Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD FATWA EDISI KHAS RAMADHAN SIRI KE 230: BOLEHKAH MENGGUNAKAN WUDUK SOLAT ISYAK UNTUK SOLAT SUNAT TARAWIH BAGI PESAKIT  KENCING TIDAK LAWAS

BOLEHKAH MENGGUNAKAN WUDUK SOLAT ISYAK UNTUK SOLAT SUNAT TARAWIH BAGI PESAKIT KENCING TIDAK LAWAS

 

Soalan

Assalamualaikum ustaz, saya ada seorang pesakit kencing tidak lawas. Kalau tak silap saya wuduk bagi pesakit tidak lawas hendaklah diperbaharui setiap kali nak solat fardu. Persoalan saya bolehkah saya menggunakan wuduk solat Isyak untuk solat solat sunat Tarawih dan berapa banyak rakaat yang boleh didirikan.

Ringkasan Jawapan

Pesakit kencing tidak lawas boleh menggunakan wuduk solat Isyak untuk menunaikan solat sunat Tarawih seberapa banyak yang diinginkan. Namun hendaklah disegerakan solat sunat Tarawih setelah solat sunat selepas Isyak melainkan jika terpaksa melambatkannya atas sebab berkaitan dengan maslahat solat.

Bagi mereka yang berhenti atau melengah-lengahkan solat sunat Tarawih bukan kerana tujuan maslahat solat, maka hendaklah dia memperbaharui wuduk serta balutan zakarnya bagi mengambil langkah berhati-hati disebabkan hadas dan najis yang berterusan.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Solat hendaklah didirikan dalam keadaan suci daripada hadas dan najis serta berwuduk. Bagi mereka yang ditimpa penyakit kencing tidak lawas iaitu penyakit yang dihidapi seseorang yang tidak dapat menahan air kencingnya[1]. Penyakit ini dikategorikan seperti golongan perempuan yang istihadah sepertimana yang dinyatakan oleh imam al-Nawawi dalam karyanya:

حكم سلس البول وسلس المذي حكم المستحاضة في وجوب غسل النجاسة وحشو رأس الذكر والشد بخرقة والوضوء لكل فريضة والمبادرة بالفريضة بعد الوضوء

Maksudnya: Hukum bagi penyakit kencing dan mazi tidak lawas seperti hukum istihadah pada kewajipan menyucikan najis, menutup kepala zakar dan membalut dengan perca kain, berwuduk setiap kali menunaikan ibadah wajib (yang mensyaratkan wuduk) dan bersegera menunaikan kewajipan tersebut setelah berwuduk[2].

Para ulama telah menetapkan beberapa garis panduan ke atas pesakit kencing tidak lawas apabila mereka berwuduk untuk menunaikan solat. Perkara ini telah dinyatakan dengan jelas dalam artikel bertajuk: IRSYAD AL-FATWA KE-148: WUDHU’ BAGI MEREKA YANG KENCING TIDAK LAWAS (SALISI AL-BAUL) DAN HUKUM BERIMAMKAN MEREKA.

Berkaitan solat sunat terawih bagi pesakit kencing tidak lawas, Syeikh Muhammad Zuhaili dalam karyanya menyatakan bahawa, antara perkara yang wajib dilakukan oleh pesakit ini ialah mengambil wuduk setelah masuk waktu solat fardu bahkan tidak sah mengambil wuduk  sebelum dari waktunya[3]. Beliau juga menjelaskan lagi, bahawa pesakit kencing tidak lawas boleh mendirikan solat sunat dengan menggunakan wuduk solat fardu tersebut seberapa banyak yang dikehendaki. Beliau menyatakan dalam kitabnya:

ويجب الوضوء لكل فرض، وتصلي معه ما شاءت من النوافل.

Maksudnya: Wajib mengambil wuduk bagi setiap solat fardu, dan mendirikan solat sunat setelahnya seberapa banyak yang dikehendaki[4].

Pun begitu, pesakit hendaklah menyegerakan solat fardu setelah selesai mengambil wuduk untuk meminimumkan kesan najis atau hadas. Sekiranya melambatkan solat setelah mengambil wuduk bukan kerana maslahat solat seperti makan atau minum maka batal wuduknya. Manakala sekiranya dilambatkan solat atas sebab berkaitan dengan solat seperti menunggu jamaah, menghampar sejadah dan seumpanya maka wuduknya tidak batal [5].

Dalam menyegerakan solat bagi pesakit kencing tidak lawas, para fuqaha mazhab syafi’i berbeza pandangan dalam menentukan sama ada ia tertakluk kepada solat fardu sahaja atau termasuk solat sunat. Syeikh Muhammad al-Tarmasi menyebut dalam karyanya bahawa perkara ini meliputi solat fardu dan juga sunat. Selain itu, beliau juga menukilkan pandangan al-Ziyadi yang menyatakan bahawa kewajipan menyegerakan solat hanya tertakluk solat fardu sahaja sebagaimana yang dinyatakan dalam kitab al-Manhaj al-Qawim[6].

Oleh itu, bagi pesakit kencing tidak lawas boleh menggunakan wuduk solat Isyak untuk menunaikan solat sunat Tarawih seberapa banyak yang diinginkan. Namun hendaklah disegerakan solat sunat Tarawih setelah solat sunat selepas Isyak melainkan jika terpaksa melambatkannya atas sebab berkaitan dengan maslahat solat.

Bagi mereka yang berhenti atau melengah-lengahkan solat sunat Tarawih bukan kerana tujuan maslahat solat, maka hendaklah dia memperbaharui wuduk serta balutan zakarnya bagi mengambil langkah berhati-hati disebabkan hadas dan najis yang berterusan[7].

Wallahu’alam

 

Rujukan:

[1] Abu al-faidh Murtadha al-Zabidi, Taj al-‘Arus min Jawahir al-Qamus. (Dar al-hidayah) Jld. 16 Hlm. 151

إِذا كانَ لَا يَستَمْسِكُه، وَقد سَلِسَ بَوْلُه، إِذا لَمْ يَتَهَيَّأْ لَهُ أَنْ يُمْسِكَه

[2] Abu Zakaria Mahyuddin Yahya bin Syarf al-Nawawi, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. (Dar al-Fikr). Jld. 2 Hlm. 541

[3] Dr. Muhammad al-Zuhaili, al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i. (Damsyik: Dar al-Qalam, 1434) Jld. 1 Hlm. 122-124

تتوضأ المستحاضة، ويجب المبادرة بالوضوء بعد الاحتياط بالطهارة، ويجب أن يكون الوضوء بعد دخول وقت الصلاة، لأنه طهارة ضرورة فلا تصح قبل الوقت

[4] Ibid. Jld. 1 Hlm. 123

[5] Dr. Wahbah bin Mustafa al-Zuhaili, al-Fiqh al-Islamiy wa Adillatuhu. (Damsyik: Dar al-Fikr). Jld 1 Hlm. 447

ثم يبادر وجوباً إلى الصلاة تقليلاً للحدث، فلو أخر لمصلحة الصلاة كستر العورة، وأذان وإقامة، وانتظار جماعة، واجتهاد في قبلةوذهاب إلى مسجد، وتحصيل سترة، لم يضر، لأنه لا يعد بذلك مقصراً، وإلا كأن أخر لا لمصلحة الصلاة كأكل وشرب وغزل وحديث، فيضر التأخير على الصحيح، فيبطل الوضوء

[6] Syeikh Muhammad Mahfuz bin Abdullah al-Tarmasi, Hasyiah al-Tarmasi, (Jeddah: Dar al-Minhaj, 1439) Jld. 2 Hlm. 299

(بالصلاة) قضية اطلاقها: أنها شاملة للفرض والنفل، وعبر في "المنهج" بالفرض، قال الزيادي: (قضيته: أنه لا تجب المبادرة بالنفل، ويدل له جواز فعله بعد خروج وقت الفرض، تأمل) انتهى.

[7] Syamsuddin Muhammad bin Abi Abbas al-Ramli, Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj. (Beirut: Dar al-Fikr, 1404) Jld. 1 Hlm. 337

وَتَجِبُ إعَادَتُهُ وَإِعَادَةُ الِاحْتِيَاطِ لِتَكَرُّرِ الْحَدَثِ وَالنَّجَسِ مَعَ اسْتِغْنَائِهَا عَنْ احْتِمَالِ ذَلِكَ بِقُدْرَتِهَا عَلَى الْمُبَادَرَةِ