Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM HAJI DAN KORBAN SIRI KE-33 : MEMAKAI DEODORAN KERANA TIDAK TAHU PERLU MENJAGA PANTANG LARANG SELEPAS NIAT BERSYARAT

IF HAJI 33

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t

Saya ada satu pertanyaan. Semasa saya menunaikan ibadah umrah dahulu, saya telah kedatangan haid di KLIA semasa ingin berlepas. Oleh itu, saya telah niat bersyarat semasa kapal terbang hampir sampai di Miqat Qarnul Manazil. Akan tetapi, saya tidak menjaga pantang larang ihram pada awalnya kerana saya tidak tahu bahawa perlu juga menjaga pantang larang ihram walaupun sudah berniat syarat. Contohnya, saya menggunakan deodoran supaya badan tidak berbau. Saya juga telah mengenakan bedak dan gincu nipis supaya wajah tidak nampak kusam. 

Soalan saya, apakah yang patut saya lakukan, adakah saya dikenakan dam kerana melanggar pantang larang dalam ihram, sekalipun saya tidak tahu awalnya?

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Mukadimah

Seseorang yang telah berada di dalam ihram, hendaklah menjaga pantang larang yang telah ditetapkan oleh syarak. sekiranya larangan-larangan itu dilanggar, maka individu tersebut akan dikenakan dam mengikut jenis larangan yang telah dilakukan olehnya. Terdapat sedikit perbezaan antara perkara-perkara yang dilarang terhadap lelaki yang berihram dan perempuan yang berihram.

Larangan-larangan ihram

Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff di dalam kitabnya menyatakan : “Di antara larangan-larangan ihram adalah menutup kepala, memakai pakaian berjahit bagi lelaki, menutup muka dan memakai sarung tangan bagi perempuan, berwangi-wangian, bersetubuh, memakai minyak pada rambut dan janggut, memburu dan mencabut atau membinasakan tumbuhan di tanah Haram”. (Lihat al-Takrirat al-Sadidah, hlm. 502) Hal ini adalah berdasarkan kepada sabda Nabi SAW daripada Ibnu Umar R.Anhuma yang mana seorang lelaki telah datang bertemu Baginda SAW dan bertanyakan tentang pakaian apa yang perlu dipakai oleh orang yang sedang berihram dan jawab Baginda SAW :

لاَ يَلْبَسُ الْقُمُصَ وَلاَ الْعَمَائِمَ وَلاَ السَّرَاوِيلاَتِ وَلاَ الْبَرَانِسَ وَلاَ الْخِفَافَ، إِلاَّ أَحَدٌ لاَ يَجِدُ نَعْلَيْنِ فَلْيَلْبَسْ خُفَّيْنِ، وَلْيَقْطَعْهُمَا أَسْفَلَ مِنَ الْكَعْبَيْنِ، وَلاَ تَلْبَسُوا مِنَ الثِّيَابِ شَيْئًا مَسَّهُ الزَّعْفَرَانُ أَوْ وَرْسٌ

Maksudnya : “Jangan dipakai baju, serban, seluar, jubah yang ada penutup kepala, khuf (stoking kulit) kecuali jika seseorang tidak mendapati selipar maka pakailah khuf yang telah dipotong apa yang menutup bahagian buku lali dan janganlah memakai pakaian yang telah terkena za’faran atau wars (sejenis minyak wangi).” Riwayat al-Bukhari (1542)

Oleh itu, kita ketahui bahawa memakai wangi-wangian ketika sedang dalam ihram adalah termasuk dalam larangan tersebut, sama ada bagi lelaki atau wanita.

Berwangi-wangian (التطيب)

Seperti yang telah kita nyatakan di atas, berwangi-wangian termasuk di dalam larangan ketika berihram. Syeikh Jalaluddin al-Mahalli menyatakan bahawa termasuk di dalam larangan ihram mengenakan wangi-wangian pada pakaian dan badan seperti dengan minyak wangi atau kapur barus atau atau wars (الورس) atau seumpamanya. Begitu juga, Syeikh Ahmad al-Barlisi ‘Umairah menukilkan daripada Imam al-Rafi’ie menyatakan yang dimaksudkan dengan wangi-wangian adalah penggunaannya bertujuan untuk wangian semata-mata. (Lihat Hasyiata Qalyubi wa ‘Umairah, 2/168)

Oleh itu, penggunakan deodoran semasa dalam ihram adalah dilarang kerana ia termasuk di dalam perkara berwangi-wangian dan bukannya seperti sabun yang bertujuan untuk menyucikan badan.

Sesiapa yang melanggar pantang larang ini semasa sedang berihram dengan memakai wangi-wangian, wajib ke atasnya membayar dam. Bagi kesalahan ini, dia diberi pilihan antara :

  • Menyembelih seekor kambing atau,
  • Memberi makanan 3 gantang kepada 6 orang miskin dengan tiap-tiap seorang ½ gantang atau,
  • Berpuasa 3 hari.

(Lihat Matla’ al-Badrain, disusun oleh PMWP, 1/325 dan al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 518-519)

Bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai perkara ini, boleh merujuk kepada artikel kami di dalam :

  • Irsyad al-Fatwa Haji dan Korban Siri ke-25 : Adakah Dibolehkan Penggunaan Kain Ihram Yang Dibasuh Menggunakan Pelembut Kain.[1]

Melanggar pantang larang kerana terlupa

Mengenai hal ini, Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff menyebutkan terdapat beberapa larangan yang mana sekiranya dilanggar ketika dalam keadaan terlupa atau jahil (tidak tahu), pelakunya dimaafkan dan tidak perlu membayar fidyah (dam). Larangan-larangan tersebut ialah memakai wangi-wangian, berjima’ (bersetubuh), memakai pakaian berjahit (bagi lelaki), menutup muka dan kepala serta memakai minyak (pada rambut atau janggut). (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 502) 

Ini bermakna, sesiapa yang melakukan larangan-larangan di atas, dalam keadaan dia tidak tahu (jahil) atau terlupa, dia dimaafkan serta tidak perlu membayar fidyah (dam).

Begitu juga, Syeikh Daud al-Fatani menyebutkan jika adalah ia berbentuk semata-mata mengambil faedah bersedap-sedapan seperti memakai wangi-wangian, pakaian (berjahit) atau minyak, wajib ke atasnya dam dengan syarat sengaja dan mengetahui haramnya. (Lihat Matla’ al-Badrain, disusun oleh PMWP, 1/308)

Hal ini adalah sebagaimana riwayat Ibn Abbas R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda :

إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عليه

Maksudnya : “Sesungguhnya Allah SWT mengampunkan (kesalahan yang dilakukan) umatku kerana tersilap, terlupa dan dipaksa.” Riwayat Ibn Hibban (7219).

Menurut Syeikh Syuaib al-Arnaut, hadis di atas sanadnya sahih mengikut syarat Imam al-Bukhari. (Lihat Sahih Ibn Hibban, Cet. Muassasah al-Risalah, 16/202)

Oleh itu, jika seseorang yang sedang berihram tidak sengaja menggunakan deodoran atau seumpamanya kerana terlupa atau tidak tahu (jahil), maka dimaafkan serta tidak dikenakan dam. Akan tetapi, dia hendaklah segera menanggalkan atau menghilangkannya saat dia sedar atau tahu akan perkara tersebut.

Memakai kosmetik semasa dalam ihram

Adapun alat-alat kosmetik seperti bedak, gincu, losyen dan lain-lain. Hukum asal bagi wanita memakai alat-alat kosmetik adalah harus selagi mana tidak berlebihan dan menarik perhatian lelaki serta menimbulkan fitnah. Perkara ini kami telah bahaskan di dalam Irsyad al-Fatwa Siri ke-400 : Hukum Wanita Memakai Lipstik Dan Alat-alat Solek lain.

Kami tegaskan sekali lagi, bahawa perkara yang dilarang ketika dalam ihram ialah berwangi-wangian dan bertujuan untuk kecantikan (الترفُّه). Oleh itu, segala apa alat-alat kosmetik yang bertujuan untuk kecantikan serta mewangikan pakaian atau badan adalah termasuk di dalam larangan tersebut. Pengharaman tersebut berdasarkan ijma’ ulama’ kerana ia jelas merupakan unsur kemewahan (kecantikan) yang bertentangan dengan nikmat haji. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/134)

Perkara ini sebagaimana sabda Nabi SAW :

الحَاجُّ أَشْعَثُ أَغْبَرُ

Maksudnya :Orang yang mengerjakan haji itu kusut dan berdebu.

Riwayat al-Baihaqi (1541)

Manakala apa-apa yang bukan bertujuan demikian, diharuskan seperti penggunaan lipstik untuk melembapkan bibir, atau losyen yang tidak wangi bagi melembapkan kulit atau lain-lain yang seumpamanya.

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan kepada beberapa perkara :

  • Memakai wangi-wangian atau deodoran ketika dalam ihram adalah termasuk di dalam pantang larang berihram. Dan wajib ke atas mereka yang melanggarnya untuk membayar dam dengan syarat sengaja dan mengetahui haramnya.
  • Akan tetapi, jika dia memakainya dalam keadaan terlupa atau tidak tahu akan haramnya, maka dimaafkan serta tidak perlu membayar dam. Namun, dia hendaklah segera menanggalkannya atau menghilangkannya saat dia sedar atau tahu akan perkara tersebut.
  • Kami tegaskan sekali lagi, bahawa perkara yang dilarang ketika dalam ihram ialah berwangi-wangian dan bertujuan untuk kecantikan (الترفُّه). Oleh itu, segala apa alat-alat kosmetik yang bertujuan untuk kecantikan serta mewangikan pakaian atau badan adalah termasuk di dalam larangan tersebut. Pengharaman tersebut berdasarkan ijma’ ulama’ kerana ia jelas merupakan unsur kemewahan (kecantikan) yang bertentangan dengan nikmat haji. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/134)
  • Manakala apa-apa yang bukan bertujuan demikian, diharuskan seperti penggunaan lipstik untuk melembapkan bibir, atau losyen yang tidak wangi bagi melembapkan kulit atau lain-lain yang seumpamanya.

Akhir kalam, kami berdoa agar Allah SWT memberikan kefahaman yang baik kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

 

[1] Lihat ms/artikel/irsyad-hukum/edisi-haji-korban/3628-irsyad-al-fatwa-haji-dan-korban-siri-ke-25-adakah-dibolehkan-penggunaan-kain-ihram-yang-dibasuh-menggunakan-pelembut-kain.