Soalan: “Barangsiapa yang membaca sepuluh ayat daripada surah al-Baqarah pada suatu malam maka rumah tersebut tidak akan dimasuki syaitan (atau makhluk jahat selainnya) sehingga pagi iaitu empat ayat awal surah al-Baqarah, ayat al-Kursi, dua ayat selepasnya dan tiga ayat terakhir di dalam surah al-Baqarah”. Apakah status hadith ini?
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Berdasarkan soalan di atas, kami mendapati hadith tersebut di dalam beberapa kitab hadith. Antaranya:
- Daripada Abdullah bin Mas’ud RA berkata:
مَنْ قَرَأَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ سُورَةِ الْبَقَرَةِ فِي لَيْلَةٍ، لَمْ يَدْخُلْ ذَلِكَ الْبَيْتَ شَيْطَانٌ تِلْكَ اللَّيْلَةَ حَتَّى يُصْبِحَ: أَرْبَعًا مِنْ أَوَّلِهَا، وَآيَةُ الْكُرْسِيِّ، وَآيَتَينِ بَعْدَهَا، وَثَلَاثٌ خَوَاتِيمُهَا
Maksudnya: “Barangsiapa membaca sepuluh ayat daripada surah al-Baqarah pada satu malam maka rumah tersebut tidak akan dimasuki syaitan pada malam tersebut sehingga pagi iaitu empat ayat awal surah al-Baqarah, ayat al-Kursi, dua ayat selepasnya dan tiga ayat terakhir di dalam surah al-Baqarah”. [Riwayat Imam al-Darimi (3425)]
Hukum Hadith Dan Ulasan
Imam al-Haithami mengatakan bahawa hadith ini diriwayatkan oleh Imam al-Thabarani dan perawi-perawinya adalah sahih melainkan al-Sya’bi kerana beliau tidak mendengar (hadith) daripada Ibn Mas’ud. [Lihat: Majma’ al-Zawaid, 118/10]
Selain itu juga, Imam Ibn Hajar al-Asqalani menghukum hadith ini sebagai mawquf serta perawinya adalah thiqah dan pada sanadnya inqitha’ (terputus). [Lihat: Futuhat al-Rabbaniyyah, 284/3]
Berdasarkan dua pendapat Imam yang besar ini, kami dapat menyimpulkan bahawa hadith di atas adalah termasuk di dalam kategori dhaif (lemah) kerana sanadnya terputus iaitu al-Sya’bi tidak mendengar hadith ini daripada Abdullah bin Mas’ud.
Tambahan pula, terdapat sebuah hadith di dalam Sahih Muslim berkaitan kelebihan surah al-Baqarah ini dan maknanya seperti hadith di atas:
- Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
لَا تَجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ مَقَابِرَ، إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْفِرُ مِنَ الْبَيْتِ الَّذِي تُقْرَأُ فِيهِ سُورَةُ الْبَقَرَةِ
Maksudnya: “Janganlah menjadikan rumah kamu seperti perkuburan, sesungguhnya syaitan lari daripada rumah yang dibaca padanya surah al-Baqarah”. [Riwayat Muslim (780)]
Menurut Syeikh al-Mubarakfuri mengatakan yang dimaksudkan dengan menjadikan rumah seperti perkuburan adalah rumah yang kosong daripada zikir dan ketaatan maka dengan itu menjadikannya seperti perkuburan atau seperti orang yang mati. Di antara makna lain bagi hadith ini adalah tidak boleh mengebumikan orang-orang yang mati di dalam rumah. Akan tetapi, hadith ini menunjukkan pada makna yang pertama iaitu rumah yang kosong daripada zikir dan ketaatan. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 146/8]
Penutup
Kesimpulannya, walaupun hadith di atas adalah mawquf serta terputus pada sanadnya, namun di sana terdapat sebahagian ulama’ yang membenarkan untuk beramal dengannya. Tambahan pula, terdapat hadith lain yang menguatkan hadith mawquf tersebut sebagaimana yang kami nyatakan di atas iaitu daripada sahih Imam Muslim. Di samping itu juga, para sahabat RA tidak akan mengatakan sesuatu melainkan mereka mendengarnya daripada Nabi SAW sendiri. Untuk itu, Nabi SAW bersabda:
فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ الْمَهْدِيِّينَ
Maksudnya: “Maka hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah para khulafa’ al-Rasyidin yang diberi petunjuk (hidayah)”. [Riwayat al-Hakim (329)]
Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita taufiq dan hidayah dalam beramal serta menerima segala amalan yang kita lakukan. Amin.
Wallahua’lam