Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM HAJI DAN KORBAN SIRI KE-39: ADAKAH TERANGKAT TUNTUTAN SUNAT KIFAYAH UNTUK KELUARGA SEKIRANYA ISTERI YANG MELAKUKAN KORBAN

 

ifHK39

Soalan :          

Assalamualaikum WBT. Setahu saya ibadah korban ialah sunat kifayah iaitu jika seorang dari ahli keluarga telah melakukan korban, terangkat hukum makruh pada seluruh ahli keluarga tersebut. Soalan saya, jika anaknya/isteri telah buat korban, adakah seluruh ahli keluarga terselamat dari hukum makruh?

Ringkasan Jawapan:

Sekiranya seseorang dari kaum kerabatnya yang tinggal serumah melakukan korban (samada isteri atau anaknya) maka gugur tuntutan korban bagi ahli keluarganya yang lain (termasuk suami/ayahnya). Walau bagaimanapun, sebaiknya hendaklah ibadah korban dilakukan oleh setiap individu dalam ahli keluarga yang berkemampuan kerana tuntuntannya ke atas setiap individu ialah sunat muakkad.

Huraian Jawapan:

Wa’alaikumussalam WBT. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah SWT. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Ibadah korban adalah ibadah yang sangat dituntut melakukannya bagi setiap individu yang berkemampuan. Firman Allah SWT:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

Maksudnya: “Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).”

Surah al-Kauthar (2)

Hukum Melakukan Korban

Hukum melakukannya ialah sunat muakkad dan sunat kifayah.

Sunat muakkad bererti sekiranya seseorang itu mempunyai lebihan harta dari keperluan dirinya dan keluarga yang ditanggungnya pada siang hari raya haji dan malamnya serta hari-hari tasyriq tetapi dia tidak melakukan korban maka hukumnya adalah makruh.

Sunat kifayah sekiranya isi rumah lebih dari seorang dan mereka adalah di bawah tanggungan wajib salah seorang dari mereka maka jika korban dilakukan oleh salah seorang dari mereka yang mukallaf maka gugur tuntutan dari yang lain dan gugur hukum makruhnya. Namun pahala korban hanya akan diperoleh oleh orang yang melakukan korban melainkan sekiranya dia meniatkan pahala untuk orang yang lain. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 6/123)

Imam Khatib al-Syarbini berkata:

“Hukumnya ialah sunat kifayah jika berbilang ahlul bait (isi rumah). Sekiranya telah dilaksanakan oleh seorang daripada mereka (isi rumah) sudah memadai untuk kesemua mereka. Adapun jika (isi rumah) tidak berbilang (seorang sahaja), maka hukumnya ialah sunat ‘ain (sunat ke atas individu tersebut)” (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 6/123)

Jutseru, bagi menjawab persoalan di atas, perlu kita fahami apakah yang dimaksudkan dengan isi rumah atau istilah ‘ahlul bait’ seperti yang telah disebutkan sebelum ini. Isi rumah yang bagaimana dapat menyebabkan gugurnya tuntutan sunat kifayah tersebut daripada isi rumah yang lain?

Siapakah Yang Dimaksudkan si Rumah?

Para ulama’ berbeza pandangan mengenai apakah yang dimaksudkan isi rumah berdasarkan hadis baginda Nabi SAW:

بِاسْمِ اللَّهِ اللَّهُمَّ تَقَبَّلْ مِنْ مُحَمَّدٍ وَآلِ مُحَمَّدٍ وَمِنْ أُمَّةِ مُحَمَّدٍ

Maksudnya: "Dengan Nama Allah, Ya Allah, terimalah (korban ini) bagi pihak Muhammad dan ahli bait (keluarga) Muhammad dan Umat Muhammad".

Riwayat Muslim (1967)

Menurut para ulama’ Syafieyyah, terdapat dua pandangan bagi menafsirkan maksud isi rumah:

Pandangan Pertama: Isi rumah ialah mereka yang berada di bawah tanggungan wajib seseorang. Ini ialah pandangan Imam al-Ramli.

Disebut di dalam Hasyiyah al-Syubramalsi:

Imam al-Ramli berkata: “Yang dimaksudkan dengan ahli bait ialah mereka yang diwajibkan nafkah ke atasnya. Dan diqiaskan dalam masalah ini bahawasanya syarat sahnya korban itu ialah apabila orang yang melakukan korban itu adalah mereka yang diwajibkan nafkah ke atasnya, hinggakan jika sebahagian ahli keluarga (yang selainnya) melakukan korban, maka tidak gugur tuntutan ke atas ahli keluarga yang lain” (Rujuk: Nihayah al-Muhtaj, 8/131).

Sebagai contoh, seorang lelaki wajib menanggung nafkah beberapa individu di bawah tanggungannya seperti isteri, anak yang belum sampai had mampu berdikari dan bekerja sendiri, ibu atau bapa yang berada di bawah tanggungan nafkahnya. Maka, sekiranya lelaki tersebut melakukan korban, gugur tuntutan sunat kifayah ke atas tanggungannya yang lain, iaitu tidak jatuh hukum makruh keatas mereka.

Berdasarkan pandangan ini, sekiranya isteri atau anaknya yang melakukan korban, tuntutan korban masih kekal berada di atasnya (lelaki tersebut) kerana mereka bukanlah orang yang diwajibkan ke atasnya nafkah.

Begitu juga jika seorang bapa melakukan korban, tuntutan melakukan korban masih kekal ke atas anaknya yang telah bekerja, serta mempunyai tanggungan sendiri sekalipun anaknya itu menetap sebumbung dengannya kerana anak tersebut bukan lagi di bawah tanggungjawab wajib bapanya.

Pandangan kedua: Isi rumah ialah mereka yang tinggal sebumbung, hidup sekali dan mempunyai hubungan persaudaraan. Ini ialah pandangan Imam Ibnu Hajar al-Haitami.

Disebut dalam Hasyiyah al-Syubramalsi sebagai sambungan kepada pandangan pertama:

Imam Ibnu Hajar bertentangan pandangannya dengan (Imam al-Ramli), dan pandangan ini lebih hampir kerana ia bersesuaian dengan maksud sunat kifayah iaitu gugurnya tuntutan (korban) dengan perbuatan orang lain secara zahirnya sekalipun (ahli bait itu) tidak diwajibkan nafkah ke atasnya (pelaku korban)” (Rujuk: Nihayah al-Muhtaj, 8/131)

Syeikh Sulaiman al-Jamal berkata:

Sekiranya berbilang isi rumah iaitu mereka yang nafkahnya diwajibkan ke atas seorang individu, sekalipun berbilang rumah (tinggal di rumah yang berlainan). Sekiranya telah dilakukan (korban) oleh seorang daripada mereka walaupun bukan daripada kalangan yang diwajibkan nafkah keatasnya, gugur tuntutan (sunat kifayah) bagi isi rumah yang lain. Walau bagaimanapun pahala korban itu hanya diperoleh oleh pelaku korban sahaja……Dan yang dimaksudkan dengan sunat kifayah ialah ianya tetap disunatkan ke atas setiap individu (yang berkemampuan), tetapi tuntutan melakukan korban gugur dengan perbuatan sebahagian yang lain. Namun pahala hanya diperoleh oleh pelaku korban sahaja” (Rujuk: Hasyiyah al-Jamal, 5/251)

Berdasarkan pandangan kedua ini, sekiranya seseorang dari kaum kerabatnya yang tinggal serumah melakukan korban (samada isteri atau anaknya) maka gugur tuntutan korban bagi ahli keluarganya yang lain (termasuk suami/ayahnya).

Kesimpulan

Setelah meneliti perbahasan di atas, terdapat dua pandangan dalam Mazhab Syafie dalam mentafsirkan maksud isi rumah.

Pandangan pertama: Isi rumah ialah mereka yang berada di bawah tanggungan wajib seseorang. Oleh itu sekiranya orang yang diwajibkan nafkah ke atasnya (seperti suami/bapa) melakukan korban, maka gugur tuntutan ke atas ahli keluarga yang berada di bawah tanggungan wajibnya (seperti isteri dan anak-anak).

Pandangan kedua: Isi rumah ialah mereka yang tinggal sebumbung, hidup sekali dan mempunyai hubungan persaudaraan. Justeru, sekiranya mana-mana ahli keluarga yang melakukan korban, sekalipun tidak diwajibkan nafkah ke atasnya (contohnya isteri atau anak-anak), maka tetap gugur tuntutan ke atas ahli keluarga yang lain.

Oleh itu kami berpendapat sekiranya seseorang dari kaum kerabatnya yang tinggal serumah melakukan korban (sama ada isteri atau anaknya) maka gugur tuntutan korban bagi ahli keluarganya yang lain (termasuk suami/ayahnya).

Walau bagaimanapun, sebaiknya hendaklah dilakukan ibadah korban oleh setiap individu dalam ahli keluarga yang berkemampuan kerana tuntuntannya ke atas setiap individu ialah sunat muakkad. Adapun sekiranya seorang daripada ahli keluarga melakukan korban, sebaiknya hendaklah diniatkan pahala korban tersebut untuk seluruh ahli keluarganya yang lain bagi berkongsi ganjaran pahala ibadah tersebut.

Wallahu a'lam.