Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM HAJI DAN KORBAN SIRI 14: HUKUM MEWAKILKAN BINATANG KORBAN UNTUK DISEMBELIH

 Soalan: Boleh atau tidak mewakilkan korban?

Jawapan:

Ulama’ telah bersepakat bahawa dibolehkan untuk seseorang mewakilkan orang yang lain untuk melakukan korban bagi dirinya dengan syarat yang mewakilakannya itu adalah seorang muslim. Ini berdasarkan hadith Fatimah R.Anha:

قَوْمِي إِلَى أُضْحِيَّتِكَ فَاشْهَدِيهَا فَإِنَّ لَكِ بِأَوَّلِ قَطْرَةٍ تَقْطُرُ مِنْ دَمِهَا يُغْفَرُ لَكِ مَا سَلَفَ مِنْ ذُنُوبُكَ. قَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، هَذَا لَنَا أَهْلَ الْبَيْتِ خَاصَّةً أَوْ لَنَا وَلِلْمُسْلِمِينَ عَامَّةً؟ قَالَ: بَلْ لَنَا وَلِلْمُسْلِمِينَ عَامَّةً

Maksudnya: “Bangun dan pergilah ke tempat penyembelihan korban kamu dan saksikanlah sendiri kerana dengan titisan darahnya yang pertama akan diampunkan dosa kamu yang terdahulu. Fatimah bertanya: Wahai Rasulullah! Ini adakah untuk kita ahli Bait sahaja atau untuk kita dan orang Islam keseluruhannya? Jawab Rasulullah SAW: Bahkan untuk kita dan orang Islam keseluruhannya”.

Riwayat al-Hakim di dalam al-Mustadrak (7525)

Arahan Nabi SAW kepada puterinya Fatimah R.Anha agar keluar untuk melihat sembelihannya menunjukkan bahawa Fatimah R.Anha telah mewakilkan orang lain untuk melakukan sembelihan buatnya. Namun yang terbaik adalah disembelih sendiri oleh orang yang ingin melakukan korban tersebut.

Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah menyebutkan di dalam kitabnya al-Majmu’ bahawa seseorang sama ada lelaki ataupun perempuan boleh mewakilkan kepada orang yang lain untuk menjalankan sembelihan korban dan sekiranya ingin mewakilkannya kepada orang lain, maka yang afdhal (terbaiknya) adalah seorang muslim yang pakar dalam bidang pemburuan dan sembelihan serta mengetahui syarat-syarat berkaitan dengan sembelihan berserta sunnah-sunnahnya.[1]

Seterusnya, tidak dibenarkan untuk mewakilkan penyembah berhala, majusi serta orang yang murtad untuk melakukan sembelihan namun dibolehkan bagi ahli al-kitab, kanak-kanak dan juga perempuan. Namun, ashab mazhab Syafi’e memakruhkan perwakilan kanak-kanak dan terdapat juga yang memakruhkan perwakilan perempuan yang sedang haid namun yang yang paling tepatnya bagi perempuan yang sedang haid untuk menjadi wakil menyembelih adalah dibolehkan dan tidak pula makruh hukumnya kerana tidak ada yang sahih melalui larangannya sedangkan perempuan yang haid itu lebih utama dari kanak-kanak.[2]

Perwakilan pada asasnya terjadinya sekiranya terdapat nas daripada pewakil kepada wakil sama ada melalui lisan ataupun dengan tulisan. Namun terdapat juga dalam sesetengah keadaan di mana seorang yang berniat untuk melakukan korban namun pada hari sembelihan dia jatuh sakit yang menyebabkan tidak dapat melakukan sembelihan dan pada waktu ini, meskipun beliau tidak mewakilkan sesiapa, maka dibolehkan untuk seseorang menyembelih bagi pihak yang sakit itu di sisi al-Imam Abu Hanifah Rahimahullah.[3]

Seterusnya, kami nukilkan juga keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan berkenaan dengan hukum wakalah di dalam ibadah korban:

  • Muzakarah Fatwa Kebangsaan kali ke-66 pada 2004 memutuskan berkenaan hukum wakalah dan beberapa perkara berbangkit dalam ibadat korban, antaranya: Muzakarah bersetuju menerima keputusan yang diputuskan oleh Panel Kajian Syariah dan meminta JAKIM menyediakan sighah al-Taukil yang merangkumi jenis ibadat korban dan keizinan muwakkil kepada wakil untuk menyerahkan kepada pihak lain bagi menyempurnakan ibadat korban.

 

Keputusan mesyuarat Panel Kajian Syariah adalah seperti berikut:

  1. Hukum asal wakalah adalah harus.
  2. Harus bagi wakil mewakilkan kepada orang lain dengan keizinan muwakkil.
  3. Harus bagi wakil mewakilkan kepada orang lain sekiranya tidak mampu atau tidak layak melakukan sendiri perkara yang diwakilkan tersebut.
  4. Harus mengagihkan daging korban ke tempat atau negara lain.

 

Wallahu a’lam.

 

Akhukum fillah,

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

 

5 September 2016 bersamaan 1437 H

 

[1] Al-Nawawi, Abu Zakaria Muhyiddin Yahya bin Syarf. Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. Dar al-Fikr, 8/405.

[2] Ibid.

[3] Al-Kasani. ‘Alauddin Abu Bakar bin Mas’ud. Badai’ al-Sanai’ fi Tartib al-Syarai’. Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 5/67.