Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD HUKUM KHAS RAMADHAN SIRI KE 132 : ADAKAH BAYI DI DALAM KANDUNGAN DIBAYARKAN ZAKAT FITRAH?

IFKR 132 compressed

Soalan :

Assalamualaikum Al-Fadhil ustaz. Memandangkan pada bulan Ramadhan ini wajib bagi kita mengeluarkan zakat fitrah, jadinya saya mahu bertanya tentang hukum hakam sekitar zakat fitrah. Adakah bayi yang masih di dalam kandungkan diwajibkan untuk dibayarkan zakat untuknya?

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Zakat fitrah adalah zakat yang wajib ditunaikan pada bulan Ramadhan. Tempoh masa zakat ini adalah pada permulaan bulan Ramadhan sehingga sebelum solat hari raya aidilfitri. Perkara ini dapat difahami melalui hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas. Nabi SAW bersabda :

زَكَاةَ الْفِطْرِ طُهْرَةً لِلصَّائِمِ مِنَ اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ ، وَطُعْمَةً لِلْمَسَاكِينِ ، مَنْ أَدَّاهَا قَبْلَ الصَّلاَةِ ، فَهِيَ زَكَاةٌ مَقْبُولَةٌ ، وَمَنْ أَدَّاهَا بَعْدَ الصَّلاَةِ ، فَهِيَ صَدَقَةٌ مِنَ الصَّدَقَاتِ

Maksudnya :” Zakat fitrah adalah penyucian bagi orang yang berpuasa daripada perkara yang lagha dan percakapan yang buruk. Ia juga adalah makanan bagi orang miskin. Sesiapa yang membayarkan sebelum solat (aidilfitri) maka zakatnya diterima. Sesiapa yang membayarkan selepas daripada solat maka ia hanya dianggap sebagai sedekah.”

Riwayat Abu Daud (1609)

Setiap muslim yang mempunyai lebihan harta atau makanan pada malam raya dan pagi hari raya maka dia wajib untuk membayar zakat fitrah. Sama ada tua, muda, lelaki mahupun perempuan. Bahkan seorang bapa atau suami wajib untuk membayar zakat fitrah bagi pihak tanggungannya. Ini berdasarkan kepada kaedah :

كُلُّ مَنْ تَلْزَمُهُ نَفَقَةُ غَيرِهِ تَلْزَمُهُ فِطْرَتُهُ

Maksudnya :”Sesiapa yang wajib baginya memberikan nafkah kepada orang lain maka wajib untuk dia menanggung fitrahnya (zakat).”

Kembali kepada persoalan yang telah dikemukakan, zakat fitrah bagi bayi yang masih berada di dalam kandungan adalah tidak wajib. Imam Al-Nawawi ketika mengulas berkenaan dengan isu adakah bayi yang berada di dalam kandungan wajib ke atasnya zakat fitrah beliau menyebut bahawa tiada zakat fitrah bagi bayi yang masih di dalam kandungan. Begitu juga tidak wajib bagi bapanya untuk membayarkan bagi pihaknya.(Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 6/139). Ini juga merupakan pandangan yang dikemukakan oleh Imam Al-Ramli dan kebanyakan ulama bermazhab syafi’i.

Ada yang berpandangan bahawa zakat fitrah wajib dibayar bagi pihak bayi yang masih berada di dalam kandungan. Mereka berdalilkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar. Kata beliau :

فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- زَكَاةَ الْفِطْرِ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ عَلَى كُلِّ عَبْدٍ أَوْ حُرٍّ صَغِيرٍ أَوْ كَبِيرٍ

Maksudnya :” Rasulullah SAW mewajibkan untuk memberi zakat fitrah.(Kadarnya ialah) segantang dari kurma atau gandum. Ianya diwajibkan untuk setiap hamba,yang merdeka. Yang kecil(kanak-kanak) mahupun besar (dewasa).”

Riwayat Al-Bukhari (1503) & Muslim (2326)

Ibnu Hajar Al-Asqalani menjawab bahawa bayi di dalam kandungan tidak dipanggil kanak-kanak. Sama ada dari segi bahasa mahupun dari segi uruf. Beliau juga mengatakan bahawa bayi di dalam kandungan boleh jadi mati atau hidup.(Rujuk Fath Al-Bari Syarh Sohih Al-Bukhari, 3/369) Oleh itu, bayi di dalam kandungan tidak termasuk di dalam mafhum hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar ini.

Berdasarkan dalil dan perbincangan yang telah kami kemukakan, kami menyimpulkan bahawa zakat fitrah tidak wajib bagi bayi yang berada di dalam kandungan. Begitu juga tidak wajib bagi bapa untuk membayar zakat fitrah bagi pihak bayi tersebut.

Semoga Allah memberikan kefahaman di dalam agama-Nya. Kita sentiasa berusaha agar Ramadhan pada kali ini dapat diisi dan dimanfaatkan dengan sebaiknya. Wallahu’alam.