Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM HAJI DAN KORBAN SIRI KE - 56: HUKUM WANITA MEMAKAI PERHIASAN EMAS KETIKA MENUNAIKAN IBADAH HAJI DAN UMRAH

 

KEMAS min

 

SOALAN

Assalammualaikum, Saya ingin bertanya berkaitan hukum wanita memakai banyak barangan kemas ketika menunaikan ibadah haji dan umrah. Adakah wanita yang  memakai  cincin emas dan gelang emas secara berlebih-lebihan boleh menjejaskan ibadah haji dan umrah?  Mohon pencerahan SS Datuk Mufti.

Ringkasan Jawapan:

Wanita memakai perhiasan emas ketika menunaikan ibadah haji mahupun umrah tidak menjejaskan rukun ibadah dan tidak termasuk dalam perkara - perkara yang dilarang ketika  berihram.

Walau bagaimanapun, pemakaian barangan perhiasan emas secara berlebih -lebihan perlu dielakkan sebagai langkah berhati-hati bagi menutup pintu - pintu kerosakan (Sadd al-dzariah) seperti unsur riyak (menunjuk-nunjuk) dan unsur mendedahkan perhiasan (tabarruj). 

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Emas untuk  Perhiasan wanita

Pada asasnya, wanita dibolehkan  memakai perhiasan emas berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Musa RA bahawa Nabi SAW bersabda:

أُحِلَّ الذَّهَبُ وَالْحَرِيرُ لإِنَاثِ أُمَّتِي وَحُرِّمَ عَلَى ذُكُورِهَا

Maksudnya: "Telah dihalalkan emas dan sutera asli bagi perempuan dalam kalangan umatku dan diharamkan (keduanya) bagi lelaki. "

Riwayat al-Nasai’e (9387)

Penggunaan emas untuk tujuan perhiasan adalah harus bagi kaum wanita dan  haram bagi kaum lelaki [1]. Wanita dibenarkan memakai emas kerana keperluan wanita  berhias dan mencantikkan diri dihadapan suami [2] .

Berdasarkan persoalan yang diajukan, wanita memakai emas ketika menunaikan umrah mahupun ibadah haji tidak menjejaskan rukun-rukun ibadah dan kebasahannya. Bahkan memakai perhiasan bagi wanita tidak termasuk dalam perkara-perkara yang dilarang dalam ihram berdasarkan riwayat   daripada Abdullah bin Umar RA, Bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:   

نَهَى النِّسَاءَ فِي إِحْرَامِهِنَّ عَنِ القُفَّازَيْنِ وَالنِّقَابِ، وَمَا مَسَّ الْوَرْسُ وَالزَّعْفَرَانُ مِنَ الثِّيَابِ، وَلْتَلْبَسْ بَعْدَ ذَلِكَ مَا أَحَبَّتْ مِنْ أَلْوَانِ الثِّيَابِ مُعَصْفَرًا أَوْ خَزًّا أَوْ حُلِيًّا أَوْ سَرَاوِيلَ أَوْ قَمِيصًا أَوْ خُفًّا

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang kaum perempuan yang dalam berihram memakai dua sarung tangan, penutup muka (purdah), baju yang di celup wars (sejenis minyak wangi) dan  minyak za'faran. Ia boleh memakai selain daripada itu apa-apa pakaian yang disukai daripada pelbagai warna seperti pakaian dicelup ‘ushfur’ (pewarna kekuningan) sutera, perhiasan, seluar atau kemeja atau sepatu"

Riwayat Abu Daud 1827

Maksud perhiasan (حُلِيًّا) dalam hadis tersebut merujuk kepada gelang, emas, perak dan barang-barang lain yang menghiasi oleh kaum wanita.[3]

Oleh yang demikian, tiada larangan bagi kaum wanita memakai emas perhiasan ketika menunaikan ibadah haji dan umrah. Namun, isu yang perlu diperhalusi adalah pada sudut perbahasan unsur riyak dan mendedahkan perhiasan (tabarruj).

Larangan mendedahkan perhiasan (tabarruj )

Islam meraikan fitrah wanita yang ingin tampil cantik selagi tidak bertentangan dengan piawaian yang ditetapkan oleh syarak. Wanita dibenarkan berhias dengan syarat tidak mempamerkan perhiasan diri pada bahagian aurat yang wajib ditutupi  kepada lelaki ajnabi. Hal tersebut berdasarkan dalil - dalil berikut :

وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا

Maksudnya: "..dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya”…

Surah an-Nur 31

Ayat tersebut menerangkan kewajipan kaum wanita menyembunyikan perhiasannya daripada ajnabi melainkan apa-apa yang zahir. Pengecualian bagi perhiasan yang biasa kelihatan seperti cincin, celak dan inai. Sementara, perhiasan yang perlu disembunyikan seperti gelang tangan, gelang kaki, kerongsang, rantai  leher,  anting-anting  yang mana perhiasan tersebut terletak pada anggota badan seperti kaki, lengan atas, leher, kepala, dada, dan telinga . [4]

Sementara, Ibn Abbas memberi makna ayat “kecuali apa yang zahir” ialah muka, dua tapak tangan. Ini merupakan pendapat yang masyhur dalam kalangan majoriti ulama[5].                         

Firman-Nya lagi:

وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْأُولَى

Maksudnya : “Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu.”

Surah al-Ahzab  (33)

Imam al-Syaukani mentafsirkan tabarruj  ialah apabila seorang wanita menampakkan sebahagian daripada perhiasan dan kecantikannya yang  wajib untuk ditutupinya, yang mana perkara tersebut dapat menarik syahwat kaum lelaki . [6]

Justeru itu, perhiasan bagi wanita dibenarkan pada kadar yang tidak melampaui batas agar tidak menimbulkan fitnah mahupun menarik perhatian ajnabi.

Menjauhi Unsur Riyak

Perlaksaan ibadah haji dan umrah perlu disertai dengan hati yang ikhlas semata-mata kerana Allah SWT. Ini berdasarkan firman-Nya: 

وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّهِ

Maksudnya : “Dan sempurnakanlah Ibadat Haji dan Umrah kerana Allah..”

Surah al-Baqarah (196)

Niat seseorang penting bagi menilai setiap perbuatannya serta tujuan amalan. Umar bin al-Khattab RA meriwayatkan bahawa aku mendengar Nabi SAW bersabda: 

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَاتِ وَإِنَّمَا لاِمْرِئٍ مَا نَوَى

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung pada niat. Setiap orang akan dinilai berdasarkan niatnya. 

Riwayat Muslim (1907) 

Oleh itu umat Islam perlu sentiasa berhati-hati agar setiap perkara yang dilakukan terhindar daripada sebarang unsur riyak dalam diri dengan cara menunjuk-nunjuk. Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ أَخْوَفَ مَا أَخَافُ عَلَيْكُمْ الشِّرْكُ الْأَصْغَرُ قَالُوا وَمَا الشِّرْكُ الْأَصْغَرُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ الرِّيَاءُ يَقُولُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ لَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِذَا جُزِيَ النَّاسُ بِأَعْمَالِهِمْ اذْهَبُوا إِلَى الَّذِينَ كُنْتُمْ تُرَاءُونَ فِي الدُّنْيَا فَانْظُرُوا هَلْ تَجِدُونَ عِنْدَهُمْ جَزَاءً

Maksudnya :” Perkara yang paling aku takut terjadi pada kalian adalah Syirik yang kecil. Para Sahabat bertanya:  Apakah yang dimaksudkan dengan syirik kecil wahai Rasulullah? Nabi saw bersabda : Itulah riyak! Allah SWT akan befirman pada hari kiamat kelak: pergilah kepada orang yang telah kamu tunjukkan amalan kamu kepadanya di dunia dan lihatlah adakah ganjaran itu ada di sisi mereka? (dengan sebab amalan kamu).”

Riwayat Imam Ahmad 23630 dalam Musnad.

Perbuatan yang diniatkan   hanya untuk tujuan duniawi mahupun menunjuk-nunjuk tidak mendatang sebarang faedah dan dikhuatiri terjebak dalam syirik kecil. Niat dapat membezakan antara amalan ibadah dan adat selain menentukan sesuatu amalan itu diterima atau ditolak oleh Allah SWT.

Penutup

Setelah meneliti hujah yang dikemukakan, tiada sebarang larangan memakai perhiasan emas ketika melaksanakan ibadah haji dan umrah. Namun, kami berpandangan pemakaian emas secara berlebihan perlu dielakkan bagi tujuan menutup pintu-pintu kerosakan (Sadd al-dzari’ah) seperti unsur riyak (menunjuk-nunjuk) dan unsur  mendedahkan perhiasan (tabarruj). Hal tersebut sebagai langkah berhati-hati daripada perkara yang boleh merosakkan niat dalam perlaksanaan ibadah yang hanya ikhlas semata-mata kerana Allah SWT. Pada hakikatnya, matlamat utama ibadah haji dan umrah untuk meningkatkan ketaatan di sisi Allah. Bahkan, pakaian ihram itu sendiri serba putih dan tidak berjahit  (bagi lelaki) mengambarkan bertapa kita kembali kepada fitrah manusia dan meninggalkan kemewahan  dunia yang kita kejar. Selain itu, keseragaman pakaian ihram tersebut melambangkan persamaan semua jemaah adalah sama di sisi Allah tanpa membezakan kaya, mahupun miskin, pemimpin mahupun rakyat.  Nilai seseorang hamba di sisi Allah disebabkan ketakwaan bukannya martabat atau kedudukan mereka miliki.  Akhir kalam, cara menzahirkan rasa syukur ke atas rezeki-Nya dengan melaksanakan ibadah dengan penuh ketaatan dan bukannya mempamerkan kemewahan semata-mata. Sesungguhnya Allah Maha pemberi rezeki dan mengetahui segala yang apa-apa  yang ada dilangit dan dibumi.

 

[1]سبل السلام (1/ 460)

Al-San’ani, Muhammad bin Ismail. (t.t)   Subul al-Salam. Dar al-Hadis jld. 1 p: 460

[2] شرح المحرر في الحديث - عبد الكريم الخضير (49/ 20، بترقيم الشاملة آليا

 Abdul Karim  al Khadir, (t.t)   Syarah al-Muharrar fi al-Hadis, jld. 20 p: 49

[3] نيل الأوطار (5/ 7)

Al-Syaukani al-Yamani, Muhammad bin Ali. (1993), Nail al-Authar, Dar al-Hadith: Mesir. jld. 5 p: 7

[4] تفسير المراغي (18/ 99)

Al-Maraghi, Ahmad Mustafa, (1946). Tafsir Al-Maraghi, Mesir. jld. 18 p: 99

[5] تفسير ابن كثير ت سلامة (6/ 45)

Ibn Kathir, Ismail bin Umar (199), Tafsir al-Quran al-Azim, Dar al-Tayyibah ;  jld.  6  p:45

[6] فتح القدير للشوكاني (4/ 320)

Al-Syaukani, Muhammad bin Ali. 1414 H, Fath al-Qadir  Dar Ibn Kathir  : Bayrut.  jld. 4 p:320c