Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM HAJI DAN KORBAN SIRI KE- 21:BOLEHKAN MELAKUKAN IBADAH HAJI TANPA KELULUSAN DARIPADA MAJIKAN

ifkhi 21

Soalan

Assalamualaikum Dr. saya bekerja dengan syarikat Makkah Metro Train. Mengikut kontrak kerja, saya tidak dibenarkan menunaikan haji sewaktu kerja. Akan tetapi para senior saya menasihati saya supaya mengerjakan haji secara sembunyi tanpa diketahui oleh sesiapa pada waktu off duty. Apakah hukum melaksanakan haji ketika bertugas sedangkan sudah diamanahkan membantu kelancaran pergeraakan Jemaah haji.apakah saranan atau nasihat Dr. atas perkara ini.adakah perlu saya mengerjakan haji atau focus pada kerja yang diamanahkan.

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Dalil dan Pensyariatan

Haji merupakan rukun Islam ke lima dan merupakan salah satu kefardhuan yang wajib melakukannya dan mempelajarinya. Sesiapa yang mengingkarinya adalah kafir dan keluar daripada islam. Firman Allah SWT:

وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا ۚ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ اللَّـهَ غَنِيٌّ عَنِ الْعَالَمِينَ

Maksudnya: Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.

(Surah Ali-Imran, 97)

Begitu juga hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Sabda Nabi SAW:

بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ، وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ الله، وَإِقَامِ الصَّلاَةِ، وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ، وَحَجِّ الْبَيْتِ لِمَنِ اسْتَطَاعَ اِلَيْهِ سَبِيْلاً

Maksudnya: “Islam diasaskan atas lima perkara, iaitu: Bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad ialah Rasulullah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan dan mengerjakan haji ke Baitullah bagi mereka yang mampu mengunjunginya.” 

Riwayat al-Bukhari dan Muslim (122)

Oleh itu, bersepakat bahawa Ibadah haji merupakan satu kefardhuan. Tiada seorang di kalangan mereka berpendapat sebaliknya. Oleh itu, mereka menghukumkan kafir kepada yang mengingkari sesuatu yang telah ditetapkan oleh al-Quran, al-Sunnah dan Ijma’ (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji, 2/115)

Kemampuan Menunaikan Ibadah Haji

Kewajipan sesorang itu untuk menunaikan ibadah haji sekiranya cukup syarat wajib haji. Di antaranya adalah aman di dalam perjalanan semasa menunaikan haji. Tidak diwajibkan untuk menunaikan umrah dan haji sekiranya terdapat ancaman terhadap dirinya atau hartanya disebabkan kemudharatan. Firman Allah SWT:

وَأَنفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ ۛوَأَحْسِنُوا ۛ إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

Maksudnya: Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) ugama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya.

(Surah al-Baqarah, 195)

Selain itu al-Istita’ah (kemampuan) juga memainkan peranan penting dalam menentukan kewajipan ke atas seseorang itu. Firman Allah SWT:

وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

Maksudnya: Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya

(Surah Ali-Imran, 97)

Yang disebut dengan berkemampuan apabila seseorang itu memiliki harta yang mencukupi untuk mengerjakan haji dan umrah. Harta ini termasuk tambang pengangkutan, perbelanjaan pergi dan balik, bayaran visa pasport perjalanan dan upah pemandu haji dan umrah sebagai mana yang dikehendaki pemerintah. Dan kesemua harta itu mestilah lebihan daripada jumlah hutang dan perbelanjaan ahli keluarganya selama mana ketiadaannya. (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji, 2/123)

Perjanjian

Di antara sifat orang yang beriman adalah menepati perjanjian yang ditetapkannya. Sifat ini dijelaskan oleh al-Quran dan al-Sunnah. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.”

(Surah al-Maidah: 1)

Dr Wahbah al-Zuhaili dalam mentafsirkan ayat ini menyatakan: “Janji adalah satu sifat yang terpuji. Menyalahi janji adalah satu sifat khianat dan nifaq. Meleraikan perjanjian yang telah dibuat merupakan sikap yang boleh menyebabkan hilangnya kepercayaan. Maka, secara syarak, wajib untuk menepati janji. Sesiapa yang menyalahi dan tidak menepati janji yang telah dilakukan, sebenarnya dia telah melakukan maksiat dan dosa.” (Lihatal-Tafsir al-Munir, 15/73)

Selain itu Syeikh al-Maraghi menyatakan: memelihara janji menurut cara yang diizinkan oleh syariat mahupun undang-undang yang diredai oleh Allah SWT. (Lihat: Tafsir al-Maraghi, 8/3945-3946).

Kesimpulan

Berdasarkan kepada persoalan dan penelitian dalil yang diberikan, kami berpandangan tidak boleh mengerjakan ibadah haji seperti mana yang termaktub di dalam kontraknya. Ini kerana, tidak menjadi kewajipan ke atasnya mengerjakan ibadah haji ketika itu kerana termasuk dalam kategori tidak mampu (istit’ah). Ini bagi mengelak terjadinya sesuatu yang memudharatkan seperti dikenakan tindakan undang-undang dan lain-lain. Seperti mana Firman Allah SWT:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya: Janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan

(Surah al-Baqarah, 195)

Namun begitu, sekiranya telah melakukan ibadah haji, dengan memenuhi syarat wajib dan rukunnya maka sah serta tertunai kewajipan hajinya. Walaubagaimanapun kami menasihati agar saudara tetap mematuhi terma perjanjian yang telah ditandatangani. Perbuatannnya melanggar kontrak dan amanah yang ditandatanganinya adalah bercanggah dengan syariat dan etika seorang muslim. Maka haram hukumnya serta berdosa. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَخُونُوا اللَّـهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُوا أَمَانَاتِكُمْ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).

(Surah Al-Anfal: 27)

Semoga dengan kesabaran dan sikap amanah itu akan diberikan Allah SWT peluang dan rezeki untuk melakukan ibadah haji pada masa akan datang.

Wallahualam.