Soalan:
Assalamualaikum Datuk Mufti, apakah dibolehkan bagi majlis agama islam ataupun pihak baitulmal memberikan sumbangan haiwan korban kepada penduduk sesebuah kawasan untuk dikorbankan dan apakah hukumnya ?
Jawapan:
Waalaikumussalam W.B.T. Dalam menjawab persoalan ini, suka untuk kami kongsikan beberapa pendapat para fuqaha dan badan berautoriti agama berkenaan hal ini. Berikut merupakan beberapa pendapat ataupun fatwa para fuqaha terdahulu di dalam kitab-kitab mereka berserta pendapat badan berautoriti dalam hal ehwal agama:
Pertama: Pandangan Imam Al-Khatib Al-Syarbini
Kata Imam Al-Khatib Al-Syarbini Rahimahullah: Dan disunatkan untuk pemerintah melakukan ibadah korban dari harta baitulmal ke atas orang Islam dengan seekor lembu di musolla dan hendaklah dia (pemerintah) sendiri yang menyembelihnya. Dan sekiranya sukar mendapatkan seekor lembu maka memadai dengan seekor kambing untuk ittiba’ (mengikut sunnah). Lihat Mughni Al-Muhtaj, Al-Syarbini. (6/125).
Sekalipun dinyatakan bahawa hendaklah pemerintah itu sendiri yang menyembelihnya, akan tetapi boleh juga untuk pemerintah menggantikan orang lain untuk menyembelih. Ini berdasarkan sebuah riwayat yang menyatakan berkenaan 100 ekor binatang korban (lembu atau unta):
فَنَحَرَ النَّبِيُّ ـ صلى الله عليه وسلم ـ بِيَدِهِ ثَلاَثًا وَسِتِّينَ وَنَحَرَ عَلِيٌّ مَا غَبَرَ
Maksudnya: Rasulullah S.A.W menyembelih dengan tangan baginda sebanyak 63 ekor binatang korban (lembu atau unta) dan Ali R.A menyembelih bakinya yang lain.
Riwayat Ibn Majah (3076)
Kata beliau lagi: Yang afdhalnya hendaklah yang menjadi ganti (untuk menyembelih) itu seorang muslim yang faqih (mahir) di dalam bidang penyembelihan dan makruh hukumnya untuk digantikan dengan ahli kitab, kanak-kanak, dan juga orang buta. Kata Al-Ruyani: Menggantikan wanita yang haid adalah khilaf awla (menyelisihi yang utama) dan begitulah juga wanita yang dalam keadaan nifas. Rujuk Al-Mughni al-Muhtaj, Al-Syarbini (6/125).
Kedua: Pendapat Penulis Kitab Al-Fiqh Al-Manhaji
Para penulis kitab Al-Fiqh Al-Manhaji mengatakan: Disunatkan untuk hakim atau pemerintah kaum muslimin melakukan ibadah korban ke atas mereka dengan menggunakan harta baitulmal. Rujuk Al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab Al-Imam Al-Syafie (1/236).
Pendapat ini didasarkan dengan sebuah hadis yang menyatakan bahawa baginda S.A.W ketika menyembelih korban berkata:
بِسْمِ اَللَّهِ اَللَّهُمَّ تَقَبَّلْ مِنْ مُحَمَّدٍ وَآلِ مُحَمَّدٍ وَمِنْ أُمّةِ مُحَمَّدٍ
Maksudnya: Rasulullah S.A.W melakukan korban dengan seekor kibasy dan baginda berkata semasa penyembelihan: “Bismillah, ya Allah terimalah daripada Muhammad, keluarga Muhammad, dan umat Muhammad”.
Riwayat Muslim (1967)
Pendapat Dar Al-Ifta’ Jordan
Kata Samahah Al-Mufti Dr. Naddhal Sulthan: Tidak boleh untuk seorang lelaki melakukan korban untuk orang lain tanpa keizinannya melainkan jika dia melakukan korban untuk ahli keluarganya, atau seorang wali melakukan korban untuk orang yang berada di bawah wilayahnya, atau pemerintah menggunakan baitulmal melakukan ibadah korban untuk kaum muslimin. Rujuk pautan berikut http://goo.gl/omyvdl
KENYATAAN MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN
Setelah meneliti dan menekuni beberapa pandangan di atas, kami berpendapat bahawa dibolehkan untuk pemerintah melalui baitulmal memperuntukkan haiwan korban untuk kaum muslimin. Kami juga menyatakan bahawa isu ini wajar diberikan perhatian dan tumpuan kepada kawasan di mana golongan fakir dan miskin yang ramai dan tidak ada golongan yang berkemampuan untuk melaksanakan ibadah korban di tempat tersebut. Justeru, tindakan pemerintah melalui baitulmal mengeluarkan bantuan haiwan korban ada manfaat serta kebaikannya dalam menzahirkan syiar Islam.
Sebagai contoh kawasan yang sesuai adalah seperti di perkampungan orang-orang asli yang beragama islam dan tidak mampu untuk membeli lembu ataupun haiwan korban yang lain. Tetapi jika di tempat-tempat yang biasa dan terdapat dari kalangan penduduknya yang mampu untuk melakukan ibadah korban maka hendaklah mereka lakukannya dalam tujuan untuk mengagungkan syiar Islam.
Rasulullah S.A.W telah memberikan peringatakan tegas kepada sesiapa yang mampu tetapi tidak mahu melakukan ibadah korban dengan sabda baginda:
مَنْ كَانَ لَهُ سَعَةٌ وَلَمْ يُضَحِّ فَلاَ يَقْرَبَنَّ مُصَلاَّنَا
Maksudnya: Sesiapa yang memiliki kelapangan (kemampuan) dan tidak melakukan ibadah korban maka janganlah dia menghampiri tempat solat kami.
Riwayat Ibn Majah (3123)
Semoga pencerahan ini akan menatijahkan kefahaman yang baik kepada kita semua dalam melaksanakan ibadah korban dan menjadikan kita golongan yang meninggikan syiar Islam kerana ianya melambangkan taqwa yang berada di dalam dada. Firman Allah S.W.T:
وَمَن يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِن تَقْوَى الْقُلُوبِ
Maksudnya: Dan sesiapa yang membesarkan syiar-syiar Allah maka sesungguhnya ia dari tanda taqwanya hati.
Surah Al-Hajj (32)
Akhukum Fillah
S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
29 Julai 2016 bersamaan 26 Syawal 1437 H.