Soalan: Apakah status kisah ini?
Para ulama’ Syiah telah menghadiri satu persidangan bagi membincangkan isu-isu berkaitan Sunni dan Syiah. Akan tetapi, hanya seorang sahaja ulama’ Sunni yang hadir iaitu Imam Ahmad bin Hanbal. Beliau telah berjalan sambil meletakkan seliparnya di bawah ketiaknya dalam keadaan tergesa-gesa. Apabila ulama’ Syiah melihatnya, mereka berkata:
Ulama’ Syiah bertanya kepada Imam Ahmad: Kenapa kamu datang ke sini dalam keadaan kamu meletakkan selipar di bawah ketiak?
Imam Ahmad menjawab: Aku mendengar Syiah pada zaman Nabi SAW suka mencuri selipar.
Setelah mendengar jawapan Imam Ahmad, para ulama’ Syiah melihat antara satu sama lain lalu berkata: Tidak ada Syiah pada zaman Nabi SAW.
Imam Ahmad berkata lagi: Untuk itu, kita hentikan persidangan ini.
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Berdasarkan kisah di atas, kisah tersebut masyhur dan sering disebutkan oleh para penceramah. Walaubagaimanapun, kami cuba untuk mencari akan status atau asal bagi kisah ini, namun kami tidak menemui asalnya di dalam mana-mana kitab yang dikarang oleh para ulama’ hatta di dalam kitab yang dikaryakan oleh Imam Ahmad sendiri. Untuk itu, kami simpulkan bahawa kisah ini tiada asalnya. Disebabkan itu, seorang tabi’in yang agung Imam Abdullah bin al-Mubarak berkata:
إِنَّ الإِسْنَادَ مِنَ الدِّيْنِ، وَلَوْلَا الإِسْنَاد لَقَالَ مَنْ شَاءَ مَا شَاءَ
Maksudnya: “Sesungguhnya sanad itu sebahagian daripada agama, jika tanpa sanad maka sesiapa sahaja boleh berkata apa yang mereka ingin katakan”.
Penutup
Kesimpulannya, sebaik-baiknya setiap kisah yang diceritakan perlulah disemak serta mempunyai sandarannya tersendiri agar tidak berlaku pendustaan di atas nama para ulama’, apatah lagi jika ia melibatkan tokoh-tokoh yang banyak berjasa di dalam Islam. Akhirnya, marilah sama-sama kita memupuk semangat minat membaca kisah-kisah para ulama’ agar daripada kisah itu dapat kita mengambil sedikit manfaat daripadanya untuk diamalkan dan dipraktikkan dalam kehidupan seharian. Semoga Allah SWT menjadikan dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang mempunyai akhlak-akhlak yang terpuji sepertimana ulama’-ulama’ terdahulu. Amin,
Wallahua’lam