Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD HUKUM KHAS RAMADAN SIRI KE-207: HUKUM MEMAKAI ALAT BANTUAN PERNAFASAN KETIKA SIANG RAMADAN

HUKUM MEMAKAI ALAT BANTUAN PERNAFASAN KETIKA SIANG RAMADAN

 

Soalan

Assalamualaikum, saya ingin bertanya mengenai kakak saya yang dimasukan ke dalam wad pada bulan Ramadan. Dia terpaksa memakai alat pernafasan tetapi keadaannya tidak kritikal. Dia bertanya kepada saya adakah dia masih boleh berpuasa atau tidak? Terima kasih. 

Ringkasan Jawapan

Penggunaan alat pernafasan (oksigen) tanpa mengandungi penambahan dari bahan-bahan lain yang berbentuk jirim, tidak membatalkan puasa. Tidak ada perbezaan pandangan dalam kalangan ulama bahawa menghirup udara (oksigen) tidak membatalkan puasa. Jika dia mampu untuk berpuasa maka dia boleh untuk berpuasa dan jika dia tidak mampu dia boleh berbuka namun perlu mengqadakannya.

Huraian Jawapan

Antara perkara yang membatalkan puasa ialah memasukkan sesuatu ke dalam rongga yang terbuka seperti mulut, hidung dan telinga dengan jalan sengaja. Dalam kitab Nihayah al-Zain disebutkan:

يَفْطُرُ صَائِمٌ بِوُصُوْلِ عَيْنٍ مِنْ تِلْكَ إِلَى مُطْلَقِ الجَوْفِ مِنْ مَنْفَذٍ مَفْتُوحٍ مَعَ الْعمد وَالِاخْتِيَار وَالْعِلْمِ بِالتَّحْرِيمِ

Maksudnya: “Puasa seseorang terbatal dengan sebab masuknya sesuatu benda (ain) dari luar kepada rongga yang terbuka dalam keadaan sengaja dan buka dipaksa serta dia mengetahui tentang keharamannya.”

Antara dalil yang digunakan oleh mazhab Syafii mengenai hal ini ialah sebuah riwayat yang dinilai hasan oleh Imam al-Nawawi, Ibn Abas RA berkata[1]:

وَإِنَّمَا الْفِطْرُ مِمَّا دَخَلَ وَلَيْسَ مِمَّا خَرَجَ

Maksudnya: “Sesungguhnya perkara yang membatalkan puasa itu ialah apa yang dimasukan bukan dengan apa yang keluar.”

(Riwayat al-Baihaqi)

Namun begitu, jika yang masuk ke dalam rongga terbuka itu  bukan sesuatu yang dianggap ain (benda) secara uruf(kebiasaan)[2] maka ia tidak membatalkan puasa. Sebagaimana jika seseorang terhidu bau asap yang masuk melalui mulut atau hidung sekalipun dengan jalan sengaja ia tidak dianggap membatalkan puasa. Disebutkan dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidin:

لَايَضُرُّ وُصُولُ الرِّيحُ بِالشَّمِّ وَكَذَا مِنَ الْفَمِ كَرَائِحَةِ الْبُخُورِ أَوْ غَيْرِهِ إِلَى الْجَوْفِ وَإِنْ تَعَمَّدَهُ لِأَنَّهُ لَيْسَ عَيْنًا

Maksudnya: “Tidak memudaratkan (membatalkan puasa) dengan sebab masuk bau melalui hidung atau mulut seperti bau asap atau lainnya ke dalam rongga sekalipun dengan jalan sengaja kerana ia bukan ain(jirim)[3].”

Majma’ al-Fiqh al-Islami yang diadakan di Jeddah kali ke-10 memutuskan bahawa antara perubatan yang tidak membatalkan puasa ialah penggunaan alat bantuan pernafasan[4]. Dar al-Ifta’ Jordan pula merumuskan bahawa penggunaan alat bantuan pernafasan tidak membatalkan puasa kerana ia bukan sesuatu yang berbentuk jirim. Namun jika terdapat dalam oksigen tersebut jirim maka ia boleh mebatalkan puasa[5].

Kesimpulannya, berdasarkan kenyataan di atas hukum penggunaan alat pernafasan (oksigen) tanpa mengandungi penambahan dari bahan-bahan lain yang berbentuk jirim, tidak membatalkan puasa. Tidak ada perbezaan pandangan dikalangan ulama bahawa menghirup udara (oksigen) tidak membatalkan puasa. Jika dia mampu untuk berpuasa maka dia boleh untuk berpuasa dan jika dia tidak mampu dia boleh berbuka namun perlu mengqada’kannya.

 

 

[1] Imam al-Nawawi, al-Majmu’ Syarh al-Muhazab, Beirut: Dar al-Fikr (t.t), jld. 6, hlm. 317.

واستدل اصحابنا بما ذكره المصنف وبما رواه البيهقى باسناد حسن أو صحيح عن ابن عباس رضى الله عنهما انه قال " إنما الوضوء مما يخرج وليس مما يدخل وإنما الفطر مما دخل وليس مما خرج " والله تعالي اعلم

[2] Sulaiman bin Omar, Futuhat al-Wahhab bi Taudhih Syarh Manhaj al-Tullab, Beirut: Dar al-Fikr (t.t), jld. 2, hlm. 318-319.

لِمَا تَقَرَّرَ أَنَّ الرَّائِحَةَ لَيْسَتْ عَيْنًا أَيْ عُرْفًا إذِ الْمَدَارُ هُنَا عَلَيْهِ وَإِنْ كَانَتْ مُلْحَقَةً بِالْعَيْنِ فِي بَابِ اَلإحْرَامِ أَلاَ تَرَى أَنَّ ظُهُورَ الرِّيحِ وَالطَّعْمِ مُلْحَقٌ بِالْعَيْنِ فِيهِ لاَ هُنَا

[3] Abdul Rahman bin Muhammad Ba’lawi, Bughyah al-Mustarsyidin, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyah (2016), hlm. 140.

[4] Majallah Majma’ al-Fiqh al-Islami: jld. 10, hlm. 1433.

http://sh.lib.eshia.ir/44875/10/1433/%D8%BA%D8%A7%D8%B2_%D8%A7%D9%84%D8%A3%D9%83%D8%B3%D8%AC%D9%8A%D9%86#

[5] Dar al-Ifta’, Jordan:

هل يؤثر استعمال الصائم لجهاز التنفس (الأكسجين) في نهار رمضان على صحة الصوم؟

لا يؤثر استعمال جهاز الأكسجين على صحة الصوم ؛ لأن الأكسجين هواء لا جرم له، ولكن إذا أضيف للأكسجين مواد علاجية لها جرم يصبح استعماله في نهار رمضان مفطراً لدخوله إلى الجوف من منفذ معتاد.

https://aliftaa.jo/ShowContent.aspx?Id=103#.YjpyeFVBzIV