Pilihan Bahasa:

hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KHAS HAJI DAN KORBAN SIRI KE-109: MELANGGAR LARANGAN IHRAM KERANA TERLUPA: ADAKAH DIKENAKAN FIDYAH?

MELANGGAR_LARANGAN_IHRAM_KERANA_TERLUPA_-_ADAKAH_DIKENAKAN_FIDYAH.jpg

Soalan:

Assalammualaikum, Maklum mengetahui bahawa melanggar ihram dikenakan denda, Bagaimana pula sekiranya terlupa? Mohon pencerahan SS Mufti.

Ringkasan Jawapan:

Melanggar larangan ihram yang melibatkan perkara keseronokan (taraffuh) seperti memakai wangian, memakai pakaian berjahit dalam keadaan terlupa atau jahil, maka perbuatan tersebut tidak berdosa dan tidak dikenakan fidyah.

Sementara itu, melanggar larangan ihram yang melibatkan kerosakan (itlaf) seperti mencabut rambut, mengerat kuku, merosakkan alam sekitar atau membunuh binatang buruan disebabkan terlupa atau tidak sengaja, maka perbuatan tersebut tetap wajib dikenakan fidyah tetapi tidak berdosa. Sebagai contoh perbuatan menyisir rambut menyebabkan rambutnya gugur maka wajib baginya membayar fidyah.

Huraian Jawapan:

Kesempurnaan Ibadah haji terlaksana dengan melunaskan segala kewajipan, rukun, syarat dan memelihara pantang larang dalam ihram. Jemaah haji yang melanggar larangan ihram akan dikenakan denda atau dikenali dam /fidyah.

Antara larangan ihram yang dikenakan dam ialah mencukur rambut walaupun dalam keadaan terpaksa kerana sakit sebagaimana dinyatakan dalam firman-Nya:

وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّهِ ۚ فَإِنْ أُحْصِرْتُمْ فَمَا اسْتَيْسَرَ مِنَ الْهَدْيِ ۖ وَلَا تَحْلِقُوا رُءُوسَكُمْ حَتَّىٰ يَبْلُغَ الْهَدْيُ مَحِلَّهُ ۚ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ بِهِ أَذًى مِّن رَّأْسِهِ فَفِدْيَةٌ مِّن صِيَامٍ أَوْ صَدَقَةٍ أَوْ نُسُكٍ ۚ

Maksudnya: "Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah; maka sekiranya kamu dikepong (dan dihalang daripada menyempurnakannya ketika kamu sudah berihram, maka kamu bolehlah bertahallul serta) sembelihlah Dam yang mudah didapati; dan janganlah kamu mencukur kepala kamu (untuk bertahallul), sebelum binatang Dam itu sampai (dan disembelih) di tempatnya. Maka sesiapa di antara kamu sakit atau terdapat sesuatu yang menyakiti di kepalanya (lalu ia mencukur rambutnya), hendaklah ia membayar fidyah. Iaitu berpuasa, atau bersedekah, atau Dam (menyembelih). "

(Surah al-Baqarah: 196)

Al-Baghawi mentafsirkan ayat diatas berkaitan denda membayar fidyah dengan puasa selama 3 hari, atau sedekah kepada enam orang miskin atau melakukan ibadah nusuk iaitu penyembelihan binatang korban dengan mengutamakan yang paling tinggi nilainya iaitu seekor unta kemudian diikuti lembu dan yang paling rendah nilainya ialah seekor kambing.[1] Sementara tafsiran As-sa’di menyatakan bahawa membayar fidyah sembelihan korban yang lebih baik, kemudian bersedekah dan berpuasa. [2]

Imam Khatib al-Syirbini menyatakan larangan ayat mencukur rambut di atas termasuk mencabut atau mencukur bulu pada seluruh badan dan juga memotong kuku. Memadai mencukur atau mencabut 3 helai bulu pada satu masa dan satu tempat untuk dikenakan fidyah. Keumuman ayat diatas merangkumi larangan mencukur bulu sama ada sengaja atau lupa mahupun jahil bagi perkara yang melibatkan kerosakan (itlaf). Begitu juga dikenakan dam bagi jemaah yang melanggar larangan -larangan ihram yang lain.[3]

Fidyah melanggar larangan Ihram kerana terlupa

Fidyah dikenakan bagi pelanggaran ihram sama ada dalam keadaan sengaja mahupun lupa, tidak tahu dan terpaksa seperti mencukur rambut dan mengerat kuku. [4] Namun, hal tersebut hanya pada perkara yang melibatkan kerosakan (itlaf). Perkara tersebut dijelaskan dalam kitab Fath al-Mu’in:

الفدية إن كان إتلافا كحلق شعر وقلم ظفر وقتل صيد ولا تجب إن كان تمتعا كلبس وتطيب.

Maksudnya: “Fidyah dikenakan apabila pelanggaran melibatkan kerosakan seperti mencukur rambut, mengerat kuku atau membunuh binatang buruan. Namun, perlanggaran berunsur keseronokan seperti memakai pakaian berjahit atau memakai minyak wangi tidak dikenakan fidyah.[5]

Jenis dam takhyir dan taqdir dikenakan bagi jemaah yang melanggar larangan ihram seperti tercabut rambut atau bulu dari mana-mana anggota, mengerat kuku, memakai pakaian berjahit dan selainya. Justeru itu, pilihan bayaran fidyah/ dam yang ditetapkan seperti berikut: [6]

  1. Menyembelih seekor kambing ditanah Haram atau;
  2. Bersedekah 6 orang fakir miskin sebanyak 3 gantang bagi setiap seorang mendapat ½ gantang/2 cupak daripada makanan asasi.
  3. Berpuasa selama 3 hari

Kesimpulan

i. Jemaah haji yang melanggar larangan ihram yang melibatkan perkara itlaf (kerosakan) seperti memburu binatang, merosakkan alam sekitar, mengerat kuku dalam keadaan tidak sengaja, terlupa dan jahil, maka perbuatan tersebut tetap dikenakan dam/fidyah namun tidak berdosa.

ii. Sementara itu, melanggar larangan ihram yang melibatkan perkara keseronokan (taraffuh) seperti memakai wangian dan pakaian berjahit dalam keadaan terlupa atau jahil, maka perbuatan tersebut tidak berdosa dan tidak dikenakan fidyah.

Wallahu a'lam

 

Rujukan: 

[1] Muhammad Husin al-Baghawi, Ma’alim al-Tanzil Fi Tafsir Al-Quran: Tafsir al-Baghawi (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath, t.th) 1/ 223

قَوْلُهُ تَعَالَى: {فَفِدْيَةٌ مِنْ صِيَامٍ} أَيْ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ {أَوْ صَدَقَةٍ} أَيْ ثَلَاثَةِ آصُعٍ عَلَى سِتَّةِ مَسَاكِينَ، لِكُلِّ مِسْكِينٍ نِصْفُ صَاعٍ {أَوْ نُسُكٍ} وَاحِدَتُهَا نَسِيكَةٌ أَيْ ذَبِيحَةٌ، أَعْلَاهَا بَدَنَةٌ وَأَوْسَطُهَا بَقَرَةٌ وَأَدْنَاهَا شَاةٌ، أَيَّتَهَا شَاءَ ذَبْحَ،

[2] Abdul Rahman Al-Sa’di, Taisir al-Karim al-Rahman Fi Tafsir Karim al-Manan. (Muassasah Risalah,2000) 91

ولكن يكون عليه فدية من صيام ثلاثة أيام، أو صدقة على ستة مساكين (1) أو نسك ما يجزئ في أضحية، فهو مخير، والنسك أفضل، فالصدقة، فالصيام

[3] al-Khatib as-Syirbini AhmadMughni al Muhtaj Ila Ma’rifat Ma’ani Alfaz al-Minhaj, (Dar al-Kutub al-‘Ilmia, 1994 )    2/297

شَعْرَهَا، وَشَعْرُ سَائِرِ الْجَسَدِ مُلْحَقٌ بِهِ بِجَامِعِ التَّرَفُّهِ.وَأَمَّا الظُّفْرُ فَقِيَاسًا عَلَى الشَّعْرِ لِمَا فِيهِ مِنْ التَّرَفُّهِ وَالْمُرَادُ مِنْ ذَلِكَ الْجِنْسُ الصَّادِقُ بِبَعْضِ شَعْرَةٍ أَوْ ظُفْرٍ (وَتَكْمُلُ الْفِدْيَةُ فِي) إزَالَةِ (ثَلَاثِ شَعَرَاتٍ) بِفَتْحِ الْعَيْنِ جَمْعُ شَعْرَةٍ بِسُكُونِهَا وَلَاءً (أَوْ) إزَالَةِ (ثَلَاثَةِ أَظْفَارٍ) كَذَلِكَ بِأَنْ اتَّحَدَ الْمَكَانُ وَالزَّمَانُ، وَالشَّعْرُ يَصْدُقُ بِالثَّلَاثِ، وَقِيسَ بِهَا الْأَظْفَارُ وَلَا يُعْتَبَرُ جَمِيعُهُ بِالْإِجْمَاعِ وَلَا فَرْقَ فِي ذَلِكَ بَيْنَ النَّاسِي لِلْإِحْرَامِ وَالْجَاهِلِ بِالْحُرْمَةِ لِعُمُومِ الْآيَةِ، وَكَسَائِرِ الْإِتْلَافَاتِ، وَهَذَا بِخِلَافِ النَّاسِي وَالْجَاهِلِ فِي التَّمَتُّعِ بِاللُّبْسِ وَالطِّيبِ وَالدَّهْنِ وَالْجِمَاعِ وَمُقَدَّمَاتِهِ لِاعْتِبَارِ الْعِلْمِ وَالْقَصْدِ فِيهِ وَهُوَ مُنْتَفٍ فِيهَا.

[4]Al-Nawawi, Zakariyya Mahya Addin, Al-Majmuk Syarh al-Muhadzzab, Dar al-Fikr, hlmn (7/ 248)

تجب الفدية لظاهر

* هَذَا كُلُّهُ فِي الْحَلْقِ وَالْقَلْمِ بِلَا عُذْرٍ فَإِنْ حَلَقَ لِعُذْرٍ أَوْ نَاسِيًا أَوْ جَاهِلًا أَوْ مُكْرَهًا

[5] Ahmad Zainuddin Al-Malibari, Fathu Al-Mu’in Bisyarhi Qurroti Al-‘Ain bi Muhimmati Ad-Din (Dar Ibn Hazm, t.th) 301

[6] Mustafa Khin, Mustafa al-Bugha dan Ali Syarbiji, Al Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafie (Damsyik: Dar al-Qalam, 1992) Jilid 3 : 121

قسم الثاني: الدم المخير المقدّر وهذا يجب عند فعل محظور من محظورات الحج: كحلق شعر، وتقليم ظفر، ولبس مخيط، وغير ذلك من محظورات الإحرام. ويكفي لوجوب هذه الكفارة، إزالة ثلاث شعرات، أو تقليم ثلاثة أظفار

ويجب على من فعل شيئاً من ذلك:

ذبح شاة، أو صيام ثلاثة أيام، أو التصدق بثلاثة آصع على ستة من مساكين الحرم، لكل مسكين نصف صاع من بُر، أو شعير