Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD HUKUM KHAS RAMADHAN SIRI KE-121: MEMOTONG KUKU KETIKA BERPUASA

 

 

ir-5c-20121_15323710.png

 

Soalan: Apakah memotong kuku membatalkan puasa?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Sebelum kami menjawab persoalan di atas, memotong kuku adalah termasuk di dalam fitrah manusia merujuk kepada sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA , bahawa Nabi SAW bersabda:

 

الفِطْرَةُ خَمْسٌ، أَوْ خَمْسٌ مِنَ الفِطْرَةِ: الخِتَانُ، وَالِاسْتِحْدَادُ، وَنَتْفُ الإِبْطِ، وَتَقْلِيمُ الأَظْفَارِ، وَقَصُّ الشَّارِبِ

Maksudnya: “Fitrah itu ada lima, iaitu berkhitan, mencukur bulu kemaluan, mencabut bulu ketiak, memotong kuku dan menipiskan misai”. [Riwayat al-Bukhari (5889)]

 

Selain itu juga, memotong kuku merupakan salah satu cara menjaga kebersihan diri. Berdasarkan kepada soalan di atas, kita perlu melihat terlebih dahulu terhadap perkara-perkara yang membatalkan puasa sebagaimana yang telah jelaskan oleh para ulama:

 

Di antara perkara yang membatalkan puasa ada tujuh:

  • Makan dan minum. Batal sama ada sedikit atau banyak.
  • Sampainya ‘ain kepada rongga tengah badan melalui laluan yang terbuka. ‘Ain bererti fizikal sesuatu yang terlihat pada mata. Ruang tengah termasuklah bahagian otak dan bahagian bawah halkum, perut dan terus ke kemaluan depan dan belakang. Adapun laluan yang terbuka bererti lubang mulut, hidung, qubul dan dubur.
  • Muntah dengan sengaja.
  • Persetubuhan (Sekalipun ia tidak mengeluarkan air mani).
  • Istimna’ (Mengeluarkan air mani dengan sengaja).
  • Datang haid atau nifas.
  • Gila dan juga murtad.

 

Semua yang dinyatakan di atas adalah perkara-perkara yang membatalkan puasa apabila dilakukan secara sengaja (kecuali gila). Manakala sekiranya tidak sengaja, terlupa atau dipaksa, maka ia tidak membatalkan. [Lihat: Fiqh al-Manhaji, 1/241-245]

Setelah kita mengetahui berkaitan perkara-perkara yang membatalkan puasa, maka kita dapati bahawa memotong kuku tidak termasuk di dalam perkara-perkara yang membatalkan puasa. Berkemungkinan orang yang bertanya ini terkeliru dengan perkara-perkara yang haram ketika dalam ihram. Ini kerana, perbuatan memotong kuku adalah termasuk di dalam perkara yang dilarang atau haram dilakukan ketika dalam ihram dan orang yang melanggarnya perlu membayar dam.

Adapun berkaitan hukum mengigit kuku ketika sedang berpuasa, perbuatan tersebut tidaklah membatalkan puasa sekiranya dia tidak menelan kuku tersebut. Hal ini juga disebutkan oleh Dar al-Ifta’ al-Misriyyah.

 

Penutup

Kesimpualannya, memotong kuku tidak membatalkan puasa sekiranya ia dilakukan di siang hari berpuasa sama ada puasa yang wajib atau puasa yang sunat. Akhirnya, semoga Allah SWT menerima segala amalan yang kita lakukan dalam bulan yang mulia ini yang mana Allah SWT sediakan tawaran-tawaran buat hamba-hamba-Nya yang cintakan ibadah. Amin.

 

Wallahua’lam