Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 566: APAKAH STATUS HADIS “BERSERBANLAH KAMU KERANA MALAIKAT MEMAKAINYA”?

APAKAH_STATUS_HADIS_BERSERBANLAH_KAMU_KERANA_MALAIKAT_MEMAKAINYA.jpg

 

Soalan

“Ketahuilah, Rasulullah berserban dan berjubah bukan kerana datuknya, bapanya, pakcik-pakciknya berjubah berserban, tetapi kerana Baginda melihat jibril berpakaian sedemikian ketika menyampaikan wahyu, sabda Rasulullah kepada para sahabat

تعمموا فإني رأيت الملائكة تعممت

“Berserbanlah Kamu semua, sesungguhnya Aku melihat para malaikat memakainya”

Rasulullah tidak berkata kerana itu pakaian tradisi datuk nenekku, maka yakinlah wahai Sahabat bahawa Serban itu pakaian sunnah dan terdapat Fadhilat yang khusus, pahala yang khusus, dan kedudukan yang Khusus di dalam Syarak”

Assalamualaikum Pejabat Mufti, boleh saya tahu status hadis di atas? Adakah ia benar daripada Nabi SAW. Terima kasih

Ringkasan Jawapan

Riwayat yang tersebar berkenaan “berserbanlah kerana para malaikat juga berserban” merupakan riwayat yang palsu dan tidak sahih. Hal ini kerana ramai ulama hadis memuatkannya dalam kitab mauduʻat mereka seperti al-Suyuti, al-Syaukani, al-Kanani, Ibn Tahir dan lain-lain. Selain itu, terdapat dua perawi yang bermasalah iaitu ‘Isa bin Yunus dengan jalur daripada Ibn ‘Umar dan al-Ahwas bin Hakim dengan jalur daripada ‘Ubadah bin Samit. Selain itu, tidak dinafikan bahawa serban itu sebagai salah satu pakaian yang dipakai oleh Nabi SAW seperti mana yang direkodkan dalam hadis-hadis yang sahih. Jika seseorang berniat memakai serban kerana ingin mengikuti sunnah Nabi SAW maka dia akan memperolehi pahala sunat tersebut. Hal ini kerana, setiap amalan yang didasari dengan niat yang baik maka Allah SWT akan memberikan ganjaran buatnya sesuai niat seseorang.

 

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Setelah melakukan penelitian terhadap lafaz hadis yang dikemukakan dalam persoalan di atas, kami tidak menjumpai lafaz yang menyebutkan sedemikian namun terdapat riwayat lain yang kami temui dengan lafaz berbeza tetapi membawa makna yang hampir sama. Lafaz riwayat tersebut adalah seperti berikut:

عليكم بالعَمائمِ فإنَّها سيما الملائكَةِ، وأرخوها خَلفَ ظهورِكم

Maksudnya: Hendaklah kalian berserban kerana berserban merupakan ciri-ciri para malaikat dan memanjangkannya ke bahagian belakang kalian.

Hadis ini dapat dijumpai dalam beberapa karya bidang hadis seperti al-Muʻjam al-Kabir oleh al-Tabarani[1], Syuʻab al-Iman oleh al-Baihaqi[2], Majmaʻ al-Zawa’id oleh al-Haithami[3], al-Maqasid al-Hasanah oleh al-Sakhawi[4], Kanz al-‘Ummal oleh al-Muttaqi al-Hindi[5], Kasyf al-Khafa’ oleh al-‘Ajluni[6], al-Fawa’id al-Majmuʻah oleh al-Syaukani[7], al-Lali’ al-Masnuʻah oleh al-Suyuti[8] dan Tanzih al-Syariʻah oleh al-Kanani[9].

Walaupun demikian, al-Haithami menyebutkan bahawa sanad yang dibawa oleh al-Tabarani ialah jalur sanad daripada Ibn ‘Umar dan dalam sanadnya terdapat ‘Isa bin Yunus. ‘Isa bin Yunus merupakan perawi yang majhul menurut al-Daraqutni.[10] Al-Syaukani menyebutkan bahawa Ibn ‘Adi dan al-Baihaqi juga meriwayatkan hadis ini. Selain itu, Ibn Tahir juga menyebutkan dalam karya mauduʻatnya.[11]

Hadis ini juga diriwayatkan secara marfuʻ (sampai kepada Rasulullah SAW) dengan jalur lain oleh ‘Ubadah bin Samit sebagaimana yang dinukilkan oleh Ibn ‘Adi. Namun dalam sanad ini terdapat perawi bermasalah yang bernama al-Ahwas bin Hakim. Abu Hatim al-Razi mengkritik kredibiliti al-Ahwas bin Hakim dengan berkata dia sebagai laisa bi qawiy (hadisnya tidak kuat) dan munkar al-hadis (hadisnya bermasalah). Menurutnya lagi, Ibn ‘Uyainah mendahulukan hadis al-Ahwas berbanding Thaur dan beliau berpandangan bahawa Ibn ‘Uyainah telah tersilap. Hal ini kerana, Thaur merupakan perawi yang saduq (hadisnya hasan) sedangkan al-Ahwas munkar al-hadis (hadisnya bermasalah).[12]

Berdasarkan kepada hujah di atas, hadis ini merupakan hadis mauduʻ (palsu) kerana ramai ulama hadis memuatkannya dalam kitab mauduʻat mereka seperti al-Suyuti, al-Syaukani, al-Kanani, Ibn Tahir dan lain-lain. Selain itu, terdapat dua perawi yang bermasalah iaitu ‘Isa bin Yunus dengan jalur daripada Ibn ‘Umar dan al-Ahwas bin Hakim dengan jalur daripada ‘Ubadah bin Samit.

Walaupun hadis ini mauduʻ, ia tidak menafikan serban itu sebagai salah satu pakaian yang dipakai oleh Nabi SAW seperti mana yang direkodkan dalam hadis-hadis yang sahih. Jika seseorang berniat memakai serban kerana ingin mengikuti sunnah Nabi SAW maka dia akan memperolehi pahala sunat tersebut.[13] Hal ini kerana, setiap amalan yang didasari dengan niat yang baik maka Allah SWT akan memberikan ganjaran buatnya sesuai niat seseorang.

Kesimpulan

Riwayat yang tersebar berkenaan “berserbanlah kerana para malaikat juga berserban” merupakan riwayat yang palsu dan tidak sahih. Hal ini kerana, ramai ulama hadis memuatkannya dalam kitab mauduʻat mereka seperti al-Suyuti, al-Syaukani, al-Kanani, Ibn Tahir dan lain-lain. Selain itu, terdapat dua perawi yang bermasalah iaitu ‘Isa bin Yunus dengan jalur daripada Ibn ‘Umar dan al-Ahwas bin Hakim dengan jalur daripada ‘Ubadah bin Samit.

Selain itu, tidak dinafikan bahawa serban itu sebagai salah satu pakaian yang dipakai oleh Nabi SAW seperti mana yang direkodkan dalam hadis-hadis yang sahih. Jika seseorang berniat memakai serban kerana ingin mengikuti sunnah Nabi SAW maka dia akan memperolehi pahala sunat tersebut. Hal ini kerana, setiap amalan yang didasari dengan niat yang baik maka Allah SWT akan memberikan ganjaran buatnya sesuai niat seseorang.

Wallahuaʻlam.

 

Rujukan: 

[1] Abu al-Qasim al-Tabarani. (1994). Al-Muʻjam al-Kabir. ed. Hamdi bin ‘Abd al-Majid al-Salafi. Kaherah: Maktabah Ibn Taimiyyah. no. hadis 13418. 12: 383.

[2] Abu Bakr al-Baihaqi. (2003). Syuʻab al-Iman. ed. ‘Abd al-ʻAli ‘Abd al-Hamid Hamid. Riyad: Maktabah al-Rusyd. no. hadis 5851. 8: 295.

[3] Al-Haithami. (1994). Majmaʻ al-Zawa’id wa Manbaʻ al-Fawa’id. ed. Hisam al-Din al-Qudsi. Kaherah: Maktabah al-Qudsi. no. hadis 8503. 5: 120.

[4] Syams al-Din al-Sakhawi. (1985). Al-Maqasid al-Hasanah fi Bayan Kathir min al-Ahadith al-Musytahirah ‘ala al-Alsinah. ed. Muhammad ‘Uthman al-Kasyat. Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi. 466.

[5] Al-Muttaqi al-Hindi. (1981). Kanz al-‘Ummal fi Sunan al-Aqwal wa al-Afʻal. ed. Bakri Hayani dan Safwah al-Saqa. Beirut: Mua’assasah al-Risalah. no. hadis 41140. 15: 306.

[6] Ismaʻil bin Muhammad al-‘Ajluni. (2000). Kasyf al-Khafa’ wa Mazil al-Ilbas. ed. ‘Abd al-Hamid Hindawi. t.tp: al-Maktabah al-‘Asriyyah. 2: 85.

[7] Muhammad bin ‘Ali al-Syaukani. (t.t.). al-Fawa’id al-Majmuʻah fi al-Ahadith al-Mauduʻah. ed. ‘Abd al-Rahman bin Yahya al-Muʻallimi. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah. 1: 187.

[8] Jalal al-Din al-Suyuti. (1996). Al-Lali’ al-Masnuʻah fi al-Ahadith al-Mauduʻah. ed. Solah bin Muhammad bin ʻUwaidah. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah. 2: 221.

[9] Nur al-Din al-Kanani. (1399). Tanzih al-Syariʻah al-Marfuʻah ‘an al-Akhbar al-Syaniʻah al-Mauduʻah. ed. ‘Abd al-Wahhab ‘Abd al-Latif dan ‘Abdullah Muhammad al-Siddiq al-Ghumari. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah. 2: 272.

[10] Al-Haithami. (1994). Majmaʻ al-Zawa’id wa Manbaʻ al-Fawa’id. 5: 120.

رَوَاهُ الطَّبَرَانِيُّ، وَفِيهِ عِيسَى بْنُ يُونُسَ قَالَ الدَّارَقُطْنِيُّ: مَجْهُولٌ

[11] Muhammad bin ‘Ali al-Syaukani. (t.t.). al-Fawa’id al-Majmuʻah fi al-Ahadith al-Mauduʻah. 1: 187.

أَخْرَجَهُ ابْنُ عَدِيٍّ وَالْبَيْهَقِيُّ وَأَوْرَدَهُ فِي الْمَقَاصِدِ وَذَكَرَهُ ابْنُ طَاهِرٍ فِي مَوْضُوعَاتِهِ

[12] Ibn Abi Hatim al-Razi. (1952). Al-Jarh wa al-Taʻdil. Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi. 2: 328.

سمعت أبي رحمه الله يقول: الأحوص بن حكيم ليس بقوي، منكر الحديث، وكان ابن عيينة يقدم الأحوص على ثور في الحديث فغلط ابن عيينة في تقديم الأحوص على ثور، ثور صدوق، والاحوص منكر الحديث.

[13] Perkara ini berdasarkan dalil umum dalam Surah Ali Imran,

قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.