Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KHAS HAJI DAN KORBAN SIRI KE-81: ADAKAH SAH MELONTAR JAMRAH TANPA MENGGUNAKAN BATU

ADAKAH_SAH_MELONTAR_JAMRAH_TANPA_MENGGUNAKAN_BATU.jpg

 

Soalan

Assalamualaikum, saya ada satu persoalan. Saya ada melihat satu video dalam media sosial berkenaan terdapat jemaah yang melontar jamrah menggunakan seliparnya. Adakah sah lontaran tersebut. Mohon penjelasan.

Ringkasan Jawapan

Melontar jamrah dengan menggunakan selain daripada batu seperti kayu, selipar, botol dan seumpamanya adalah tidak sah dan perlu diulang semula lontaran tersebut. Hal ini kerana syarat melontar jamrah wajib menggunakan batu.

Huraian Jawapan

Ibadah haji merupakan rukun Islam kelima yang wajib ditunaikan bagi setiap umat Islam yang berkemampuan sebagaimana firman Allah SWT:

وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”

(Surah Ali-Imran:97)

Salah satu perkara yang wajib dilakukan ketika menunaikan ibadah haji adalah melontar ketiga-tiga jamrah iaitu Jamratul Ula, Jamratul Wusta dan Jamratul Aqabah menggunakan tujuh biji batu kecil mengikut turutan jamrah[1] dan jika meninggalkannya akan dikenakan dam.[2]

Syarat melontar jamrah mestilah menggunakan batu ukurannya sekadar kacang pea atau kecil sedikit daripada hujung jari dan seumpamanya. Nabi SAW melontar jamrah menggunakan batu berukuran saiz batu kerikil sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah katanya:

رَأَيْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم رَمَى الْجَمْرَةَ بِمِثْلِ حَصَى الْخَذْفِ

Maksudnya: “Aku melihat Nabi SAW melontar batu (di Jamrah al-‘Aqabah) seperti batu kerikil

(Riwayat Muslim)

Imam al-Nawawi menukilkan pandangan ulama mazhab al-Syafi‘i yang menyatakan bahawa makruh melontar jamrah dengan menggunakan batu bersaiz besar[3]. Syarat sah melontar mestilah menggunakan batu yang merangkumi semua jenis batu seperti batu marmar dan batu granit.[4] Begitu juga menurut Syeikh Ibrahim al-Baijuri, sah melontar menggunakan batu yakut dan akik, demikian juga sah dengan menggunakan emas, perak dan besi yang belum ditempa namun perbuatan tersebut adalah haram kerana boleh menyebabkan pembaziran dan kerugian harta benda.[5]

Manakala melontar menggunakan air, lumpur, tanah liat, seramik dan seumpamanya adalah tidak sah begitu juga dengan emas, perak dan bijih timah yang telah ditempa kerana tidak termasuk dalam kategori batu.[6]

Kesimpulan

Melontar jamrah dengan menggunakan selain daripada batu seperti kayu, selipar, botol dan seumpamanya adalah tidak sah dan perlu diulang semula lontaran tersebut.

Hal ini kerana syarat melontar jamrah wajib menggunakan batu.

Wallahu’alam

 

Rujukan: 

[1] Dr. Mustafa al-Khin, Dr. Mustafa al-Bugha, Ali al-Syarbaji, al-Fiqh al-Manhaji. (Damsyik: Dar al-Qalam, 1413) Jld. 2 Hlm. 187

وبعد زوال الشمس عن وسط السماء أي عند دخول وقت الظهر، يدخل وقت الرمي، فيرمي الجمرة الأولى بسبع حصيات، ثم الجمرة الوسطى، ثم جمرة العقبة ويجب ترتيب الجمرات في الرمي.

[2] Wizarah al-Auqaf wa Syuun al-Islamiy, al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah. (Kuwait: Dar al-Salasul, 1427) Jld. 15 Hlm. 277

رَمْيُ الْجِمَارِ وَاجِبٌ فِي الْحَجِّ بِاتِّفَاقِ الْفُقَهَاءِ، وَيَجِبُ فِي تَرْكِهِ دَمٌ

[3] Abu Zakaria Mahyuddin bin Syarf al-Nawawi, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. (T.tp.: Dar al-Fikr, t.t.) Jld. 8 Hlm. 171

قال أصحابنا فإن رمى بأصغر من ذلك أو أكبر كره كراهة تنزيه وأجزأه باتفاق الأصحاب لوجود الرمي بحجر

[4] Ibid. Jld. 8 Hlm. 170

شرط المرمي به أن يكون حجرا قال الشافعي والأصحاب فيجوز الرمي بالمرمر والبرام والكذان والرخام والصوان نص عليه في الأم وسائر أنواع الحجر ويجزئ حجرالنورة قبل أن يطبخ

[5] Ibrahim al-Baijuri, Hasyiah al-Syeikh Ibrahim al-Baijuri ala Fath al-Qarib al-Mujib. (Indonesia: Dar al-Kutub Islamiyyah, 1428) Jld. 1 Hlm. 612

فيكفي بجميع أنواعه ومنها الياقوت والعقيق والبلور وحجارة الذهب والفضة والحديد قبل تخليصها، فيجزئ الرمي بذلك وإن حرم إذا لزم عليه كسره وإضاعة ماليته.

[6] Abu Zakaria Mahyuddin bin Syarf al-Nawawi, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. Jld. 8 Hlm. 171

ما ليس بحجر كالماء والنورة والزرنيخ والإثمد والمدر والجص والآجر والخزف والجواهر المنطبعة كالذهب والفضة والرصاص والنحاس والحديد ونحوها فلا يجزئ الرمى بشئ من هذا بلا خلاف