Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD FATWA EDISI KHAS RAMADHAN SIRI KE 232: SIAPAKAH GOLONGAN YANG WAJIB MEMBAYAR FIDYAH PUASA

SIAPAKAH GOLONGAN YANG WAJIB MEMBAYAR FIDYAH PUASA

 

Soalan

Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanya, saya ada terdengar bahawa sesiapa yang tidak menggantikan puasa Ramadannya yang lalu sebelum tiba Ramadan tahun berikutnya, maka dia wajib mengeluarkan fidyah kepada fakir miskin, soalan saya adakah sebab-sebab lain yang mewajibkan seseorang itu membayar fidyah? Mohon penjelasan Datuk Mufti. Terima kasih. 

Ringkasan Jawapan

Golongan yang wajib dikenakan fidyah puasa ialah:

  1. Orang tua yang lemah dan pesakit yang tiada harapan sembuh.
  2. Ibu yang mengandung dan menyusukan bayi.
  3. Orang yang telah meninggal dunia dalam keadaan masih lagi mempunyai hutang puasa yang belum diganti.
  4. Musafir, pesakit dan orang yang melambatkan ganti puasa.

Huraian Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat.

Allah SWT berfirman:

أَيَّامًا مَّعْدُودَاتٍ ۚ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ ۖ فَمَن تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَّهُ ۚ وَأَن تَصُومُوا خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ ‎﴿١٨٤﴾

Maksudnya:(Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.”

Surah al-Baqarah (184)

Ayat di atas jelas menerangkan berkenaan perihal fidyah wajib iaitu denda kerana meninggalkan sesuatu kewajipan ibadah yang difardukan ke atasnya. Terdapat beberapa golongan yang wajib membayar fidyah, antaranya termasuklah sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat ini:

Pertama: Orang tua yang lemah dan pesakit yang tiada harapan sembuh.

Kedua-dua orang ini tidak diwajibkan berpuasa atas kekurangan kemampuan diri mereka. Oleh yang demikian, Allah SWT memberikan keringanan kepada mereka untuk membayar fidyah sahaja bagi setiap hari puasa yang ditinggalkan.

Hukum ini berdasarkan dalil Surah al-Baqarah, ayat 184 bahawa Ibn Abbas R.Anhuma memberikan tafsiran dan komentarnya terhadap ayat ini bahawa ia tidaklah dimansukhkan sebaliknya ia ditujukan kepada lelaki dan perempuan yang sangat tua dan tidak terdaya untuk berpuasa. Mereka hendaklah memberi makan seorang miskin bagi setiap hari puasa yang ditinggalkan[1].

Begitu juga berdasarkan kepada kalam Ibn Umar R.Anhuma yang menyebut bahawa sekiranya seseorang itu tidak mampu langsung untuk berpuasa, maka dia perlu memberi makan satu mud bagi setiap hari yang ditinggalkan[2].

Kedua: Ibu yang mengandung dan menyusukan bayi.

Berdasarkan kepada ayat yang sama, Ibn Abbas menukilkan lagi:

وَالْحُبْلَى وَالْمُرْضِعُ إِذَا خَافَتَا، يَعْنِي عَلَى أَوْلاَدِهِمَا، أَفْطَرَتَا وَأَطْعَمَتَا

Maksudnya:Sementara perempuan mengandung dan ibu yang menyusukan anak bimbang akan kesihatan anaknya, mereka juga harus berbuka dan wajib memberi makanan tersebut.”

Riwayat Abu Daud (2318)

Menurut mazhab Syafie, ibu yang mengandung dan menyusukan bayi dibenarkan berbuka sama ada kerana bimbangkan kesihatan dirinya atau kesihatan bayinya. Kami pemudahkan dalam bentuk point seperti berikut:

  1. Sekiranya dia berbuka kerana bimbang terhadap kesihatan dirinya, maka dia hanya perlu menggantikan puasa yang ditinggalkan tersebut sebelum tiba bulan Ramadan yang berikutnya.
  2. Namun sekiranya dia berbuka oleh kerana bimbang akan kesihatan dan keselamatan bayi dalam kandungannya seperti berkemungkinan boleh menyebabkan berlakunya keguguran atau susu berkurangan, maka dia wajib menggantikan puasa tersebut dan juga membayar fidyah ke atas hari-hari yang ditinggalkan itu[3].

Ketiga: Orang yang telah meninggal dunia dalam keadaan masih lagi mempunyai hutang puasa yang belum diganti.

Seseorang yang meninggal dunia dalam keadaan dia mempunyai hutang puasa dan dia masih lagi tidak mampu melunaskannya kerana penyakit berpanjangan yang membuatkan dia tidak boleh berpuasa, maka dia tidak berdosa dan puasanya tidak perlu diganti oleh warisnya. Namun sekiranya dia meninggal dalam keadaan dia mampu menggantikannya ketika hidup, maka terdapat dua situasi bagi pihak waris iaitu:

  1. Sekiranya si mati meninggalkan harta pusaka, maka waris wajib menggantikan puasa bagi si mati sama ada dengan membayar fidyah atau berpuasa baginya, sunat bagi para waris untuk menggantikan puasa tersebut bagi pihak si mati.

Hal ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah R.Anha, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامٌ صَامَ عَنْهُ وَلِيُّهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang meninggal dunia sedangkan dia masih mempunyai kewajipan berpuasa, walinyalah berpuasa bagi pihaknya.”

Riwayat al-Bukhari (1851) dan Muslim (1147)

Meskipun begitu, menggantikan hutang puasa si mati tersebut dengan bayaran fidyah adalah lebih afdal[4]. Malahan, sekiranya tiada sesiapa yang menggantikan puasa bagi pihak si mati, maka wajib disedekahkan makanan yakni fidyah bagi pihaknya sehari secupak diambil daripada harta peninggalannya sebagaimana penyelesaian hutang. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Umar R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:

مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامُ شَهْرٍ فَلْيُطْعِمْ عَنْهُ مَكَانَ كُلِّ يَوْمٍ مِسْكِينًا

Maksudnya:Sesiapa yang meninggal dunia dan dia masih mempunyai kewajipan berpuasa bulan Ramadhan, hendaklah sesiapa bagi pihaknya memberi sedekah makanan kepada orang miskin setiap hari.”

Riwayat al-Tirmizi (718)

  1. Sekiranya si mati tidak mempunyai harta, harus untuk sesiapa mengeluarkan sedekah tersebut bagi pihaknya dan dengan itu, lepaslah tanggungjawabnya[5].

Keempat: Musafir, pesakit dan orang yang melambatkan ganti puasa

Sesiapa yang tertinggal puasa Ramadan disebabkan musafir, sakit atau sebab-sebab lain, maka dia wajib menggantikannya sebelum tiba bulan Ramadan yang berikutnya. Namun sekiranya dia cuai dan tidak menggantikannya sehingga tiba bulan Ramadan berikutnya, maka dia dikira berdosa dan wajib membayar fidyah, iaitu memberi makan golongan fakir miskin sehari secupak makanan kebiasaan penduduk negeri setempat bergantung kepada hari puasa yang ditinggalkan.

Meskipun begitu, orang yang sakit berterusan hingga masuk bulan Ramadan tahun berikutnya, maka dia hanya wajib menggantikan puasanya sahaja tanpa perlu membayar fidyah[6].

Konklusinya, golongan yang wajib dikenakan fidyah ini boleh dilihat melalui noktah berikut:

  1. Orang tua yang lemah dan pesakit yang tiada harapan sembuh.
  2. Ibu yang mengandung dan menyusukan bayi.
  3. Orang yang telah meninggal dunia dalam keadaan masih lagi mempunyai hutang puasa yang belum diganti.
  4. Musafir, pesakit dan orang yang melambatkan ganti puasa.

Wallahu A‘lam.

 

Rujukan:

[1] Riwayat al-Bukhari (4235).

لَيْسَتْ بِمَنْسُوخَةٍ، هُوَ الشَّيخُ الْكَبِيرُ، وَالْمَرْأَةُ الْكَبِيرَةُ، لاَ يَسْتَطِيعَانِ أَنْ يَصُومَا، فَيُطْعِمَانِ مَكَانَ كُلِّ يَوْمٍ مِسْكِينًا

[2] Yahya bin Syaraf al-Nawawi, al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, (t.tp: Dar al-Fikr, t.c, t.t), 6/257.

وقال ابن عمر رضى الله عنهما " إذا ضعف عن الصوم أطعم عن كل يوم مدا "

[3] Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, ‘Ali al-Syarbaji, al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi‘i, (Damsyik: Dar al-Qalam, cetakan ke-4, 1413H/1992M), 2/94.

3ـ الحامل والمرضع:

إذا أفطرت الحامل والمرضع، فهي إما أن تفطر خوفاً على نفسها، أو خوفاً على طفلها.

فإن أفطرت خوفاً من حصول ضرر بالصوم على نفسها وجب عليها القضاء فقط قبل حلول شهر رمضان آخر.

روى الترمذي (715) وأبو داود (2408) وغيرهما عن أنس الكعبي - رضي الله عنه - عن رسول الله - صلى الله عليه وسلم - قال: " إن الله تعالى وضع عن المسافر الصوم وشطر الصلاة، وعن الحامل أو المرضع الصوم ".

أي خفف بتقصير الصلاة، ورخص في الفطر مع القضاء. وإن أفطرت خوفاً على طفلها، وذلك بأن تخاف الحامل من إسقاطه إن صامت، أو تخاف المرضع أن يقل لبنها فيهلك الولد إن صامت، وجب عليها والحالة هذه القضاء والتصدق بمد من غالب قوت البلد عن كل يوم أفطرته.

[4] Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam Kuwait, al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, (Mesir: Matabi‘ Dar al-Safwah, cetakan pertama, 1404-1427H), 32/68.

وَأَمَّا مَنْ مَاتَ بَعْدَ تَمَكُّنِهِ مِنَ الْقَضَاءِ فَلَمْ يَصُمْهُ، فَذَهَبَ الْحَنَفِيَّةُ وَالْمَالِكِيَّةُ وَالْحَنَابِلَةُ، وَهُوَ أَشْهَرُ الْقَوْلَيْنِ عِنْدَ الشَّافِعِيَّةِ، وَهُوَ قَوْل اللَّيْثِ وَالثَّوْرِيِّ وَالأَْوْزَاعِيِّ وَابْنِ عُلَيَّةَ وَأَبِي عُبَيْدٍ إِلَى أَنَّهُ يُطْعَمُ عَنْهُ لِكُل يَوْمٍ مِسْكِينٌ، لِحَدِيثِ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَال: مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامُ شَهْرٍ فَلْيُطْعِمْ عَنْهُ مَكَانَ كُل يَوْمٍ مِسْكِينًا (2)

[5] Al-Fiqh al-Manhaji, 2/92-93.

فإن مات ولم يقض فلا يخلو: إما أن يكون قد مات قبل أن يتمكن من القضاء، أو مات بعد التمكن، ولكنه لم يقض تقصيراً.

فإن مات قبل التمكن من القضاء فلا إثم عليه، ولا تدارك له، لعدم تقصيره. ومن مات بعد التمكن من القضاء صام عنه وليه ـ ندباً ـ الأيام الباقات في ذمته. والمقصود بالولي هنا أي قريب من أقاربه.

فإن لم يصم عنه أحد أطعم عنه لكل يوم مد، ويخرج هذا من التركة وجوباً كالديون، فإن لم يكن له مال جاز الإخراج عنه، وتبرأ ذمته.

روى الترمذي (817) عن ابن عمر رضي الله عنهما قال: (من مات وعليه صيام شهر فليطعم عنه مكان كل يوم مسكيناً).

[6] Al-Fiqh al-Manhaji, 2/92.

أما إن استمر عذره: كأن استمر مرضه حتى دخل عليه رمضان آخر فلا يجب عليه إلا القضاء، ولا فدية بهذا التأخير.