمْ يَصِرِ الْآنَ يَخْتَصُ بِشِعَارِهِمْ زَالَ ذَلِكَ الْمَعْنَى فَتَزُولُ الْكَرَاهَةُ، وَاللَّهُ أَعْلَمُ.