Soalan:
Apakah hukum pemakaian gelang oleh jemaah haji dari kalangan orang lelaki? Bukankah ini menyerupai perhiasan wanita? Mohon penjelasan. Terima kasih SS Mufti.
Ringkasan Jawapan:
Penggunaan gelang tangan yang digunakan oleh jemaah haji adalah tidak bertujuan sebagai perhiasan, sebaliknya ia dipakai sebagai alat pengenalan diri. Justeru, hukum pemakaian gelang tangan pengenalan diri yang dipakai oleh jemaah haji lelaki adalah harus dan tidak termasuk di dalam larangan pemakaian gelang tangan bagi lelaki.
Huraian Jawapan:
Gelang tangan secara asasnya adalah merupakan perhiasan bagi wanita. Justeru itu ‘Imrān bin al-Ḥuṣayn RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah melihat seorang lelaki yang di tangannya terdapat gelang yang diperbuat daripada tembaga. Lalu Baginda SAW bersabda:
"مَا هَذِهِ الْحَلْقَةُ؟" قَالَ: هَذِهِ مِنَ الْوَاهِنَةِ. قَالَ: "انْزِعْهَا فَإِنَّهَا لَا تَزِيدُكَ إِلَّا وَهْنًا"
Terjemahan: “Rasulullah bersabda: “Apakah gelang ini?”, Lelaki itu menjawab: “Ini (aku pakai) kerana al-Wahinah (penyakit lemah sendi).” Baginda bersabda: “Tanggalkan ia! Sesungguhnya ia tidak menambahkan kepadamu melainkan kelemahan”.
[Riwayat Ibn Mājah]
Asas kepada pengharaman pemakaian gelang bagi orang lelaki adalah kerana terdapat unsur penyerupaan dengan perhiasan wanita. Hal ini adalah berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas RA bahawa Rasulullah SAW melaknat orang lelaki yang menyerupai wanita, dan begitu juga Baginda SAW melaknat orang perempuan yang menyerupai lelaki.[1] Larangan ini menunjukkan bahawa hukum perbuatan seorang lelaki yang menyerupai perempuan, atau sebaliknya adalah haram.[2]
Walau bagaimanapun, dalam konteks pemakaian gelang tangan oleh jemaah haji, pemakaian gelang tersebut adalah bertujuan sebagai satu kaedah pengenalan diri memandangkan kaedah-kaedah lain seperti penggunaan kad pengenalan diri dan seumpamanya adalah tidak praktikal untuk digunakan kerana boleh menyebabkan keciciran kad dan sebagainya. Justeru, penggunaan gelang tangan merupakan alternatif yang terbaik sebagai pengenalan diri bagi jemaah haji terutamanya apabila berada di dalam keadaan sesak bersama dengan jemaah-jemaah haji yang lain seperti ketika tawaf dan sebagainya.
Selain itu, gelang tangan jemaah haji yang digunakan bukanlah dalam bentuk yang menyerupai perhiasan wanita dan material yang digunakan pula bukanlah daripada emas yang diharamkan ke atas orang lelaki.
Oleh kerana ‘illah pengharaman gelang tangan bagi golongan lelaki tidak terdapat dalam permasalahan pemakaian gelang tangan haji oleh jemaah lelaki, maka hukum pengharaman ini tidak terpakai kepada gelang tangan yang digunakan oleh jemaah haji.
Kesimpulannya, penggunaan gelang tangan yang digunakan oleh jemaah haji adalah bukan bertujuan sebagai perhiasan, sebaliknya ia dipakai sebagai pengenalan diri. Justeru, hukum pemakaian gelang tangan pengenalan diri yang dipakai oleh jemaah haji lelaki adalah harus dan tidak termasuk di dalam larangan pemakaian gelang tangan bagi lelaki. Hal ini juga selari dengan objektif syariah dalam memelihara jiwa manusia kerana gelang tangan sebagai alat pengenalan diri adalah merupakan satu keperluan bagi jemaah haji untuk mengelakkan keadaan-keadaan yang tidak diingini seperti kehilangan jemaah haji dan seumpamanya.
Untuk bacaan lanjut bagi tajuk-tajuk yang berkaitan, sila rujuk artikel-artikel berikut:
- Hukum Memakai Gelang Tangan Bagi Lelaki: https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/4498-al-kafi-1722-hukum-lelaki-memakai-gelang
- Hukum Wanita Memakai Perhiasan Ketika Ibadah Haji atau Umrah: https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-hukum/edisi-haji-korban/5114-irsyad-al-fatwa-haji-dan-korban-siri-ke-56-hukum-wanita-memakai-emas-ketika-menunaikan-ibadah-haji-dan-umrah
WaLlāhu A’lam
Rujukan:
[1] Abu ‘Abd Allah Muhammad bin Isma’il al-Bukhari (1993), Ṣaḥīḥ al-Bukhāriy, Kitab al-Libās, no. 5546, Jil. 5, Kaherah: Dar al-Fikr, h. 2207.
لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الْمُتَشَبِّهِينَ مِنَ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ، وَالْمُتَشَبِّهَاتِ مِنَ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ
[2] Abū Zakariyyā Muḥyi al-Dīn al-Nawawiy (1995), Rawḍah al-Ṭālibīn wa ‘Umdah al-Muftīn, Beirut: al-Maktab al-Islāmiy, 2:263.
قُلْتُ: الصَّوَابُ أَنَّ تَشَبُّهَ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ وَعَكْسَهُ حَرَامٌ؛ لِلْحَدِيثِ الصَّحِيحِ: لَعَنَ اللَّهُ الْمُتَشَبِّهِينَ بِالنِّسَاءِ مِنَ الرِّجَالِ، وَالْمُتَشَبِّهَاتِ مِنَ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ وَقَدْ صَرَّحَ الرَّافِعِيُّ بِتَحْرِيمِهِ بَعْدَ هَذَا بِأَسْطُرٍ. و