Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL FATWA HAJI DAN KORBAN SIRI 3: HUKUM MENUNAIKAN HAJI DENGAN WANG HARAM

Soalan:

Assalamualaikum Sahibus Samahah Datuk Mufti, apakah hukum seseorang melaksanakan ibadah haji dengan menggunakan duit haram ?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam. Dalam menjawab persoalan ini, suka untuk kami ulaskan berkenaan pengertian harta yang haram terlebih dahulu dan kemudian kami sertakan sekali beberapa pendapat para fuqaha berkenaan hukum isu ini.

 

Definisi Harta Haram

Imam al-Ghazali Rahimahullah mendefinisikan harta yang haram dengan katanya: Sesuatu yang diperolehi dengan cara yang haram seperti riba, rasuah, judi, dan ihtikar (monopoli).

Dr. Muhammad Nu’aim Yasin pula mentakrifkan harta haram sebagai: Setiap harta yang diharamkan syarak ke atas orang yang mendapatkannya untuk mengambil manfaat darinya dari setiap sudut. Lihat Zakat Al-Mal Al-Muharram, Dr. Nuaim Yasin (Hlm. 1).

Manakala Dr. Abbas Muhammad Al-Baz pula memberikan definisi bagi harta yang haram dengan katanya: Setiap sesuatu yang syarak haramkan ke atas seorang muslim untuk memilikinya serta mengambil manfaat dengannya adalah merupakan harta yang haram. Lihat Ahkam Al-Mal Al-Haram (Hlm. 40).

 

Contoh-Contoh Harta Yang Haram

Berikut merupakan beberapa contoh harta-harta yang haram. Di antaranya:

  • Harta yang dicuri atau dirampas.
  • Harta yang diperoleh hasil dari riba.
  • Harta yang diperoleh dari penjualan arak, dadah, dan perkara haram yang lain.
  • Harta yang didapati dari perbuatan rasuah.

 

 

Pendapat Para Fuqaha Berkenaan Isu Laksanakan Haji Dengan Harta Yang Haram

Berikut merupakan beberapa pendapat para fuqaha berkenaan hukum menunaikan haji menggunakan harta yang haram. Di antaranya:

 

Pertama: Mazhab Jumhur (Majoriti) Fuqaha

Yang kami maksudkan dengan jumhur di sini adalah tiga mazhab terbesar iaitu mazhab Imam Abu Hanifah, mazhab Imam Malik, serta mazhab Imam Al-Syafie. Berikut merupakan kenyataan tokoh besar dalam mazhab Al-Syafie berkenaan isu ini. Kata Al-Imam Al-Nawawi Rahimahullah: Apabila seseorang melakukan haji dengan harta yang haram atau dia menunggang haiwan tunggangan yang dirampas maka dia mendapat dosa dan hajinya sah di sisi kami. Inilah pendapat yang dipegang oleh Abu Hanifah, Malik, al-Abdari dan majoriti fuqaha. Rujuk Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab, Al-Nawawi (7/62).

Hujah Imam Al-Nawawi adalah, haji merupakan perbuatan-perbuatan yang khusus (rukun dan syarat) dan pengharaman adalah disebabkan perkara yang luar darinya.

Kata Al-Syeikh al-Bujairami Al-Syafie: Disunatkan juga untuk seseorang yang pergi melakukan haji untuk berusaha memastikan hartanya halal untuk dia belanjakannya di dalam permusafirannya. Sesungguhnya Allah itu thayyib (baik) Dia tidak menerima melainkan sesuatu yang baik juga.

Beliau juga menyatakan terdapat sebuah khabar yang menyebut:

مَنْ حَجَّ بِمَالٍ حَرَامٍ إذَا لَبَّى قِيلَ لَهُ لَا لَبَّيْكَ وَلَا سَعْدَيْكَ وَحَجُّك مَرْدُودٌ عَلَيْك

Maksudnya: Sesiapa yang melakukan haji dengan harta yang haram, apabila dia bertalbiah akan dikatakan kepadanya: “Tidak diterima seruanmu dan tidak ada kebahagiaan buatmu serta hajimu tertolak ke atas dirimu”.

Hasyiah Al-Bujairami (2/423)

Kedua: Mazhab Hanbali

Pengasas mazhab ini iaitu Imam Ahmad bin Hanbal Rahimahullah mengatakan: Haji seperti ini tidak sah, berdasarkan hadis:

إِنَّ اللَّهَ طَيِّبٌ لاَ يَقْبَلُ إِلاَّ طَيِّبًا

Maksudnya: Sesungguhnya Allah itu thayyib (baik) dan Dia tidak menerima melainkan yang baik sahaja.

Riwayat Muslim (1015)

Kata salah seorang tokoh besar mazhab Hanbali iaitu Syeikh Abu Ali bin Abi Musa Al-Hashimi: Sesiapa yang melakukan haji dengan harta yang haram maka haji tersebut tidak dikira sebagai haji Islam menurut pendapat yang sahih di dalam mazhab.

 

Kesimpulan

Kami lebih cenderung berpegang dengan pendapat jumhur para fuqaha yang mengatakan bahawa seseorang yang pergi haji menggunakan wang haram maka hukumnya adalah berdosa dan hajinya dikira sah. Ini kerana, urusan berkaitan haji terpisah dari larangan menggunakan wang haram juga kami berpendapat sama seperti hujah-hujah yang telah dinyatakan oleh jumhur.

 

KENYATAAN MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

Berdasarkan kepada hujah-hujah di atas, kami berpandangan bahawa ibadah haji yang dilakukan dengan meraikan segala rukun, syarat-syarat, adab, dan sunat-sunat dalam pelaksanaan manasik haji maka untuk itu hajinya sah di sisi kebanyakan para fuqaha. Akan tetapi, pelaksanaan haji bukan isu sah semata-mata sebaliknya yang besar dari itu adalah penerimaan dan kemabruran haji itu yang menjadi tuntutan. Ini kerana, dengan kemabruran haji itulah terhasilnya pahala dan perubahan dalam diri serta akhirnya mendapat ganjaran syurga daripada Allah S.W.T. Benarlah hadis Nabi S.A.W yang menyebut:

وَالْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلاَّ الْجَنَّةُ

Maksudnya: Dan haji mabrur itu tidak ada ganjarannya melainkan Syurga.

Riwayat Muslim (1349)

Keduanya, pujangga ada menyebut:

إِذَا حَججْتَ بِمَالٍ أَصْلُهُ سَحَّت    فَمَا حَجَجتَ وَلَكِنْ حَجت الْعِير

لَا يَقْبَلُ اللَّهُ إِلَّا كُلّ طيبَة     مَا كُلُّ مَنْ حَجَّ بيت اللَّهِ مَبْرُور 

Maksudnya: Apabila kamu menunaikan haji dengan harta yang asalnya haram, maka tidaklah kamu yang menunaikan haji akan tetapi unta yang melakukannya. Allah tidak menerima melainkan setiap yang baik sahaja. Bukan semua yang pergi menunaikan haji ke baitullah mendapat haji yang mabrur.

Sekalipun jihah munfakkah di sisi mazhab Imam al-Syafie dikira berasingan, akan tetapi keperluan untuk penerimaan haji itu adalah matlamat utama. Justeru, pastikan sumber yang kita bawa dalam perlaksanaan haji biarlah halal 100 peratus tanpa sebarang syak dan ragu-ragu. Inilah yang telah diamalkan oleh para salafussoleh dan orang-orang soleh yang datang terkemudian. Semoga Allah menerima haji kita sebagai haji yang mabrur. Ameen.

 

Akhukum Fillah

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

5 Ogos 2016 bersamaan 2 Zulkaedah 1437 H.