Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD FATWA EDISI KHAS RAMADHAN SIRI KE 224: HAD SAKIT YANG DIHARUSKAN BERBUKA PUASA

HAD SAKIT YANG DIHARUSKAN BERBUKA PUASA

 

Soalan:

Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanyakan satu soalan. Apakah hukum berpuasa bagi orang yang sakit dan apakah had-had sakit bagi mengharuskan seseorang pesakit berbuka puasa? Mohon penjelasan Datuk Mufti. Terima kasih.

Jawapan Ringkas

Had sakit yang dibenarkan berbuka puasa adalah apabila pesakit menghidapi penyakit yang akan bertambah kesakitannya dan menyukarkan dirinya jika berpuasa. Sekiranya dengan berpuasa boleh memberi mudarat terhadap pesakit atau  membawa kematian, maka berbuka puasa adalah wajib. Walau bagaimanapun, pendapat doktor wajib dijadikan sebagai pemberat sama ada perlu berbuka puasa atau tidak. Jika sakit tersebut hanyalah sakit yang ringan dan tidak memberi kesan yang besar terhadap pesakit sekiranya berpuasa, maka dia diwajibkan berpuasa dan tidak harus baginya untuk berbuka.

Huraian

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

مَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ

Maksudnya:Maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah dia berbuka), kemudian wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari yang berbuka) itu pada hari-hari lain

Surah al-Baqarah (184)

Ayat ini menjelaskan bahawa orang yang sakit dan bermusafir adalah diharuskan untuk berbuka puasa dan wajib menggantikan puasanya[1].

Tulisan ini akan menjelaskan hukum yang berlainan berdasarkan tiga kategori sakit yang berbeza, iaitu:

  1. Sakit yang menjadi semakin teruk sekiranya berpuasa
  2. Sakit yang boleh memudaratkan nyawa
  3. Sakit yang ringan

Sakit yang menjadi semakin teruk sekiranya berpuasa

Sekiranya seseorang pesakit menghidapi penyakit yang akan bertambah kesakitannya jika berpuasa dan puasa tersebut adalah sukar baginya namun tidak membahayakan nyawa, maka dia diharuskan berbuka puasa. Ini merupakan pendapat jumhur ulama yang terdiri daripada mazhab al-Hanafi[2], al-Maliki[3], al-Syafi’i dan al-Hanbali[4].

Perkara ini dinyatakan oleh Imam al-Nawawi:

وان لم يقدر على الصوم لمرض يخاف زيادته ويرجي البرء لم يجب عليه الصوم

Maksudnya: “Dan jika dia tidak mampu berpuasa kerana penyakit yang dikhuatiri bertambah dan diharapkan kesembuhannya, maka tidak wajib baginya berpuasa [5].

Namun begitu, kekhuatiran atas keadaan penyakit yang akan menjadi semakin teruk tersebut bukanlah dengan sekadar syak atau sangkaan semata-mata. Malah, pendapat dan pengesahan doktor wajib dijadikan sebagai pemberat sama ada perlu berpuasa atau tidak[6].

Sakit yang memudaratkan nyawa

Sekiranya sakit tersebut sangat berat sehingga ditakuti boleh membawa kepada kebinasaan dan memberi musibah seperti risiko kehilangan nyawa, organ-organ badan, atau fungsi organ, maka wajib baginya berbuka puasa menurut jumhur ulama daripada mazhab al-Hanafi[7], al-Maliki[8], al-Syafi’i[9], dan sebahagian ulama mazhab al-Hanbali[10].

Sakit yang ringan

Jika seseorang pesakit ditimpa penyakit yang tidak menjejaskan puasa dan tidak membahayakannya seperti selsema, sakit kepala ringan, sakit gigi, dan seumpamanya, maka diharamkan berbuka puasa menurut para ulama daripada empat mazhab[11].

Menurut Ibn Qudamah, sekiranya puasa orang yang sakit tidak memberi kesan terhadap kesakitan yang dialaminya, maka dia dihukumkan seperti orang yang sihat dan dia diwajibkan untuk berpuasa. Hal ini kerana terdapat kategori penyakit yang memudaratkan dan juga tidak memudaratkan. Justeru, penyakit yang mengharuskan berbuka puasa adalah penyakit yang memudaratkan [12].

Kesimpulan

Had sakit yang dibenarkan berbuka puasa adalah apabila pesakit menghidapi penyakit yang akan menjadi semakin teruk jika berpuasa. Sekiranya dengan berpuasa boleh memberi mudarat terhadap pesakit atau  membawa kematian, maka berbuka puasa baginya adalah wajib. Jika sakit tersebut hanyalah sakit yang ringan dan tidak memberi kesan yang besar terhadap pesakit sekiranya berpuasa, maka dia diwajibkan berpuasa dan tidak harus baginya untuk berbuka.

Wallahu’alam

 

Rujukan:

[1] Muhammad bin Ahmad al-Qurtubi, al-Jami’ li Ahkam al-Quran, (Kaherah: Dar al-Kutub al-Misriyyah, 1964M) 2/281

[2] Ibn ‘Abidin, Hasyiah Radd al-Muhtar ‘ala al-Durr al-Mukhtar, (Beirut: Dar al-Fikr, cetakan 2, 1966M) 2/422

(أو مريض خاف الزيادة) لمرضه وصحيح خاف المرض، وخادمة خافت الضعف بغلبة الظن بأمارة أو تجربة أو بأخبار طبيب حاذق مسلم مستور

[3] Muhammad bin Muhammad al-Hattab, Mawahib al-Jalil fi Syarh Mukhtasar Khalil, (Dar al-Fikr, cetakan 3, 1992M) 2/447

إذا كان الصوم يضر به ويزيده ضعفا أفطر ويقبل قول الطبيب المأمون

[4] Mansur bin Yunus bin Idris al-Buhuti, Kasyaf al-Qana’ ‘an Matn al-Iqna’, (Riyadh: Maktabah al-Nasr al-Hadithah) 2/310

(والمريض) غير الميئوس من برئه (إذا خاف) بصومه (ضررا بزيادة مرضه أو طوله) أي: المرض (ولو بقول مسلم ثقة أو كان صحيحا فمرض في يومه أو خاف مرضا لأجل عطش أو غيره سن فطره وكره صومه وإتمامه)

[5] al-Nawawi, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 6/258

[6] Zain al-Din bin Ibrahim Ibn Nujaim, al-Bahr al-Raiq Syarh Kanz al-Daqaiq, (Dar al-Kutub al-Islami, cetakan 2) 2/303

ثم معرفة ذلك باجتهاد المريض والاجتهاد غير مجرد الوهم بل هو غلبة الظن عن أمارة أو تجربة أو بإخبار طبيب مسلم غير ظاهر الفسق وقيل عدالته شرط فلو برأ من المرض لكن الضعف باق وخاف أن يمرض سئل عنه القاضي الإمام فقال الخوف ليس بشيء كذا في فتح القدير وفي التبيين والصحيح الذي يخشى أن يمرض بالصوم فهو كالمريض ومراده بالخشية غلبة الظن كما أراد المصنف بالخوف إياها وأطلق الخوف ابن الملك في شرح المجمع وأراد الوهم حيث قال لو خاف من المرض لا يفطر 

Ahmad bin Ghanim al-Nafrawi, al-Fawakih al-Dawani ‘ala Risalah Ibn Abi Zaid al-Qairawani, (Dar al-Fikr, 1415H – 1995M) 1/309

الخوف المجوز للفطر هو المستند صاحبه إلى قول طبيب ثقة حاذق، أو لتجربة من نفسه أو لإخبار ممن هو موافق له في المزاج كما قالوه في التيمم

[7] Ibn Nujaim, al-Bahr al-Raiq Syarh Kanz al-Daqaiq, (Dar al-Kutub al-Islami, cetakan 2) 2/303

إذا خاف الهلاك فالإفطار واجب

[8] al-Nafrawi, al-Fawakih al-Dawani ‘ala Risalah Ibn Abi Zaid al-Qairawani, (Dar al-Fikr, 1415H – 1995M) 1/309

ولمرض خاف زيادته أو تماديه ووجب إن خاف هلاكا أو شديد أذى كحامل ومرضع لم يمكنهما استئجار أو غيره خافتا على ولديهما

[9] Mahyuddin bin Syaraf al-Nawawi, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, (Kaherah: Idarah al-Tiba’ah al-Muniriah, 1348H) 6/258

قال أصحابنا وغيرهم من غلبه الجوع والعطش فخاف الهلاك لزمه الفطر وإن كان صحيحا مقيما 

[10] al-Buhuti, Kasyaf al-Qana’ ‘an Matn al-Iqna’, 2/310

فلو خاف تلفا بصومه كره وجزم جماعة بأنه يحرم ولم يذكروا خلافا في الإجزاء (فإن صام) المريض مع ما سبق (أجزأه) صومه، نقله الجماعة لصدوره من أهله في محله كما لو أتم المسافر

[11] Ibn Nujaim, al-Bahr al-Raiq Syarh Kanz al-Daqaiq, 2/282

والتحق بالصحيح فيقع صومه عن رمضان فليس مرادهم بهذا القسم أن لا يضره الصوم مع القدرة عليه، وإلا كان هذيانا من القول؛ إذ لا يقول عاقل بإباحة الفطر له

al-Nafrawi, al-Fawakih al-Dawani ‘ala Risalah Ibn Abi Zaid al-Qairawani, 1/309

ولا يجوز له الفطر بالفعل إلا عند حصول المشقة فليس كالمسافر

al-Nawawi, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 6/258

وأما المرض اليسير الذي لا يلحق به مشقة ظاهرة لم يجز له الفطر بلا خلاف عندنا

al-Buhuti, Kasyaf al-Qana’ ‘an Matn al-Iqna’, 2/310

(ولا يفطر مريض لا يتضرر بالصوم كمن به جرب أو وجع ضرس أو أصبع أو دمل ونحوه)

[12] Abdullah bin Ahmad Ibn Qudamah, al-Mughni, (Riyadh: Dar ‘Alam al-Kutub, cetakan 3, 1997M) 4/404

فإن الأمراض تختلف، منها ما يضر صاحبه الصوم، ومنها ما لا أثر للصوم فيه، كوجع الضرس، وجرح في الإصبع، والدمل، والقرحة اليسيرة، والجرب، وأشباه ذلك، فلم يصلح المرض ضابطا، وأمكن اعتبار الحكمة، وهو ما يخاف منه الضرر، فوجب اعتباره بذلك