Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD HUKUM KHAS RAMADHAN SIRI KE-135 : TIDAK BATAL PUASA DENGAN MENGOREK HIDUNG

IFKR135 compressed

Soalan:

Assalamualaikum wbt,

Adakah mengorek hidung boleh membatalkan puasa? Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wbt,

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi ﷺ, keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kesudahan.

Lubang hidung dianggap sebagai saluran terbuka yang bersambung kepada jauf, atau rongga tengah badan. Dalam mazhab al-Syafie, sengaja memasukkan suatu ain, benda fizikal, ke dalam jauh melalui saluran terbuka, tanpa keuzuran, adalah membatalkan puasa. Dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji (1/342) ada menyebut bahawa salah satu daripada perkara yang membatalkan puasa ialah “sampainya suatu ain ke jauh (rongga) daripada saluran yang terbuka. Ain itu adalah suatu yang boleh dilihat dengan mata kasar. Jauf pula ialah bahagian otak[1] atau bahagian selepas tekak sehingga perut dan usus-usus. Saluran terbuka pula bermaksud mulut, telinga, alat sulit hadapan, dan belakang, bagi lelaki dan perempuan.”

Saluran hidung hukumnya sama seperti mulut yang terbahagi kepada bahagian zahir (luaran) dan batin (dalaman). Perbahasan ini boleh ditemukan dalam isu istinsyaq (memasukkan air ke dalam hidung) dan madhmadhah (berkumur-kumur) semasa berpuasa. Ini berdasarkan hadis Laqit bin Sobrah RA bahawa Rasulullah ﷺ bersabda kepadanya:

أَسْبِغِ الوُضُوءَ، وَخَلِّلْ بَيْنَ الأَصَابِعِ، وَبَالِغْ فِي الِاسْتِنْشَاقِ، إِلَّا أَنْ تَكُونَ صَائِمًا

Maksudnya: “Sempurnakanlah wuduk, gosoklah di celahan jari-jemari, serta berlebihanlah ketika melakukan istinsyaq, melainkan jika kamu berpuasa.”

RIwayat al-Tirmidzi (no.788) dan lain-lain. Al-Tirmidzi mengatakan hadis ini sahih.

Hukum berkumur-kumur dan istinsyaq semasa berwuduk adalah disunatkan, sama ada bagi orang yang berpuasa atau tidak. Cumanya, bagi orang yang berpuasa, mereka dilarang secara makruh untuk mubalaghah (melampau) semasa berkumur dan melakukan istinsyaq.

Berkata Syeikh Abu al-Husein al-Imrani:

فلا يستقصي في المبالغة، فيصير سعوطا، فلولا أن الفطر يتعلق بما يصل منه لما نهى عنه ولأن ما يصل إلى دماغ الإنسان يغذي كما يغذي ما يصل إلى الجوف، فوجب أن يفطر به، كالواصل إلى الجوف

“Janganlah terlalu dalam ketika melakukan mubalaghah (semasa beristinsyaq), lalu jadilah ia suatu su`ut (kaedah memasukkan sesuatu, kebiasaannya ubat, ke kawasan melepasi pangkal hidung). Jika tidak, sesungguhnya pembatalan puasa itu berkait dengan apa yang sampai kepada sebahagiannya, oleh kerana itu Syarak melarangnya. Ini juga kerana apa yang sampai ke bahagian otak manusia boleh diambil khasiat, sama seperti suatu yang sampai kepada rongga, lalu batallah puasa dengan sebab itu, sama seperti suatu yang sampai ke bahagian rongga.”

Rujuk al-Bayan fi al-Madzhab al-Syafie (3/501)

Oleh sebab itu, perbuatan isti`at iaitu memasukkan sesuatu seumpama ubat titis ke bahagian otak melalui saluran hidung adalah membatalkan puasa. Rujuk Ghayah al-Bayan Syarh Matan Ibn Ruslan (hlm. 302) oleh Imam Syamsuddin al-Ramli.

Manakala Syeikh Muhammad al-Zuhaili pada perkara yang makruh dilakukan semasa berpuasa berkata:

“meninggalkan mubalaghah ketika berkumur dan istinsyaq bagi orang yang berpuasa, sebagai langkah berhati-hati supaya air tidak mendahuluinya sehingga ke tekak lalu dia menelannya, lalu batallah puasanya.”

Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (2/84)

Maksud berkumur-kumur di sini adalah memasukkan air ke dalam mulut dan istinsyaq ialah memasukkan air ke dalam hidung. Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah (hlm. 87) oleh Syeikh Hasan al-Kaf. Manakala maksud mubalaghah ketika berkumur dan isitinsyak ialah seperti yang dinukilkan oleh Imam al-Nawawi dalam al-Majmu` Syarh al-Muhadzdzab (1/355) daripada Imam al-Syafie:

الْمُبَالَغَةُ فِي الْمَضْمَضَةِ أَنْ يَأْخُذَ الْمَاءَ بِشَفَتَيْهِ فَيُدِيرَهُ فِي فَمِهِ ثُمَّ يَمُجَّهُ وَفِي الِاسْتِنْشَاقِ أَنْ يَأْخُذَ الْمَاءَ بِأَنْفِهِ وَيَجْذِبَهُ بِنَفَسِهِ ثُمَّ يَنْثُرَ وَلَا يَزِيدُ عَلَى ذَلِكَ

Berlebihan (mubalaghah) semasa berkumur itu ialah dengan mengambil air dengan kedua-dua bibirnya lalu memusing-musingkan air di dalam mulutnya kemudian meludahnya, dan semasa istinsyaq itu dengan mengambil air dengan hidungnya dan menarik air itu dengan nafasnya kemudian dihembus, dan tidak ditambah lebih daripada itu.”

Imam al-Nawawi juga menyebut perkataan para ashab (Syafieyyah):

قَالَ أَصْحَابُنَا الْمُبَالَغَةُ فِي الْمَضْمَضَةِ أَنْ يُبَلِّغَ الْمَاءَ أَقْصَى الْحَلْقِ وَيُدِيرَهُ فِيهِ وَفِي الِاسْتِنْشَاقِ أَنْ يُوَصِّلَهُ الْخَيَاشِيمَ قَالَ فِي التَّتِمَّةِ ثُمَّ يُدْخِلُ أُصْبُعَهُ فِيهِ فَيُنْزِلُ مَا فِي الْأَنْفِ مِنْ أَذًى

“Berkata para ashab kami: Berlebihan (mubalaghah) semasa berkumur itu ialah dengan menyampaikan air ke pangkal tekak dan memusing-musingkan air itu padanya, dan semasa istinsyaq itu dengan menyampaikan air kepada bahagian-bahagian kaisyum. Disebut dalam kitab al-Tatimmah: kemudian dia memasukkan jari-jemarinya dan menurunkan kotoran dari dalam hidungnya keluar.”

Para ulama Syafieyyah menyebutkan had zahir dan had batin bagi hidung dalam konteks puasa. Antaranya seperti yang disebutkan oleh Syeikh Sulaiman al-Jamal dalam Hasyiah-nya ke atas kitab Manhaj al-Tullab karangan Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari – Rahimahumullah – tentang had zahir bagi hidung ialah:

وَالْأَنْفِ إلَى مُنْتَهَى الْخَيْشُومِ لَهُ حُكْمُ الظَّاهِرِ فِي الْإِفْطَارِ بِاسْتِخْرَاجِ الْقَيْءِ إلَيْهِ وَابْتِلَاعِ النُّخَامَةِ مِنْهُ وَعَدَمِهِ بِدُخُولِ شَيْءٍ فِيهِ وَإِنْ أَمْسَكَهُ وَإِذَا تَنَجَّسَ وَجَبَ غَسْلُهُ وَلَهُ حُكْمُ الْبَاطِنِ فِي عَدَمِ الْإِفْطَارِ بِابْتِلَاعِ الرِّيقِ مَعَهُ وَفِي سُقُوطِ غَسْلِهِ مِنْ نَحْوِ الْجُنُبِ

“Dan bagi hidung sehingga hujung al-khaysyum (pangkal hidung) baginya hukum zahir pada terbatalnya puasa apabila sengaja mengeluarkan muntah pada kawasan ini, dan menelan nukhamah (kahak) daripadanya, dan tiada membatalkan dengan memasukkan sesuatu pula ke bahagian ini sekalipun jika ia menahannya. Jika (kawasan ini) wajib membasuhnya. Dan padanya hukum batin pula pada tidak membatalkan kerana menelan lendir yang ada bersamanya dan pada gugurnya (kewajipan) membasuhnya semasa melakukan seumpama mandi junub.”

Rujuk Hasyiah al-Jamal (2/317)

Daripada kenyataan di atas, jelas kepada kita bahawa perbuatan mengorek hidung tidak membatalkan puasa. Ini kerana diharuskan bagi orang yang berpuasa untuk berwuduk dengan mengamalkan sunat istinsyak. Cumanya, jika dibuat secara berlebihan sehingga sampai ke pangkal hidung atau kaisyum itu adalah dimakruhkan, selagi tidak sampai ke bahagian otak atau tekak. Jika sampai, maka batal puasanya. Justeru, berdasarkan fakta tersebut, jelaslah bahawa perbuatan mengorek hidung juga tidak membatalkan puasa kerana kaedah dan wasilahnya yang sama yakni, memasukkan suatu ain untuk mengeluarkan kotoran daripada lubang hidung. Ini juga kerana sekalipun terdapat perbuatan memasukkan ain ke dalam saluran yang terbuka, namun ia tidak sampai kepada had rongga sehingga membatalkan puasa. Namun jika dilakukan dengan melampau dengan alat-alat yang boleh menyampaikan ke bahagian otak maka itu batallah puasanya. Wallahua’lam.

Nota hujung:

[1] Istilah otak di sini merujuk kepada kawasan yang berdekatan dengan otak. Kajian saintifik moden menunjukkan bahawa saluran hidung tidak sampai secara terus kepada bahagian dalam otak. Wallahua’lam.