Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM HAJI DAN KORBAN SIRI KE-27: HUKUM MAKAN DAGING KORBAN BAGI NAZAR YANG TIDAK TERCAPAI HAJATNYA

IRSYAD FATWA KORBAN 27

SOALAN

Assalamualaikum Tuan Mufti. Pada tahun ini saya bernazar untuk melakukan korban jika saya mendapat pekerjaan lain. Namun, sehingga hampir tiba Hari Raya Korban, saya masih tidak mendapat apa-apa khabar berita berkenaan keputusan temuduga yang saya hadiri. Pun begitu, saya tetap mengambil bahagian dalam korban tersebut dan melaksanakannya.

Soalan saya, bolehkah saya memakan daging korban yang telah saya laksanakan tersebut atas niat sebagai nazar, walaupun masih tiada khabar berita tentang keputusannya?

Mohon pencerahan Tuan Mufti. Terima kasih.

JAWAPAN

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Para ulama’ telah menetapkan bahawa korban yang dilaksanakan kerana menunaikan nazar yang telah tercapai, tidak boleh dimakan oleh orang yang melakukan korban tersebut. Hal ini kerana korban yang dilaksanakan tersebut wajib untuk disedekahkan kesemuanya kepada golongan fakir dan miskin. Ini bersandarkan kepada satu hadith yang diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah Ranha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلَا يَعْصِهِ

Maksudnya: Barangsiapa yang bernazar untuk melakukan ketaatan kepada Allah SWT, maka hendaklah dia melakukan ketaatan tersebut. Manakala, barangsiapa yang bernazar untuk melakukan kemaksiatan kepada Allah SWT, maka janganlah dia melakukan kemaksiatan tersebut.

Hadith riwayat al-Bukhari: (6696)

Jika sekiranya seseorang itu telah memakan daripadanya, hendaklah dia mengeluarkan sejumlah wang mengikut kadar yang telah dimakannya tersebut. Selain itu, tidak perlu untuk dia menyembelih lagi haiwan yang lain sebagai ganti kepada bahagian yang telah dimakan tersebut. (Rujuk al-Mu’tamad fi Mazhab al-Syafie, 2:485)

Hukum menunaikan nazar ketaatan bagi hajat yang telah tercapai seperti nikmat yang diperolehi atau bala yang berjaya dielakkan adalah wajib berdasarkan kepada firman Allah SWT:

وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ

Maksudnya: Dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazar mereka.

(Surah al-Hajj: 29)

Allah SWT juga memuji terhadap golongan yang menyempurnakan nazar yang dilakukan oleh mereka dan sikap mereka yang takutkan kepada azab-Nya dengan berfirman:

يُوفُونَ بِالنَّذْرِ وَيَخَافُونَ يَوْمًا كَانَ شَرُّهُ مُسْتَطِيرًا

Maksudnya: (Mereka dikurniakan kesenangan itu kerana) mereka menyempurnakan nazarnya (apatah lagi yang diwajibkan Tuhan kepadanya), serta mereka takutkan hari (akhirat) yang azab seksanya merebak di sana sini.

(Surah al-Insan: 7)

Namun begitu, sesungguhnya kewajipan menunaikan nazar itu bergantung kepada berlakunya dan tercapainya perkara yang dinazarkan tersebut. Dalam hal ini, Ibn al-Qudamah menyebut di dalam kitabnya al-Mughni:

التِزَامُ طَاعَةٍ فِي مُقَابِلِ نِعْمَةٍ اسْتَجْلَبَهَا أَوْ نَقْمَةٍ اسْتَدْفَعَهَا كَقَوْلِهِ : إِن شَفَانِي اللهُ فَللهِ عَلَيَّ صَوْمُ شَهْرٍ فَتَكُونُ الطَاعَةُ المُلْتَلْزِمَةُ ممَّا لَهُ أَصْلٌ فِي الوُجُوبِ بِالشَرْعِ

Maksudnya: Menjadi wajib satu ketaatan bagi nikmat yang tertentu yang diperolehinya atau satu bala tertentu yang dapat dielakkannya dengan berkata -sebagai contoh, “Jika sekiranya Allah SWT menyembuhkan aku daripada penyakit ini, maka bagi Allah SWT keatas aku berpuasa selama sebulan”. Maka ia menjadi satu ketaatan yang wajib ditunaikan selagimana mempunyai asal dalam syarak. (Rujuk al-Mughni Li Ibn al-Qudamah, 13:622)

Justeru, apabila sesuatu nazar tercapai, maka wajib untuk seseorang itu melaksanakan apa yang dinazarkannya. Walaubagaimanapun, jika nazar itu tidak tercapai, maka tiada kewajipan ke atas dia untuk melaksanakan apa yang dinazarkan tersebut.

Berdasarkan soalan yang ditanyakan di atas, saudara yang bertanya masih belum mendapat dan mencapai apa yang dinazarkannya iaitu memperoleh pekerjaan yang baru. Oleh itu, tiada kewajipan keatasnya untuk dia menunaikan ketaatan yang dinazarkannya tersebut iaitu melaksanakan korban.

Oleh itu, jika sekiranya dia melakukan korban, maka korban tersebut menjadi korban yang sunat kerana tiada kewajipan keatasnya untuk melaksanakan korban tersebut. Korban yang dilakukan oleh saudara yang bertanya tersebut menjadi korban yang sunat dan harus untuk dia memakan sebahagian daripada daging korban yang dilakukannya tersebut.

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan dan perbahasan di atas, kami menyatakan bahawa hukum makan daging korban bagi nazar yang tidak tercapai hajatnya adalah harus dan dibolehkan. Ini kerana kewajipan sesuatu nazar tersebut bergantung kepada tercapainya sesuatu yang dinazarkan. Jika sekiranya nazar tersebut tidak tercapai, maka tiada kewajipan untuk menunaikan nazarnya tersebut.

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang betul dalam memahami Islam dan memberikan kita hidayah untuk terus mengamalkan syariat-Nya dengan sebaiknya. Amin.

WaAllahu a’lam.